Friday, September 17, 2010

Sekolah Harapan mula operasi tanpa pelajar, cuma ada tiga panggilan - The Malaysian Insider



Sekolah Harapan dibuka hari ini bagi menempatkan pelajar yang hamil luar nikah. — Gambar oleh Choo Choy May
MELAKA, 17 Sept — Sekolah Harapan untuk menempatkan pelajar-pelajar mengandung anak luar nikah dibuka secara rasmi pagi tadi walaupun tiada kemasukan pelajar pada hari pertama hari ini.

Pengerusi Lembaga Sekolah Harapan Rumah Harapan Datuk Ab. Rahman Ab. Karim berkata sekolah itu tetap akan memulakan operasinya bagi melindungi pelajar yang mengandung luar nikah dari terus tersesat jauh.

“Sekolah ini walaupun tiada pelajar pada hari pertama ini tetapi ia akan tetap beroperasi.

“Setakat ini kami sudah terima tiga panggilan dan satu mesej bertanyakan permohonan kemasukan pelajar ke sekolah ini, ini perkembagan yang baik,” kata beliau pada sidang media khas di sini.

Beliau berkata setakat ini panggilan telefon yang diterima pihaknya adalah pelajar dari negeri Johor dan Negeri Sembilan.

Pengerusi Lembaga Sekolah Harapan Datuk Ab Rahman Ab Karim merasmikan operasi sekolah tersebut pagi tadi. — Gambar Choo Choy May

Malah katanya salah satu panggilan daripadanya bertanyakan adakah mereka yang sudah berumur 30 tahun ke atas boleh ditempatkan bersama pelajar mengandung anak luar nikah tersebut biarpun umur sudah semakin meningkat.

Beliau bagaimanapun berkata proses pemilihan akan dibuat secara lebih teliti sebelum benar-benar menerima sebarangan pelajar.

Sekolah khas itu menerima bantuan kerajaan negeri sepenuhnya dengan peruntukan sebanyak RM500,000 disalurkan bagi menanggung segala bentuk keperluan pelajar di sekolah dan asrama.

“Kerajaan negeri salurkan RM500,000 untuk pelajar dan peruntukan ini termasuk peruntukan sepanjang mereka mengandung dan selepas mereka lahirkan anak.

“Ia termasuk perbelanjaan bagi kos perubatan mereka,” kata beliau lagi.

Selain itu, kata beliau, kerajaan negeri turut menyediakan empat kelas bagi pelajar tingkatan 2, 3, 4 dan 5 bagi melangsungkan pembelajaran mereka menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah dan Sijil Pelajaran Malaysia.

Malah pelajar turut disediakan satu makmal komputer untuk mereka menikmati kemudahan Internet mengikuti perkembangan semasa dan tidak ketinggalan daripada arus siber.

Dalam pada itu, Rahaman berkata sekolah khas itu akan diletakkan di bawah pemantauan sepenuhnya Jabatan Agama Islam Melaka dan pada masa sama akan menjalin kerjasama mendaftarkan pelajar bersama Jabatan Pendidikan Negeri untuk peperiksaan yang bakal diduduki.

Rahaman turut berkata, jabatan itu akan meneliti pemilihan pelajar dengan lebih terperinci bagi mengelak tiada sebarang kesempatan diambil atas niat murni kerajaan negeri menubuhkan sekolah tersebut.

“Terdapat proses-proses tertentu perlu dilalui, antaranya ialah proses permohonan, proses mewawancara mangsa rogol dan terlanjur, proses kaunseling keluarga dan akhirnya baru pemilihan dibuat,” katanya lagi.

Beliau berkatam seraya penubuhan sekolah ini berniat baik dan berharap ia diterima oleh masyarakat walaupun lambat laung.

“Setakat ini kami juga menerima banyak surat sokongan daripada golongan cendikiawan yang turut sama menyatakan sokongan mereka kepada penubuhan sekolah ini, saya yakin sekolah ini akan terbela dan diterima rakyat kelak,” kata beliau.

Tinjauan The Malaysian Insider ke asrama pula mendapati dua bilik tidur khas diasingkan bagi menempatkan pelajar yang sedang mengandung dan juga selepas melahirkan anak.

Sebanyak lapan katil disediakan buat masa ini dengan kemudahan peralatan lain seperti almari baju, mesin cuci pakaian dan dapur yang terkemas rapi serta ruang tamu yang selesa.

Selain kemudahan asas itu, kerajaan negeri juga tidak akan melupakan tanggungjawapnya dalam menyediakan kursus yang berkaitan dengan pelajar selain modul pembelajaran peperiksaan.

“Kami turut sediakan kursus kemahiran keibubapaan dan kursus memasak kepada mereka bahkan berharap melalui kursus ini dapat memberi keyakinan kepada mereka menempuh cabaran di luar sana selepas mereka keluar dari sekolah ini nanti,” katanya.

Sekolah khas itu mempunyai empat kakitangan yang menempatkan seorang pengetua, kerani, pembantu dan pemandu manakala asrama pula akan menempatkan lima pekerja termasuk penyelaras, tiga pembantu dan seorang pemandu.

The Malaysian Insider turut sempat mewawancara salah seorang Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam Nurlizawati Abdullah yang akan membantu pengurusan di sekolah khas itu.

Beliau berkata kesemua kakitangan dilengkapkan dengan kursus khas bagi menjaga pelajar mengandung ini.

“Kursus tatacara penghuni, pentadbiran telah diikuti dan kami akan pergi mengikuti kursus di bawah kelolaan Jabatan Kebajikan Masyarakat seminggu di Air Lereh dan dua minggu di Pejabat Tunas Bakti,” katanya yang teruja dengan tanggungjawap baru yang digalasnya sekarang.

Turut hadir pada sidang media tersebut ialah Pengarah Penguatkuasaan JAIM Rahimin Bani dan beberapa pegawai Kebajikan Masyarakat.

Bagaimanapun Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang dijangkakan akan merasmikan pembukaan sekolah ini tidak dapat hadir ekoran beliau masih berada di Sabah.

The Malaysian Insider

No comments:

follow on fb

share

Share |

BLOGGER PERAK

BLOG BLOG PANAS

BLOG PIMPINAN PAS/PR

BLOG MUSLIMAT

Blog Masjid

Blogroll

Archives

Related Posts with Thumbnails

Header bergerak