KUALA LUMPUR 26 Mei – Walaupun disifatkan sebagai biadab namun anggota Jawatankuasa Kerja Pusat MIC, S. Vell Paari dan Ketua Pemuda parti itu, T. Mohan tetap enggan memohon maaf, sebaliknya terus mempertahankan kenyataan masing-masing.
Dalam kenyataannya hari ini, Vell Paari yang merupakan anak kepada Datuk Seri S. Samy Vellu berkata, beliau tidak kisah dilabelkan sebagai biadab oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana berpendapat kenyataan yang dibuatnya mewakili suara ahli-ahli parti dan orang India.
Vell Paari yang baru sahaja dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Pusat (CWC) MIC oleh ayahnya turut membuat penegasan hanya akan memohon maaf jika kenyataan itu adalah salah dan dibuat tanpa asas yang munasabah.
Dakwa beliau, perkembangan politik dalam tempoh dua tahun lalu perlu diambil kira kerana banyak pihak dibenar menggunakan nama UMNO dan Perdana Menteri untuk menyerang MIC dan barisan kepimpinannya.
Antara bentuk serangan itu kata beliau, laporan media online yang secara terang-terangan menggunakan nama UMNO untuk menyerang MIC tanpa sebarang penafian daripada parti itu sendiri.
“Apabila wujud laporan sedemikian, UMNO berdiam sehingga menyebabkan masyarakat mempunyai pandangan UMNO berada di belakang mahu menjatuhkan ayah saya daripada MIC.
“Kenapa hanya apabila saya mendakwa UMNO digunakan (kumpulan penentang), mereka marah kepada saya, jadi sekali lagi saya mengatakan jika dakwaan itu tidak betul, saya bersedia membuat permohonan maaf.
“Sekarang Tan Sri Muhyiddin menafikan UMNO terlibat, bagus... tapi apa yang saya mahukan ialah mereka membuat penafian ini sejak dulu lagi bahawa UMNO tidak terlibat seperti dilaporkan oleh media dan pihak tertentu sebelum ini,” katanya yang dihubungi, di sini hari ini.
Vell Paari kini berada di Australia untuk menghadiri mesyuarat ahli lembaga pengarah sebuah syarikat.
Sementara itu sewaktu menjawab dakwaan tindakannya menyerang UMNO dibuat atas kapasiti anak Presiden MIC, Vell Paari dengan tegas menyatakan ia bukan perkara luar biasa.
Katanya, sebagai anak hanya beliau yang memahami sumbangan dan halangan yang terpaksa ditanggung oleh ayahnya dalam perjuangan.
Beliau turut mempersoalkan adakah perkara itu menjadi satu kesalahan dengan memberikan contoh bagaimana Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir mempertahankan ayahnya apabila diserang.
“Apabila Tun Dr. Mahathir Mohamad diserang, siapa yang mempertahankan beliau, anak beliau (Datuk) Mukhriz, siapa yang keluar parti bersama Dr. Mahathir? Anak dan isteri beliau.
“Jadi, hanya seorang anak yang berada dekat dengan ayahnya faham perjalanan politik mereka,” katanya.
Sementara itu, Mohan tetap berpendapat MIC perlu mengkaji semula kedudukan di dalam Barisan Nasional (BN) jika UMNO terlibat dalam usaha menjatuhkan Samy Vellu.
Menurutnya, setakat ini beliau belum membincangkan mengenai gesaan yang dibuatnya semalam dengan Presiden parti, Datuk Seri S. Samy Vellu.
‘‘Ini adalah pandangan peribadi saya dan yang penting saya telah membincangkan pandangan ini dengan Majlis Pemuda MIC dan ia mendapat sokongan penuh dari kesemua pemimpin Pemuda yang hadir.
‘‘Dalam hal ini saya tidak mengugut MIC akan keluar dari BN, tetapi saya hanya menegaskan bahawa jika UMNO terlibat dalam penganjuran perhimpunan itu baru kami akan mengkaji kedudukan MIC dalam BN,’’ katanya.
Mohan berkata, pihaknya mendapati ada pemimpin UMNO yang terlibat menempah sebuah dewan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Ahad ini bagi pelancaran GAS.(Baca lagi)
No comments:
Post a Comment