Dzulfikar Mashoor & Hazayani Zakaria |
KUALA LUMPUR, 7 Feb: Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin menegaskan bahawa perintah membenarkan penganut agama Kristian menggunakan kalimah 'Allah' merupakan suatu hak yang diiktiraf di sisi Islam. "Isu ini (kalimah Allah) bukan menentukan agama siapa benar dan agama siapa yang salah. Ini adalah hak yang diiktiraf oleh suatu agama pada suatu agama yang lain," jelas beliau dalam Forum Kalimah Allah di sebuh hotel di sini, malam tadi. "Ini bukan dialog teologi atau perbandingan agama, sejauh mana kadar untuk mereka (bukan Islam) dibenarkan menggunakan kalimah 'Allah'." Beliau yang juga pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) turut mempersoal tindak-tanduk Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) kerana melarang masyarakat bukan Islam di Selangor dari menyebut nama 'Allah'. "Jais gantung kain-kain rentang nama Allah untuk orang Islam sahaja, tetapi lagu negeri Selangor pun disebut nama Allah, takkan Jais nak tangkap orang bukan Islam yang menyanyikan lagu negeri dengan menyebut nama 'Allah'," ujarnya. Jelasnya, pada logo polis pun terdapat kalimah Allah sedangkan logo tersebut turut dipakai oleh anggota-anggota polis yang bukan beragama Islam. "Sepatutnya polis bersama-sama Jais tak boleh tahan masyarakat bukan Islam yang menyebut (kalimah) Allah, mereka kena tahan mereka dulu yang masuk Selangor kerana Selangor melarang orang bukan Islam (dari) menyebut 'Allah'," jelasnya. Beliau yang juga pakar hadis mendedahkan suatu hadis sahih daripada Imam Bukhari sendiri pun merakamkan bahawa Raja Rom bernama Hercules turut diriwayatkan menyebut kalimah 'Allah'. " Hercules bertanya dia (Abu Sufian) banyak soalan, antara yang diriwayatkan Imam Bukhari: Sebelum dia (Nabi Muhammad s.a.w) diutuskan menjadi seorang rasul, pernahkah kamu menuduh dia sebagai pembohong," jelasnya. Menurut beliau, Abu Sufian yang ketika masih tidak memeluk Islam berkata 'tidak', lalu Hercules berkata bahawa mustahil Muhammad itu berbohong menggunakan nama 'Allah'. "Lalu Hercules berkata: Kalau Muhammad ini kepada manusia pun tidak berbohong, maka fahamlah aku bahawa mustahil dia berbohong atas nama 'Allah'." "Hercules sebut nama Allah (walaupun) dia Raja Rom, dia Kristian...terjemahan Abu Sufian adalah dia (Hercules) menyebut nama 'Allah' dan terjemahan itu ada di dalam Sahih Bukhari," jelasnya. Bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Chua Jui Meng kemudiannya mendedahkan bahawa Kementerian Dalam Negeri (KDN) mula bergiat menghalang penerbitan akhbar mingguan The Herald terbitan Katholik bukan disebabkan akhbar itu memohon menggunakan kalimah 'Allah' dalam penerbitan mereka. Sebaliknya, menurut dakwaan Chua, KDN berasa tidak selesa apabila mendapati kandungan The Herald cenderung menyokong parti-parti pembangkang ketika menjelang Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) lalu. "Sewaktu Bersih (Gabungan Menuntut Pilihan Raya Bersih dan Adil) mengadakan demontrasi besar-besaran di ibu negara, The Herald Katholik menerbitkan di muka hadapan majalah itu gambar-gambar dan tulisan-tulisan menyokong Bersih," jelasnya. |
Baca lagi
No comments:
Post a Comment