Mohamad Shahrum Osman
Mohamad Shahrum Osman
KUALA LIPIS – Calon Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya ke-13 bagi kerusi Parlimen Lipis yang digugurkan pada saat akhir walaupun setelah menerima watikah pencalonan menyatakan kesedihan dan marah dengan apa yang berlaku namun tetap reda.

Bekas pensyarah, Datuk Dr Mohamad Shahrum Osman, berkata, beliau berasa marah dan dukacita kerana watikah yang sudah ada dalam tangannya bertukar tangan dengan menggunakan teknik sabotaj.

“Saya marah sebab watikah sudah ada pada saya tetapi dirompak oleh Ketua Bahagian Umno Lipis dan kumpulannya.

“Bukan saya sahaja yang disabotaj tetapi turut sabotaj parti,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Namun begitu, beliau tetap menyatakan penghargaan kepada Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Besar Pahang kerana melayakkannya menjadi ‘calon boleh menang’ bagi BN.

Beliau turut menyatakan hasrat akan turun berkempen membantu calon BN bagi Dun Ceka dan Benta selain melahirkan harapan agar BN menang pada PRU13.