Anak Presiden MIC biadab – TPM
MUAR 25 Mei – Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan tindakan anak Presiden MIC, S. Vell Paari menuduh UMNO melakukan ‘pembunuhan politik’ (political assassin) untuk memecahbelahkan parti komponen Barisan Nasional (BN) itu sebagai biadab dan tidak bertanggungjawab.
Timbalan Perdana Menteri yang menafikan sekeras-kerasnya tuduhan tersebut menegaskan, kepimpinan BN dan UMNO tidak terlibat dalam masalah MIC.
Oleh itu, beliau yang juga Timbalan Pengerusi BN meminta supaya UMNO tidak dikaitkan dengan masalah dalaman parti yang diterajui Datuk Seri S. Samy Vellu itu.
“Jangan kaitkan UMNO dalam soal itu. Ia satu perbuatan yang bagi saya bukan sahaja tidak adil tetapi biadab,” katanya selepas merasmikan majlis ramah mesra Menteri Pelajaran bersama warga pendidik di Kompleks Sukan Pagoh dekat sini hari ini.
Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO mengulas kenyataan Vell Paari semalam yang menuduh UMNO menggunakan ‘pembunuhan politik’ untuk memecahbelahkan parti komponen BN itu dalam wawancara dengan laman web Free Malaysia Today.
Sambil merujuk desas-desus mengenai kewujudan Gerakan Anti-Samy Vellu (GAS) mendapat restu pemimpin tertinggi UMNO, Vell Paari yang juga Anggota Jawatankuasa Kerja Pusat MIC menyelar UMNO kerana memulakan tindakan berbahaya.
Menurut Muhyiddin, tuduhan Vell Paari tidak adil lebih-lebih lagi ia dibuat kerana beliau mempunyai kepentingan sebagai anak kepada Presiden MIC.
“Dia bercakap kerana dia anak presiden, jadi jangan buat tuduhan melulu. Saya nak menafikan sekeras-kerasnya bahawa kita terlibat, kalau ada pun pihak-pihak yang membuat pengakuan, itu adalah pandangan mereka tapi kepimpinan BN dan UMNO tidak terlibat,” jelasnya.
Beliau berkata, pucuk kepimpinan BN dan UMNO sentiasa mengambil kira dan menjaga kepentingan semua parti komponen dan tidak menyebelahi mana-mana pihak.
“Kita tak mahu cari jalan yang lebih menimbulkan masalah, yang ada sudah cukup,’’ katanya dan menambah perbuatan menuding jari sebagai tidak bertanggungjawab.
Beliau menasihatkan Vell Paari supaya tidak mengulangi perbuatan tersebut dan pada masa sama, Samy Vellu perlu memberi nasihat kepada anaknya agar tidak mudah melakukan sesuatu perkara yang menyentuh perasaan pemimpin-pemimpin parti lain.- Utusan Online
No comments:
Post a Comment