Umno tukar calon 'strategi bijak', kata Khalid Samad
Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad menyifatkan strategi Umno menukar calon baru walaupun dari MIC untuk bertanding dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor sebagai satu "strategi yang bijak".
"Kerusi tidak diserah kepada Umno tetapi tidak juga kembali kepada pemimpin MIC yang sama. Orang baru yang lebih muda dan kononnya lebih mampu membawa perubahan.
"Dalam masa yang sama, 'hak' MIC sebagai rakan BN dipertahankan. Undi Melayu dipujuk dengan pertukaran calon, undi masyarakat India dan Cina pula dengan mempertahankan hak parti rakan parti komponen BN," coret Khalid dalam blognya.
Sehubungan itu, kata Khalid, melalui kemenangan ini juga, rayuan dan desakan Umno untuk kerusi parlimen itu diserahkan kepada Umno boleh dianggap "menemui ajalnya".
Kamalanathan yang juga ketua penerangan Pemuda MIC mendapat 24,997 undi manakala Zaid memperolehi 23,272 undi.
Khalid yang juga anggota biro politik PAS berkata strategi Pakatan Rakyat (PR) meletakkan Zaid sebagai calon "tiada salahnya".
"Pencalonan beliau menyebabkan majoriti BN hanya 1,725 dan bukan 6,000 seperti yang sepatutnya.
Khalid juga menegaskan hasil dari keputusan pilihan raya Ahad lalu sepatutnya menyedarkan Pakatan daripada 'dibuai mimpi' bahawa masih banyak lagi penerangan yang perlu dilakukan.
"Masih ramai lagi, lebih-lebih lagi yang di kawasan pendalaman, yang tidak memahami hasrat perjuangan Pakatan dan kekejaman BN.
"Jentera penerangan negeri mestilah dipertingkatkan dan jentera parti mesti turun padang lebih kerap lagi. Kekurangan ini perlu diatasi sebelum tibanya pilihan raya umum ke-13," katanya.
Menurutnya, kekalahan yang diterima oleh Pakatan ada hikmahnya iaitu Pakatan tidak merasa leka dan tidak berpeluk tubuh serta berpuas hati dengan apa yang ada.
"Banyak lagi kerja yang perlu kita lakukan dan banyak lagi kelemahan dalaman dan organisasi yang perlu di atasi bersama," katanya.
Malaysiakini
No comments:
Post a Comment