Zaid kalah teruk di kawasan peneroka Felda dan undi pos.
KUALA KUBU BARU : Pengarah Strategik Parti Keadilan Rakyat Tian Chua berkata, kekalahan Datuk Zaid Ibrahim kerana penggunaan wang ringgit oleh Barisan Nasional (BN) di kalangan peneroka Felda.
"Pada saat akhir BN dan Umno menabur janji untuk membayar sejumlah wang kepada peneroka Felda dan ini berjaya meraih sokongan peneroka.
"Kerana tarikan wang ringgit, tidak semena-mena pengundi beralih sokongan kepada BN," katanya.
Bagaimanapun, Tian Chua berkata, isu arak yang dimainkan oleh BN tidak berjaya mempengaruhi pengundi.
Zaid kalah dengan majoriti besar dalam pilihanraya kecil Parlimen Hulu Selangor.
Keputusan rasmi menunjukkan Kamalanathan menang dengan majoriti 1,725 undi.
Zaid mendapat 23,272 undi manakala Kamalanathan 24,957 undi. Jumlah keluar mengundi 76 peratus.
Pegawai pengurus pilihanraya kecil mengumumkan keputusan itu kira-kira jam 9.10 malam.
Zaid kalah teruk di kawasan peneroka Felda dan undi pos.
Pemimpin-pemimpin utama BN, Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di tempat pusat pengumuman di pejabat tanah dan daerah Hulu Selangor kira-kira jam 9 malam.
Sebelum ini Muhyiddin meramalkan Kamalanathan menang dengan majoriti 6,000 undi.
Mengulas kemenangan Kamalanathan, Najib berkata, faktor calon BN merupakan antara faktor kemenangan itu.
"Saya yakin Kamalanathan boleh menjadi ahli parlimen yang mampu mengetengahkan masalah dan isu-isu setempat," katanya dalam sidang media selepas kemenangan Kamalanathan.
freemlaysiatoday
No comments:
Post a Comment