Saturday, December 5, 2009

Mencontohi sikap Tok Guru

DEC 4 — Terima kasih tuan guru kerana mendengar rintihan kami. Terima kasih tuan guru kerana mengutamakan perjuangan Islam dan parti PAS lebih daripada kepentingan peribadi dan keluarga.
Terima kasih tuan guru kerana atas nasihat dan kebijaksanaan menilai perjuangan jangka panjang, tuan guru menasihatkan menantu mengundurkan diri.

Terima kasih kepada kepimpinan PAS yang diketuai Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang membantu menyelesaikan kemelut ini dengan sempurna dan bijaksana.
Setelah beberapa minggu dilanda pelbagai kontroversi dan persepsi buruk, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat membuktikan kepada kita semua bahawa beliau boleh ditegur dan diperbetulkan.

Bukan Tuan Guru Mursyidul Am sahaja, malah Tuan Guru Presiden PAS juga mempunyai sifat yang sama. Beliau dikritik secara berdepan pada 7 November lalu, dalam Seminar Memperkasakan PAS.

Keterbukaan kedua-dua tokoh PAS ini merupakan suatu teladan yang terbaik pernah ditunjukkan oleh kepimpinan. Mereka membuktikan bahawa perjuangan PAS bukan sekadar retorik sahaja.

Kepimpinan PAS sedia ditegur untuk berubah ke arah yang lebih baik. Kepimpinan PAS sedia dimuhasabah, demi kebaikan perjuangan Islam.

Ini adalah bukti keberkesanan dan ketelusan sistem Islam, pentadbiran Islam dan politik Islam yang dipelopori PAS. Ianya juga merupakan suatu sistem tarbiyah (pendidikan) dalaman, yang harus diteladani dan dicontohi oleh parti-parti politik lain dalam negara.

Bagaimanapun, dengan satu dua perkara yang baik ini sahaja, tidak cukup untuk PAS berbangga. Terlalu banyak halangan dan cabaran menanti PAS.

Mungkin lebih berat daripada fitnah yang melanda kepimpinannya pada waktu ini.
Cabaran yang paling besar kepada sebuah perjuangan, ialah bagaimana ia boleh mempunyai suatu bentuk kepimpinan yang mantap, jujur, lengkap dengan ilmu serta telus dalam tindakan dan amalan.

Cabaran yang paling hebat kepada seseorang pemimpin ialah, bagaimana ia boleh mengelak dari dipalitkan dengan persepi penyalahgunaan kuasa, mengamalkan kronisme atau nepotisme.
World's greatest IT company seeks the best finance professionals

Masalah kepada sebuah perjuangan parti politik akan wujud, apabila ada di kalangan kepimpinannya, dilihat tidak bersih.

Dalam soal ini tidak harus ditunding jari atau dipersepsi negatifkan urusan antara Tuan Guru Nik Aziz dengan menantunya sahaja. Tidak juga harus dipersalahkan Presiden PAS seorang, jika PAS berada di tahap yang menurun.

PAS dan Pakatan Rakyat punyai cabaran yang lebih besar. Iaitu bagaimana ia boleh mengekalkan momentum sokongan rakyat, yang diterima pada 8 Mac 2008.
Bagaimana Pakatan Rakyat boleh menarik sokongan rakyat dengan mengenengahkan kepimpinan yang bersih, telus, adil dan demokratik.

Sayugia diingatkan seluruh kepimpinan Pakatan Rakyat, sama ada daripada PAS, KeADILan, mahupun DAP yang memegang jawatan, mesti benar-benar bersih, bukan sahaja dilihat bersih.
Mereka yang memegang jawatan sebagai Menteri Besar, Ketua Menteri, mahupun Exco Kerajaan Negeri, mesti berusaha mengelakkan sebarang elemen yang mengkayakan diri sendiri. Mereka jangan berebut balak, jangan berebut pasir, projek, tender dan sebagainya.

Mereka harus mengelak daripada dikelilingi oleh circle ahli perniagaan atau kroni-kroni tertentu. Mereka mesti mengelak daripada memberikan apa jua anugerah kepada anak beranak, adik beradik ataupun sanak saudara.

Persoalannya di sini, bukan soal sesiapa yang menerima jawatan, anugerah atau projek atau laba, layak atau tidak. Bukan soal layak atau tidak dari segi undang-undang. Tetapi ianya berkait dengan kesalahan moral dan etika.

Dan antara yang paling utama sekali ialah, pemimpin Pakatan Rakyat mesti mengekalkan cara hidup yang mereka jalani sebelum berkuasa, tatkala mereka memegang jawatan tinggi dalam kerajaan.

Apabila pemimpin Pakatan Rakyat mula hidup mewah ataupun menunjukkan cara hidup yang mewah, maka rakyat kebanyakan yang miskin, yang susah akan menjauhi mereka, sekali gus mereka akan memalitkan persepi buruk kepada parti yang diwakili.

Ingatlah, bahawa rakyat menolak Umno-Barisan Nasional kerana pemimpin mereka mengamalkan rasuah, menyalahgunakan kuasa, mengamalkan kronisme dan nepotisme.
Umno-BN mencipta jurang besar antara mereka dengan rakyat, kerana kebanyakan pemimpin mereka hidup dengan serba mewah. Mewah bukan kerana keturunan mereka kaya, tetapi mewah selepas memegang dalam Umno dan kerajaan.

Semakin lama Umno-BN berkuasa, menjadikan pemimpinnya semakin tamak.
Secara beransur-ansur rakyat semakin sedar dan menjauhi Umno. Maka malang bagi kita, jika rakyat melihat kita (Pakatan Rakyat) sama sahaja dengan mereka (Umno-BN).

Tambahan pula jika kita dari PAS, sebuah parti Islam, memperjuangkan kebenaran Islam, maka barang dijauhkan Allah untuk kita melakukan sebarang tindakan yang dilihat sama dengan Umno. Pemimpin PAS jangan jadi seperti pemimpin Umno.

Justeru, bagi seluruh kepimpinan dan ahli PAS, menjadi cabaran besar bagi mereka untuk berjuang melawan hawa nafsu, melawan godaan pangkat, melawan godaan harta dan kuasa.
Tambahan bagi mereka yang ‘bertitle’ ustaz, cabaran lebih besar bagi mereka untuk memperlihatkan diri mereka bersih dari rasuah atau menyalahgunakan kuasa. Mereka mesti mengelakkan hidup dengan penuh kemewahan dan kemegahan.

Mereka tidak harus menunjukkan kemewahan dengan memiliki banglo mewah, mempunyai kenderaan mewah atau menaiki kapal terbang dengan menempah tiket business class. Semua ini harus dielakkan kerana ia bakal mencetuskan persepsi buruk terhadap PAS.
Perjuangan PAS yang dipelopori oleh alim ulama mesti dibuktikan dengan menjalankan amanah dengan penuh tanggungjawab dan bersih.

Pemimpin mesti membuktikan bahawa perjuangan dalam PAS bukan diasaskan oleh kekuatan retorik semata-mata, kemurnian dan ketelusan amalan Islam bukan retorik.
Tetapi kemurnian Islam hendaklah dijelmakan dalam bentuk fizikal, iaitu telus dan bersih semasa diberi amanah memegang kuasa.

Buat waktu ini contohilah sikap dan kerendahan jiwa dua tuan guru ini. Merekalah ikon perjuangan kita, kedudukan mereka sebagai pemimpin terlalu tinggi, namun mereka sanggup merendah diri diteguri. Salam perjuangan. — harakahdaily

Mohd Rashidi Hassan
Sumber

No comments:

follow on fb

share

Share |

BLOGGER PERAK

BLOG BLOG PANAS

BLOG PIMPINAN PAS/PR

BLOG MUSLIMAT

Blog Masjid

Blogroll

Archives

Related Posts with Thumbnails

Header bergerak