Wednesday, April 28, 2010

SPR sedia hadapi tindakan mahkamah Zaid

Malah apa yang ketara kepada saya ialah Suruhanjaya Pilihan Raya berada di pihak BN dan mahukan BN untuk menang,” kata Zaid


KUALA LUMPUR, 28 April — Datuk Zaid Ibrahim (gambar) mempunyai segala hak untuk mengambil tindakan undang-undang termasuk petisyen pilihan raya, kata Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar hari ini.

Bagaimanapun menurut Wan Ahmad, SPR telah menguruskan pilihan raya kecil Hulu Selangor dengan adil mengikut peruntukan undang-undang yang sedia ada.

“Itu hak beliau (Datuk Zaid) jika mahu mengemukakan petisyen... beliau boleh menamakan SPR sebagai responden, beliau boleh mengemukakan bukti di mahkamah, kami akan menjawab dengan sewajarnya,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Menurut beliau, SPR akan menghadapi petisyen Zaid jika dikemukakan sebagai satu lagi kes memandangkan sudah banyak petisyen pilihan raya telah dilalui sebelum ini termasuk lebih dua dozen petisyen pilihan raya umum 2008.

Zaid boleh mengemukakan petisyen dalam tempoh 21 hari selepas keputusan pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor diwartakan.

Keputusan itu akan diwartakan dalam tempoh dua minggu ini, kata Wan Ahmad.

Mengenai pendirian Zaid yang mahu mengemukakan kes ke atas SPR pula, kata Wan Ahmad, pihaknya juga bersedia untuk menghadapinya.

Bagaimanapun kata Wan Ahmad, beliau tidak boleh mengulas lanjut kerana tidak tahu kandungan kes yang bakal hendak difailkan oleh Zaid.

Wan Ahmad mengakui kes cuai menjalankan tanggungjawab berkanun ke atas SPR, yang hendak dikemukakan oleh Zaid, merupakan yang pertama bakal dihadapi.

Pada sidang media pagi tadi, Zaid yang tewas pilihan raya kecil Hulu Selangor akan memfailkan petisyen dalam waktu terdekat - mahu mahkamah mengisytiharkan keputusan Ahad lalu sebagai tidak sah.

Selain itu beliau juga akan memfailkan kes terhadap SPR atas alasan cuai melaksanakan tanggungjawabnya sebagai badan pengendali pilihan raya.

Zaid menjelaskan, setiap rakyat ada hak fundamental untuk mengundi tetapi aspek itu tidak bermakna langsung jika mereka tidak dapat melaksanakannya kerana nama pengundi-pengundi terbabit hilang dari daftar pemilih tanpa pengetahuan mereka, ditakut-takutkan, dirasuahkan ataupun diberikan pelbagai bentuk janji untuk mempengaruhi mereka.

“Dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor kita ada saksikan kesemua ini.

“Kita ada saksi yang akan tampil dengan bukti-bukti yang perlu berkenaan rasuah (beli undi) yang berleluasa, bermula dari pekerja jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) sehinggalah Perdana Menteri sendiri,” katanya.

Mengenai saman terhadap SPR pula, Zaid menjelaskan suruhanjaya itu telah gagal dalam menjalankan pilihan raya bebas dan adil.

“Saya masih berpendirian bahawa mereka telah gagal dalam tugas itu dalam pilihan raya kecil terbaru.

“Mereka telah membenarkan tindakan menakut-nakutkan (pengundi), maklumat palsu dan amalan pilihan raya tidak sah dan tidak adil di kalangan jentera BN tanpa sebarang usaha untuk menghalang mereka.

“Malah apa yang ketara kepada saya ialah Suruhanjaya Pilihan Raya berada di pihak BN dan mahukan BN untuk menang,” kata Zaid

Malaysianinsider

No comments:

follow on fb

share

Share |

BLOGGER PERAK

BLOG BLOG PANAS

BLOG PIMPINAN PAS/PR

BLOG MUSLIMAT

Blog Masjid

Blogroll

Archives

Related Posts with Thumbnails

Header bergerak