MACHANG, 4 April: Ketika 1Malaysia dijulang dengan kejayaan genap setahun Datuk Seri Najib Razak menerajui negara, tanpa disedari tiga Naib Presiden Umno tiada bersamanya ketika turun padang berkempen di Hulu Selangor semalam. Perdana Menteri kelihatan keseorangan di Hulu Selangor tanpa kehadiran pemimpin kanan Umno. Cuma kelihatan Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan dan pemimpin Umno Selangor. Sedangkan tiga Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Datuk Seri Shafei Afdal berada di sini bersama Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin. Kalau diambil kira dari segi kepentingan politik, kehadiran pemimpin kanan Umno di Hulu Selangor lebih penting bagi menghadapi pilihan raya kecil pada 25 April ini. Bagi Adun Dabong, Arifabillah Ibrahim ketidakhadiran tiga pemimpin kanan Umno bersama Perdana Menteri di Hulu Selangor memperlihatkan ada masalah dalaman Umno sekarang. “Ini dapat dilihat apabila Timbalan Menteri Perdana tanpa ditanya sesiapa pun membuat kenyataan masih mempunyai hubungan rapat dengan Perdana Menteri. “Kebiasaannya apabila kenyataan itu terpaksa dikeluarkan menggambarkan ada masalah dalaman membabitkan kedua-dua pemimpin kanan terbabit sekarang. “Kalau tidak ada masalah buat apa hendak sebut di hadapan orang ramai mereka tidak mempunyai masalah. Kebiasaan orang politik apabila menafikan dari awal lagi sebenarnya ada sesuatu yang cuba disembunyikan,” katanya di sini. Hubungan di antara Najib – Muhyiddin dilihat mulai tidak sehaluan apabila pemimpin Pakatan Rakyat membayangkan Timbalan Perdana Menteri seperti tidak menghayati konsep 1Malaysia. Penasihat DAP, Lim Kit Siang berjaya menguji tahap penerimaan Muhyiddin terhadap konsep 1Malaysia apabila beliau terperangkap dengan soalan anggota parlimen Ipoh Timur di Dewan Rakyat baru-baru ini. Sementara itu dalam perkembangan lain kehadiran Muhyiddin pada program Juara Rakyat di sini bagi menyampaikan wang ihsan kepada 70 pelajar miskin dari seluruh Kelantan. Pada peringkat awal diuar-uarkan sebanyak RM25 juta akan diberi kepada pelajar miskin, di mana ibu bapa mereka berpendapat kurang RM750 sebulan. Seramai 100,000 pelajar disasarkan Umno mendapatkan wang ihsan. Sedangkan pada majlis semalam difahamkan hanya sebanyak RM10,500 diberi kepada 70 pelajar iaitu sebanyak RM150 seorang. Keadaan itu menimbulkan tanda tanya orang ramai memandangkan wang ihsan sebanyak itu tidak sepadan diberi melibatkan kehadiran Timbalan Perdana Menteri. Kata seorang bapa, kalau hanya sejumlah RM10,000 wang ihsan diberi kepada pelajar, tidak sepatutnya membabitkan kehadiran pemimpin negara. Berucap pada majlis tersebut Muhyiddin berkata, “sesiapa yang tidak mahu kepada wang ihsan sila angkat tangan”. Ketika itu ada beberapa orang yang berada di hadapan pentas mengangkat tangan. Kemudian diulang lagi Muhyiddin siapa yang tidak mahu kepada wang ihsan sila angkat tangan. Selepas itu tiada lagi yang angkat tangan selepas keliru dengan soalan awal diaju Timbalan Perdana Menteri. Sebelum itu Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed sekali lagi mengulangi Kelantan tidak layak mendapatkan royalti minyak memandangkan kedudukan pelantar lebih tiga batu nautika (5.5 km). “Wang ihsan hanya kita beri kepada pelajar-pelajar miskin sahaja. Kalau tidak mahu kepada wang ihsan bermakna tidak undi BNlah. “Hendak ke tak nak wang ihsan,” katanya berulang kali pada ucapan tersebut. Orang ramai yang berada di hadapan kebanyakan pemimpin Umno peringkat bahagian menjawab “nak”. Program Juara Rakyat biar pun disebut program anjuran Umno, namun berpuluh-puluh agensi kerajaan terbabit dengan program berkenaan. |
Harakahdaily
1 comment:
Perkara2 berikut boleh dijadikan kemungkinan adanya ketegangan antara PM(DS Najib) dan TPM (DS Muhyiddin)tersebut:
1. Dalam senarai Sekolah Berprestasi Tinggi, kenapa sekolah di Pahang langsung tidak dipilih sedangkan di Johor 2 buah sekolah telah dipilih sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi.
2. Pemilihan 3 Politeknik sebagai Politeknik Premier tidak melibatkan Politeknik di Pahang iaitu POLISAS sedangkan politeknik tersebut merupakan politeknik yang kedua tertua di Malaysia yg mana ia ditubuhkan pada 1976 sebaliknya Politeknik Johor Bahru yang ditubuhkan pada 1998 telah dipilih sebagai Politeknik Premier. Persiapan telahpun dilakukan oleh staf POLISAS kerana mendapat tahu POLISAS antara yang terpilih untuk dinaiktaraf. Pengumuman di media dan akhbar turut dilakukan oleh TPM walaupun beliau bukan Menteri Pengajian Tinggi.
Post a Comment