Saturday, February 19, 2011

Speaker Teng: Mahkamah tak patut dengar kes Badrul tanpa peguam saya

KUALA LUMPUR, 18 Feb — Speaker DUN Selangor Datuk Teng Chang Khim terkilan kerana Mahkamah Tinggi Shah Alam terus mendengar permohonan Badrul Hisham Abdullah berhubung status kerusi Pelabuhan Klang, sekali gus mencapai keputusan hari ini tanpa kehadiran peguam beliau.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan petang ini, Teng (gambar) berkata mahkamah sepatutnya tidak meneruskan pendengaran itu tanpa kehadiran peguamnya.

Beliau berkata pada 11 Februari lalu, peguamnya Tommy Thomas telah memohon untuk penangguhan atas alasan bahawa beliau akan menghadiri perbicaraan tiga hari mulai 16 Februari di Mahkamah Tinggi Johor Baru di mana tarikh pendengaran ditetapkan sebulan lalu.

Teng berkata pada 14 Februari, peguamnya menerima sepucuk surat dari Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk penangguhan bagi pendengaran itu yang pada awalnya ditetapkan semalam.

“Bagaimanapun, pada 16 Februari, penolong peguam saya hadir pada pengurusan kes di hadapan pendaftar kes dan walaupun dimaklumkan bahawa Tommy akan berada di Johor Baru, timbalan pendaftar berkeras menetapkan perkara itu untuk pendengaran hari ini.

“Oleh itu, peguam saya menghantar penolongnya untuk memohon penangguhan hari ini tetapi tidak dibenarkan. Keputusan mahkamah menolak permohonan peguam saya bagi penangguhan pendengaran saman yang difailkan terhadap saya oleh Badrul Hisham tidak adil dan tidak pernah berlaku sebelum ini,” katanya dipetik Bernama.

Teng berkata beliau akan mengarahkan peguamnya untuk memohon bagi mengetepikan penghakiman, paling awal menjelang minggu depan.

Kontroversi itu timbul selepas Teng mengisytiharkan bahawa kerusi Pelabuhan Klang kosong pada 16 Januari dengan menyatakan bahawa Badrul Hisham gagal menghadiri persidangan DUN selama enam bulan tanpa sebab yang sah.

Pada 24 Januari, Badrul Hisham memfailkan saman pemula memohon satu pengisytiharan bahawa beliau masih Adun Pelabuhan Klang dan berhak menghadiri persidangan dewan.

Beliau juga memohon pengisytiharan bahawa kerusi Pelabuhan Klang tidak kosong.

Pada 11 Februari, Teng memfailkan permohonan untuk menolak saman pemula Badrul Hisham dengan menyatakan bahawa beliau dilindungi oleh imuniti berdasarkan Artikel 72 Perlembagaan Persekutuan daripada sebarang tindakan undang-undang oleh Badrul Hisham.

Ketika ditemui pemberita di pekarangan mahkamah, Teng berkata beliau berpendapat bahawa keputusan yang diumumkan mahkamah hari ini bukan terikat.

“Saya masih menegskan bahawa deklarasi (saya) masih kekal,” kata beliau.

Teng berkata Badrul Hisham masih boleh dihalang daripada menghadiri sidang DUN akan datang jika permohonannya untuk mengetepikan keputusan hari ini berjaya kelak.

Sidang DUN akan bersidang pada 28 Mac ini.

Sambil menyifatkannya sebagai keputusan tertinggi yang paling tidak munasabah, Teng berkata: “dalam kes ini, keadilan telah dikuburkan.”

Hari ini mahkamah memutuskan Badrul Hisham kekal sebagai Adun Pelabuhan Klang.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Zaleha Yusof membuat keputusan itu dalam kamarnya setelah mendengar saman pemula yang difailkan oleh Badrul Hisham terhadap Teng ekoran tindakannya mengisytiharkan kerusi itu kosong pada 16 Januari lalu.

Pada masa yang sama, Zaleha turut memerintahkan Teng untuk menjelaskan kos sebanyak RM40,000 kerana tindakannya mengisytiharkan kerusi itu kosong.

MI

No comments:

follow on fb

share

Share |

BLOGGER PERAK

BLOG BLOG PANAS

BLOG PIMPINAN PAS/PR

BLOG MUSLIMAT

Blog Masjid

Blogroll

Archives

Related Posts with Thumbnails

Header bergerak