Sunday, June 6, 2010

Judi sukan: GMJ mahu Berjaya hormati protes rakyat


June 06, 2010

KUALA LUMPUR, 6 Jun — Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ) memberi amaran kepada Kumpulan Berjaya jangan sesekali mendesak kerajaan negeri Pakatan Rakyat agar membenarkan premis judi sukan di negeri masing-masing dan tidak membantah langkah menghalalkan aktiviti itu.

Setiausaha GMJ Suhaizan Kayat berkata, kerajaan Pakatan Rakyat sudah menyatakan pendirian untuk menolak premis judi bola sepak di negeri masing-masing.

Oleh itu kata beliau, pihaknya hairan mengapa syarikat tersebut masih masih meneruskan hasrat mengadakan premis aktiviti judi sukan di negeri-negeri diterajui Pakatan Rakyat, malah di negeri-negeri lain pimpinan Barisan Nasional.

“Kerajaan Pakatan iaitu Selangor, Kedah dan Pulau Pinang sudah menolak lesen judi bola sepak di negeri mereka jadi mengapa Kumpulan Berjaya masih hendak mereka menarik balik larangan tersebut.

“Tindakan yang diambil kerajaan Pakatan untuk menolak lesen judi sukan ini selari dengan kehendak rakyat.

“Kalau mereka sudah tolak mengapa mesti mahu paksa mereka terima?” kata beliau kepada The Malaysian Insider mengulas kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Berjaya, Tan Sri Vincent Tan yang merayu kepada kerajaan-kerajaan negeri diterajui PR supaya “bersikap adil” dan menarik balik larangan dikenakan ke atas premis judi sukan di negeri masing-masing.

Setakat ini Selangor, Kedah dan Pulau Pinang telah pun mengisytiharkan tidak akan membenarkan aktiviti pertaruhan sukan di negeri-negeri berkenaan.

“Saya akan merayu kepada mereka agar adil (dalam hal ini),” kata Tan.

Suhaizan berkata Kumpulan Berjaya sepatutnya menerima keputusan yang dibuat Pakatan Rakyat dan menghormatinya.

“Saya nak cakap kepada Kumpulan Berjaya supaya jangan hanya mementingkan diri sendiri.

“Kerajaan Pakatan sudah tolak kerana memikirkan tentang rakyatnya jadi semua pihak perlu menghormati keputusan ini,” katanya.

Tambahnya, GMJ akan terus mendesak kerajaan supaya menarik balik kelulusan lesen judi sukan.

“Kita akan terus mendesak kerajaan dan tidak akan sesekali kita mengubah pendirian ini.

“Kita mahu kerajaan menarik balik kelulusan tersebut kerana memikirkan tentang masa depan rakyat dan negara.

“Ini kerana judi hanya akan memberikan lebih banyak keburukan daripada kebaikan malah ia juga tidak memberikan sebarang faedah kepada rakyat,” katanya.

Semalam, GMJ mendesak Kabinet menarik balik lesen judi sukan, sebaliknya menguatkuasakan undang-undang judi kerana gejala sosial itu akan memberikan kesan negatif kepada masyarakat.

Sebanyak 22 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik bergabung tenaga untuk membantah tindakan kerajaan itu.

NGO yang terlibat termasuk Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia, Persatuan Teras Perpaduan Melayu (Teras), Dewan Pemuda Masjid, Angkatan Belia Islam Malaysia, Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia, Satu Nama, Jemaah Islah Malaysia dan Jamaiy.

Turut sertai ialah Pengerak Belia Tempatan MPK, Budayawan Bertindak, Seniman Paksi Rakyat, Persatuan Anak-anak Peneroka Felda, Nisa Malaysia, Persatuan Kebangsaan Islam Malaysia, Persatuan Dharma Sakyamuni, Relawan, Pusat Aduan Rakyat Kempas, Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia, Dewan Pemuda Pusat dan juga Pertubuhan Anak Melayu Selangor Darul Ehsan Wilayah Persekutuan.

Selain itu Pemuda DAP dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) turut menyertai gerakan tersebut.

GMJ dibentuk bagi menggerakkan rakyat untuk turut sama membantah tindakan kerajaan meluluskan lesen judi sempena bola sepak Piala Dunia.

Malaysian Insider

No comments:

follow on fb

share

Share |

BLOGGER PERAK

BLOG BLOG PANAS

BLOG PIMPINAN PAS/PR

BLOG MUSLIMAT

Blog Masjid

Blogroll

Archives

Related Posts with Thumbnails

Header bergerak