Isu Perkasa: Ibrahim kecewa parti kaum Cina kuasai UMNO
KUALA LUMPUR, 15 Sept — Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali berkata, MCA kini menguasai Umno yang minggu lalu mengisytiharkan pendiriannya menjauhkan diri daripada pertubuhan bukan kerajaan membela hak dan kepentingan orang Melayu itu.
Ibrahim berkata, Barisan Nasional (BN) akan bertindak seolah-olah Pakatan Rakyat (PR) yang menurutnya parti-parti orang Melayu dan Islam seperti PAS dan PKR kini dikuasai oleh DAP.
“DAP sudah memperbodohkan PAS dan PKR. Kini MCA, Gerakan sudah nak memperbodohkan Umno pula. (Datuk Seri Dr Chua) Soi Lek, Presiden MCA pernah berkata tidak salah MCA sependapat dengan DAP atas isu kepentingan orang Cina. Ini tak salah.
“(Nampaknya) Pemimpin Umno terlalu bijak jika (hingga) mahu menjauhkan diri daripada Perkasa,” kata Ibrahim dalam kenyataan menerusi SMS.
Ahli Parlimen Bebas dari Pasir Mas ini juga membidas kenyataan Setiausaha Agung MCA Datuk Seri Kong Cho Ha kelmarin berhubung sokongan yang dizahirkan oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Perkasa berjuang dan mahu membela hak orang Melayu dan Bumiputera sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Perkasa juga berkata kepentingan bukan Melayu yang disebutkan dalam Perlembagaan Persekutuan juga akan dilindungi.
“Jadi, apa kena-mengena dengan dakwaan bahawa Perkasa ektremis atau perkauman?
“Saya mengambil kisah kebajikan orang Cina di kawasan saya, saya menghadiri majlis pengagihan wang dan hamper kepada orang Cina yang memerlukan bantuan dari semasa ke semasa di kawasan saya,” katanya.
“Jadi, apa yang dimaksudkan dengan xenofobia? Jika Perkasa boleh datang dengan bukti-bukti seperti ini, saya mahu Kong sendiri membuat penjelasan.
“Adakah beliau mengecam tuntutan-tuntutan badan mewakili masyarakat Cina yang mahu kuota orang Melayu dan Bumiputera ditamatkan sebagai kenyataan rasis dan bercanggah dengan perlembagaan?” katanya.
Sehubungan itu kata beliau, adakah pihak berkenaan kecewa hanya kerana Dr Mahathir menyokong Perkasa.
“Apa lagi yang boleh diperkatakan oleh beliau (Dr Mahathir)... dia ingat MCA saja kecewa, kita juga kecewa dengan golongan yang tak tahu hendak berterima kasih dan menghargai budi... MCA tidak dapat sokongan kerana orang Cina membenci pada pemimpinnya,” katanya.
Kelmarin, MCA kesal dengan pendirian Dr Mahathir bahawa Umno tidak harus membelakangi Perkasa jika tidak mahu BN hilang sokongan dalam pilihan raya umum ke-13.
Jelas Kong, BN tidak harus sama sekali berkompromi dalam soal menjauhkan diri daripada Perkasa.
Kata Kong, MCA mengalu-alukan komen pelbagai pemimpin Umno yang mahu menjauhkan diri mereka daripada Perkasa yang dilihat mengambil pendirian berbaur perkauman atas alasan sebarang kerjasama dengan pertubuhan itu hanya akan menghakis sokongan kepada Umno.
Tegas pemimpin MCA itu, BN tidak boleh memikat sokongan ramai menerusi kerjasama dengan kumpulan-kumpulan ekstrem, sebaliknya memerlukan mandat daripada semua lapisan rakyat.
Oleh itu tambah Kong, sebarang ikatan dan kerjasama dengan pertubuhan ekstrem hanya akan menghakis undi kepada BN.
Malaysiainsider
No comments:
Post a Comment