SHAH ALAM 24 Ogos - Jentera propaganda Umno-Barisan Nasional bekerja lebih masa setiap hari menghambur pelbagai fitnah dan tohmahan terhadap Pakatan Rakyat untuk meraih sokongan rakyat namun malangnya segala taktik kotor mereka telah lama dihidu dan disedari rakyat negara ini.
Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata Umno-BN tidak ada lagi pilihan melainkan menabur fitnah secara berterusan hatta dalam bulan Ramadhan yang mulia sekali pun.
Ini terbukti apabila pihak tertentu menyebarkan khidmat pesanan ringkas (SMS) mengatakan akan menghadiri majlis bagi mengedar bir percuma di sebuah kafe selepas solat Tarawikh Sabtu lalu.
Beliau berkata ini menunjukkan betapa Umno-BN amat terdesak untuk menjatuhkan Pakatan Rakyat di Selangor, walaupun pada bulan Ramadhan.
"Saya cukup terkejut apabila mendapat panggilan daripada wartawan Sinar Harian petang Sabtu bertanyakan samada saya akan hadir ke Asia Cafe untuk membuat kunjungan muhibbah dan seterusnyamengedarkan bir kepada tetamu. Malah Hannah Yeoh (Ahli Dewan Undangan Negeri Subang Jaya) menalipon saya memberitahu SB (anggota polis Cawangan Khas) menghubungi beliau bertanya samada saya akan hadir ke majlis itu.
"Ini jelas satu fitnah telah disebarkan oleh pihak tertentu terhadap saya, malahan saya tidak tahu pun di mana Asia Cafe ini," tegas Khalid.
Kata beliau, tindakan ini adalah satu petanda Umno-BN telah kehilangan idea untuk menentang Pakatan Rakyat di Selangor secara intelektual dan terpaksa menggunakan taktik jijik seperti ini.
"Umno-BN sedar rakyat semakin menolak mereka kerana salahguna kuasa, penyelewengan dan amalan rasuah. Jadi mereka tidak berani untuk mengatakan mereka lebih baik daripda Pakatan Rakyat tetapi cuba nak pengaruhi rakyat dengan memfitnah Pakatan Rakyat pun sama teruk seperti mereka.
"Masyarakat sudah sedar bahawa Umno-BN sakit dengan isu rasuah dan sebagainya, maka tindakan ini hanya akan memburukkan lagi keadaan bagi mereka di mata rakyat," ujar beliau.
Menyentuh mengenai kerjasama erat PAS-DAP, Khalid berkata satu ketika dahulu Umno-BN mengutuk dan mengatakan tidak mungkin kedua parti itu dapat bekerjasama tetapi sangkaan mereka terbukti salah apabila kerajaan Pakatan Rakyat Selangor ditubuhkan atas gabungan KEADILAN, PAS dan DAP.
"Umno-BN sudah keliru dengan matlamat mereka di Selangor. Ada ketikanya mereka mengutuk DAP kerana mahukan undi Melayu tetapi pada masa yang sama mengutuk PAS kerana mahukan undi kaum Cina. Tindakan bercelaru begini jelas petanda Umno-BN akan terpaksa menghadapi tentangan yang jauh lebih hebat pada pilihan raya umum ke-13 nanti," kata beliau lagi.
No comments:
Post a Comment