Friday, February 18, 2011

Bukan Melayu tergugat, tapi ketuanan Umno terhakis

KUALA LUMPUR, 18 Feb: Kebimbangan Umno kononnya hak dan keistimewaan orang Melayu semakin terhakis di bawah kuasa Pakatan Rakyat adalah tidak berasas sama sekali sebaliknya sengaja diada-adakan untuk menakut-nakutkan rakyat agar tidak menyokong pakatan itu.

Sedangkan PAS dalam Pakatan Rakyat konsisten untuk mempertahankan hak dan keistimewaan orang Melayu seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

Exco Dewan Pemuda PAS Pusat, Abdullah Karim berkata, golongan muda tidak harus terpengaruh dengan ketakutan yang ditimbulkan itu kerana perlembagaan bukanlah perkara yang boleh dipinda dengan sewenang-wenangnya.

"Secara realitinya, walaupun perlembagaan itu merupakan dokumen yang boleh dipinda tetapi kita semua tahu tidak cukup untuk dipinda kalau sekadar mendapat dua pertiga.

“Prosesnya cukup ketat, kena dapatkan kebenaran dari Majlis Raja-Raja sebagai contoh. Jadi apa yang nak dibimbangkan?

“Saya pernah sebut dalam PAS, kalau katakan DAP menang majoriti dalam Dewan Rakyat, mereka pun tak mampu buat kalau mereka kata nak pinda perlembagaan berkaitan perkara ini,” kata beliau dalam forum Ketuanan Melayu: Umno Rasis atau PR Retorik di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor, dekat sini malam tadi.

Beliau berkata, Ketuanan Melayu kembali dicanangkan Umno selepas pilihan raya umum 2008 yang menyaksikan kemerosotan sokongan rakyat terhadap Umno BN.

Kenapa bising-bising (mengenai ketuanan Melayu) sekarang ini? Timbul hak Melayu makin terhakis, Raja Melayu semakin dipinggirkan?

“Sebabnya senang sahaja. Bukan sebab hak orang Melayu digugat tapi yang menjadi masalah besar ialah hilangnya ketuanan Umno,” katanya.

Menurutnya, tanpa melaungkan Ketuanan Melayu, PAS konsisten menjaga perkara yang termaktub dalam perlembagaan ini malah menjadikan perkara tersebut sebagai agenda dalam Pakatan Rakyat.

“Sikap PAS sejak puluhan tahun dulu sehingga sekarang, kita konsisten mempertahankan keistimewaan orang Melayu yang wujud dalam perlembagaan.

“Sebab itu PAS sanggup bersama dalam Pakatan Rakyat, kita tidak kompromi soal tersebut dan perjanjian dibuat bersama Pakatan Rakyat sebelum konvensyen pertama Pakatan Rakyat pada 2009,” katanya.

Sehubungan itu, golongan muda tegasnya tidak perlu terpengaruh dengan Ketuanan Melayu yang menjadi agenda politik sempit Umno.

“Momokan ini bagi orang muda yang semakin celik maklumat, kita akan faham bahawa segala kekalutan yang timbul ini semata-mata bersifat politik,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata, Ketuanan Melayu hanya mementingkan kuasa politik dominan Melayu tanpa menyedari bahawa kekuatan Melayu yang sebenar ialah jati diri.

“Kuasa politik dominan orang Melayu dikatakan perlu untuk kononnya menjamin kedudukan orang Melayu.

“Kalau tak ada kuasa politik, hak dan kedudukan orang Melayu akan terjejas. Sebab itu Mac 2008 merupakan titik tolak yang sangat besar kerana dilihat berlaku hakisan dominan politik,” katanya.

Tambahnya, Melayu terus dilemahkan dengan kononnya terus memerlukan ‘tongkat’ dari kerajaan untuk maju dalam ekonomi selain diajar untuk mengambil hak bangsa lain jika ingin maju dalam ekonomi.

“Teras yang terus dipasakkan dalam pemikiran Melayu ialah orang Melayu terus perlukan tongkat untuk maju dalam ekonomi kerana tanpa bantuan berterusan dari kerajaan Melayu akan tenggelam.

“Untuk orang Melayu mendapat kedudukan dalam bidang ekonomi, kita perlu ambil bahagian orang lain. Itu yang menjadi teras Ketuanan Melayu yang perlu diteliti kembali,” katanya.

Ujarnya, perbincangan mengenai Melayu seringkali disensitifkan tanpa merujuk sejarah secara keseluruhan menyebabkan timbulnya sifat tidak senang Melayu terhadap kaum lain.

“Perbahasan tentang Melayu ini terlalu emosi dan diherotkan perbincangannya. Contohnya bila kita bercakap tentang ekonomi, kita tidak adil apabila menidakkan peranan kaum lain dalam membina ekonomi negara.

“Kalau baca sejarah negeri Johor, berapa ramai yang tahu bahawa dalam tahun 1850-an dan 1860-an lebih ramai orang Cina daripada orang Melayu di sana.

“Kita kena baca sejarah secara keseluruhan, jangan tinggalkan idea tokoh pimpinan dahulu yang banyak beri kesan kepada negara. mereka bukan Umno, bukan Perkasa tapi orang seperti Zaaba, mereka bawa kesedaran kepada rakyat bahawa orang Melayu tertekan dan dimangsakan golongan elit pemerintah dari dulu lagi,” katanya.

Turut menjadi panel pada forum yang dihadiri majoriti golongan muda itu ialah Naib Presiden Perkasa, Dr. Asyraf Wajdi dan blogger Umno Reform, Anuar Mohd Nor.

Sumber

No comments:

follow on fb

share

Share |

BLOGGER PERAK

BLOG BLOG PANAS

BLOG PIMPINAN PAS/PR

BLOG MUSLIMAT

Blog Masjid

Blogroll

Archives

Related Posts with Thumbnails

Header bergerak