Sunday, May 9, 2010

Mangsa dera anak

"Dia (anak) menerkam saya hingga saya terjatuh. Bagai dirasuk syaitan, dia naik atas belakang saya, pegang rambut dan menghantuk muka saya ke lantai berulang kali" > Besah


KUALA LUMPUR: Ketika kebanyakan ibu ceria diraikan anak dan keluarga masing-masing sempena sambutan Hari Ibu hari ini, ada ibu yang merintih serta meratapi nasib malang mereka selepas dianiayai zuriat sendiri.

Di Kelantan pula, Zawiah, 56, masih dihantui peristiwa dua tahun lalu apabila tangannya menerima 15 jahitan selepas dikelar anaknya manakala Besah, 63, hampir pengsan apabila kepalanya dihantukkan ke lantai simen oleh anaknya yang ketagih dadah, kira-kira dua tahun lalu. Ikuti kisah mereka selanjutnya:

KES 1:
“BERKALI-KALI saya dibawa berjumpa bomoh yang menuduh saya membela hantu raya hingga menjadi punca keluarga anak saya kerap sakit. Bermacam-macam rawatan mengarut terpaksa saya terima, termasuk diberi makan benda pelik hingga muntah.


“Selain selalu dimarahi dan dimaki, anak sulung saya yang terlalu percayakan bomoh mengurung saya di bilik bahagian dapur dan selepas enam bulan dikurung dia menghantar saya ke pusat jagaan orang tua,” kata Aminah kepada Metro Ahad.


Mengimbas lanjut latar belakang hidupnya, Aminah berkata, pada mulanya dia tinggal seorang diri di rumahnya di Ipoh, Perak selepas kematian suami lebih tiga tahun lalu. Bagaimanapun, anak sulungnya mengajaknya tinggal bersama mereka di Selangor.


Katanya, selepas dua tahun duduk bersama anaknya yang berkeluarga dan mempunyai empat anak, dia kerap sakit dan tidak larat bergerak serta perlukan bantuan untuk ke mana-mana.

“Saya selalu pening dan sengal di badan sampai tidak larat bangun. Pelbagai ubat saya makan tapi tak berkesan. Akhirnya menantu menghantar saya mendapatkan khidmat rawatan tradisional ketika anak saya ke luar negara.


“Tindakan itu menambah derita saya apabila bomoh menuduh saya membela hantu raya. Saya mengucap panjang dan menafikan tuduhan itu, tetapi apakan daya kerana menantu lebih percaya cakap bomoh,” katanya.


Berikutan itu Aminah dikurung di dalam bilik dengan alasan khuatir hantu yang dibela mengganggu cucunya hinggalah anak lelakinya pulang dari luar negara.


“Waktu anak saya balik, saya ingat dapatlah mengadu nasib kepadanya tetapi lain pula terjadi. Dia lebih percaya cakap isterinya dan terus mengurung saya di dalam sebuah bilik di dapur. Saya hanya diberi makan sekali pada waktu pagi dan sekali lagi pada malam,” katanya.


Aminah berkata, selama dikurung kira-kira enam bulan, dia berulang kali dibawa berjumpa bomoh dan setiap kali ‘dirawat’ dia semakin terseksa kerana diberi makan benda pelik hingga muntah.


“Bila saya terangkan secara baik kepada anak yang saya tidak pernah membela hantu, saya dimarahi dan dimaki kerana dikatakan cuba menipu dan memberi alasan tidak mahu dipisahkan dengan hantu yang dibela.


“Sudahlah dikurung, saya dibiarkan saja dalam bilik dan tidak dibenarkan bergaul dengan cucu sekalipun. Saya hanya dilayan oleh pembantu rumah,” katanya.

Kemuncak penganiayaan terhadap Aminah, satu hari anak lelakinya menghantarnya ke sebuah pusat jagaan orang tua selepas berbohong dengan berkata ingin membawanya berubat di tempat lain.


Aminah berkata, walaupun kecewa dengan sikap ketiga-tiga anaknya, dia masih tetap menerima mereka jika insaf dan sedar perbuatan mereka.


“Hanya Allah tahu perasaan saya, tetapi saya selalu berdoa semoga mereka diberi petunjuk oleh Allah dan saya sedia memaafkan mereka,” katanya yang tinggal di pusat jagaan itu sejak lebih setahun lalu.- my metro(Baca Lagi)

No comments:

follow on fb

share

Share |

BLOGGER PERAK

BLOG BLOG PANAS

BLOG PIMPINAN PAS/PR

BLOG MUSLIMAT

Blog Masjid

Blogroll

Archives

Related Posts with Thumbnails

Header bergerak