Madu layak dapat Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) RM500
BACHOK – Semua isteri yang dimadukan suami layak mendapat wang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak RM500 setiap seorang jika pendapatan bulanan isi rumah itu di bawah RM3,000 sebagaimana yang dijanjikan dalam pembentangan Bajet 2012 baru-baru ini.
Ini bermakna, jika suami mereka berpendapatan di bawah RM3,000, setiap isterinya layak membuat permohonan bantuan itu secara berasingan walaupun mereka tidak mempunyai anakBagaimanapun, dalam kes ini, suami itu sendiri serta isterinya yang mempunyai pendapatan sendiri berjumlah RM3,000 dan ke atas tidak layak memohon.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, peruntukan itu akan disalurkan terus kepada semua isteri yang layak dan dianggap sebagai ketua dalam keluarga masing-masing.
“Kalau suami itu ada empat isteri, maka isteri pertama hingga keempat layak memohon wang bantuan itu dengan mengisi borang yang disediakan dan ia perlu disahkan oleh Jabatan Pembangunan Persekutuan dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keamanan Kampung Persekutuan (JKKKP) di kawasan masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan cek pinjaman Tabung Ekonomi Usahawan Nasional (TEKUN) berjumlah hampir RM400,000 kepada 40 usahawan di Dewan Haji Hussin, dekat sini semalam.
Seramai 5.2 juta isi rumah dijangka layak menerima bantuan RM500 sekali bayar itu dengan peruntukan RM2.6 bilion.