IPOH 25 Nov. - Gelaran 'Zambry Hitam Metalik' menggamatkan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini apabila Datuk Khusairi Abdul Talib (BN-Slim) mendakwa Datuk Ngeh Koo Ham (DAP-Sitiawan) mencaci peribadi Menteri Besar, Zambry Abd. Kadir dalam ceramah-ceramah beliau.
Insiden itu berlaku apabila Khusairi yang mencelah semasa Zambry menggulung perbahasan, mendakwa beliau mengikut ceramah ADUN Sitiawan itu dan mendapati Koo Ham menghina peribadi pemimpin-pemimpin BN termasuk Zambry.
Beliau turut mendakwa mempunyai bukti rakaman video untuk menyokong tuduhan itu dan akan menyerahkannya di luar DUN.
Ekoran itu, Koo Ham bangkit mencabar Khusairi supaya menyatakan ceramah yang mana satu atau menarik balik kenyataan tersebut.
"Ini merupakan tuduhan melulu dan satu fitnah. Pangkor (Zambry) pun tahu saya tidak pernah mencaci peribadi seseorang," tegasnya.
Speaker DUN, Datuk R. Ganesan kemudian meminta Khusairi menarik balik tuduhan terhadap ADUN Sitiawan itu selepas beliau gagal memberikan jawapan kepada Koo Ham.
Zambry turut meminta Khusairi menarik balik kenyataan itu kerana katanya, Koo Ham tidak pernah mencaci secara peribadi tetapi cuma dari segi dasar.
"Saya tidak ambil berat sangat cacian terhadap saya termasuk warna kulit. Bayangkan kalau saya sebagai Menteri Besar memanggil ADUN Pantai Remis dengan warna kulit serta bentuk matanya, sudah tentu akan dicanang satu Malaysia yang saya rasis.
"Tidak baik mempersoalkan warna kulit seseorang kerana ia dijadikan oleh Tuhan. Apakah kita sanggup menghina Aulong dengan gelaran capik? Kita hormat dia," katanya.
Selepas namanya disebut, Yew Tian Hoe (DAP-Aulong) bangkit mencelah memberitahu, terdapat dua jenis orang kurang upaya (OKU) iaitu yang baik dan tidak baik sehingga membuatkan semua ahli dewan ketawa.
Utusan Malaysia Online - Politik
No comments:
Post a Comment