Thursday, February 17, 2011

Mahathir gesa Nik Aziz henti salah tafsir Islam kerana politik diri sendiri

KUALA LUMPUR, 16 Feb — Tun Dr Mahathir Mohamad sambil mengakui pengetahuan agama Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang “dalam”, tetapi menggesa Menteri Besar Kelantan itu berhenti daripada menyalah guna dan menyalah tafsir Islam demi kepentingan politik diri sendiri.

“Saya akui pengetahuan agama Nik Aziz dalam tetapi alangkah baiknya jika Nik Aziz berhenti daripada menyalahguna dan menyalah tafsir Islam demi kepentingan politik diri sendiri.

“Tidak ada sesiapa yang dapat lari daripada hari pengadilan yang dijanjikan oleh Allah s.w.t.,” kata bekas perdana menteri ini dalam jawapan panjang lebar menjawab tulisan Nik Aziz awal bulan ini.

Justeru kata bekas presiden Umno ini, “bertaqwalah kepada Allah s.w.t. dan hentikanlah mengeliru umat Islam di Malaysia kerana ingin menang pilihan raya.”

Awal bulan ini, Nik Aziz menjawab tuduhan Dr Mahathir ke atasnya dengan menegaskan, Umno yang selama ini “menzalimi orang-orang Melayu” dan menafikan beliau menjadi punca perpecahan orang Melayu Islam negara ini.

Sehubungan itu Nik Aziz berkata, Dr Mahathir sudah mula dijangkiti penyakit “Melayu Mudah Lupa” yang pernah disebutnya satu ketika dahulu, ketika menjadi perdana menteri dan presiden Umno.

“Tun Mahathir melabelkan saya dan PAS sendiri sebagai punca pecah belah orang Melayu. Barangkali kerana sayalah yang menyebabkan parti Umno diharamkan pada 1987 yang membawa kepada penubuhan Semangat 46.

“Barangkali sayalah juga penyebabnya sehingga terpecat timbalan presiden Umno pada 1999 yang membawa kepada penubuhan parti Keadilan dan kini dikenali sebagai Parti Keadilan Rakyat. Saya bimbang, Tun Mahathir sudah dijangkiti penyakit Melayu Mudah Lupa yang pernah disebutnya satu ketika dahulu,” katanya.

Dalam entri terbaru di blognya hari ini, Dr Mahathir berkata, percubaan Nik Aziz untuk memperingatkannya bahawa beliau akan berdiri di hadapan Allah satu masa nanti sedikit sebanyak membuktikan keangkuhannya seolah-olah dirinya tidak tahu akan agama Islam.

“Saya juga beriman dengan hakikat bahawa setiap apa yang dipertuturkan dan diperbuat di dunia ini akan diadili di akhirat nanti,” kata Dr Mahathir.

Dr Mahathir berkata, Nik Aziz yang Mursyidul Am PAS juga akan berdiri di hadapan Allah satu masa nanti dan segala yang dipertutur dan dilakukan olehnya di dunia ini akan diadili di akhirat nanti dan lidah, tangan dan kaki Nik Aziz akan jadi saksi.

“Bukan bagi Nik Aziz untuk mengadili saya atau sesiapa dan bukan Nik Aziz yang akan mengadili dirinya sendiri,” kata bekas perdana menteri.

“Sehingga kita diadili di akhirat, kita tidak boleh dengan angkuhnya merasa kita tidak berdosa dan orang lain yang berdosa.

“Allah s.w.t. sahaja yang mengetahui segala dosa yang dilakukan oleh sesiapa, termasuk Nik Aziz,” kata Dr. Mahathir sambil menambah, dakwaan Nik Aziz yang dianya beriman, setelah mengkafir dan memecahbelah orang Islam, membuat berbagai-bagai tuduhan, akan ditentukan oleh Allah s.w.t.”

“Tidak memadai dengan pengakuan Nik Aziz yang dianya beriman,” kata beliau lagi.

Dr. Mahathir juga berkata beliau tidak suruh sesiapa menyokong atau mengundinya kononnya akan menjamin mereka akan ke syurga di akhirat.

“Yang membuat dakwaan seperti ini ialah Nik Aziz,” kata Dr Mahathir.

Oleh itu jelas beliau, dalam Islam tidak ada paderi yang boleh ampunkan sesiapa atau menjamin balasan di akhirat kelak.

“Di Tenang Nik Aziz secara terbuka menghukum orang Umno sebagai jahiliah,” kata beliau dengan merujuk kepada kempen pilihan raya kecil DUN Tenang yang berlangsung bulan lalu.

Katanya, orang Umno adalah orang yang beragama Islam walaupun bagi Nik Aziz mereka bukan Islam kerana tidak sokong PAS.

“Dunia mengiktiraf bahawa orang Melayu termasuk ahli Umno dan ahli PAS juga adalah orang Islam.

“Umno tidak mendakwa bahawa hanya orang Umno yang Islam atau dengan mengundi Umno menjadi Islam dan akan ke syurga,” katanya lagi.

Dr Mahathir juga berkatam oleh kerana orang Umno beragama Islam, maka perjuangan Umno ialah untuk bangsa, agama dan negara.

“Demikianlah pegangan Umno kepada Islam sehingga Perlembagaan ciptaan Umno mensyaratkan seseorang itu adalah Melayu jika dianya beragama Islam.

“Nik Aziz tidak akan memasukkan syarat ini kerana Melayu boleh jadi jahiliah dan tidak Islam kerana tidak sokong PAS,” katanya.

Sehubungan itu kata Dr Mahathir, asas Islam mungkin tidak sama dengan nasionalisme memandangkan penganut-penganut agama lain juga boleh jadi nasionalis.

“Ini tidak bermakna nasionalis Islam tidak Islam. Nasionalis yang terdiri daripada orang Islam memang berjuang untuk menegakkan agama Islam, memelihara negara Islam dan menjaga kehormatan agama Islam,” kata beliau lagi.

Beliau menambah, tidak ada keangkuhan yang lebih daripada seorang yang memikir dia sahaja Islam dan orang Islam lain tidak Islam dan tidak beriman kepada Allah.

Sambil bertanya apakah nasionalis Melayu Islam tidak pernah menyatakan tujuan hidup, Dr. Mahathir berkata, jika Nik Aziz membuka mata dan telinga, mungkin beliau akan melihat perjuangan Umno untuk Islam secara yang terpampang di hadapannya dan mendengar segala yang diperkatakan oleh pemimpin dan ahli Umno berkenaan perjuangan untuk Islam, orang Islam dan negara Islam.

“Saya tidak perlu ulang tujuan hidup nasionalis Islam Melayu ialah mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. dengan membuat ibadah tertentu, memelihara orang Islam dan agama islam bukan sahaja di Malaysia tetapi dimana sahaja orang Islam ditindas.

“Tuhan yang akan menilai pengabdian nasionalis Melayu Islam dan bukan Nik Aziz,” katanya lagi.

Malah Dr Mahathir terus mengkritik dengan berkata, sebaliknya apa yang keluar dari bibir Nik Aziz sebagai tujuan hidupnya ialah untuk memenangi pilihan raya dan menjadi pemerintah bersama DAP dan PKR.

“Untuk ini Nik Aziz secara terbuka sanggup mengkafirkan orang Islam Umno, bersedia untuk bekerjasama dengan syaitan untuk menjayakan perjuangannya, bekerjasama dengan orang yang menolak perjuangannya untuk mendirikan negara Islam ala PAS, mempertahankan pendapat tokoh bukan Islam supaya orang Islam longgarkan pegangan mereka kepada ajaran agama Islam.

“Harapan Nik Aziz ialah dengan melakukan semua ini orang bukan Islam di Malaysia akan sokong partinya dalam pilihan raya. Bukan Islam yang diutamakan, bukan mengabdikan diri kepada Allah, tetapi kemenangan dalam pilihan raya,” katanya lagi.

MI

1 comment:

kilas balik said...

Adus Madey neh!!!
Klu dh Islam tuh knpa ada label Nasionalis dibelakangnya,mcm Paklah,dh ada Islam knpa nk tambah Hadhari pulak!!!
Senang je Madey,serulah Isteri Tun tu menutup rambutnya sblm Nak seru Nik Aziz utk memenuhi kehendak Tun..
Bab agama x bole nk ckp sewenang-wenang Tun,kerjakan dahulu apa yg Tun wajib lakukan,kemudian barulah seru org lain kpd apa yg kamu telah kerjakan..Sudahkah Tun bertaubat dari kata2 Tun bahawa Nabi simpan janggut sbb x der pisau Gilete???Ker Tun dh lupa???

follow on fb

share

Share |

BLOGGER PERAK

BLOG BLOG PANAS

BLOG PIMPINAN PAS/PR

BLOG MUSLIMAT

Blog Masjid

Blogroll

Archives

Related Posts with Thumbnails

Header bergerak