Monday, August 23, 2010

Betulkah kerjanya suka mengkafir orang?

Betulkah kerjanya suka mengkafir orang?
Wan Nik Wan Yussof

Topik tulisan kali ini adalah seperti tertera. Asal topik ini adalah cetusan bila membaca apa yang dicetak oleh Utusan Malaysia melalui versi Mingguan Malaysia ( 15 Ogos 2010) yang bertajuk “Jangan terlalu berani mencabar” hasil tulisan seorang pensyarah universiti di bawah kementerian dipimpin Datuk Ahmad Zahid. Kononnya pensyarah itu berkelulusan doktorat dari UPM, tetapi pernyataan di dalam tulisannya didapati sudah menyindir PAS secara lorat. Apa yang dicetak Utusan Malaysia itu sudah dibaca seperti berikut:

“Kedudukan pribumi dan pandangan mereka diperhalusi. Maka tidak hairanlah lima perkara utama berkaitan Islam dan pribumi difokuskan seperti kedudukan Raja-Raja Melayu, kedudukan agama Islam, kedudukan bahasa Melayu, kedudukan istimewa orang Melayu dan kerakyatan sama rata. Walaupun Pas menuduh Perlembagaan Reid ini perlembagaan kafir kerana kerjanya suka mengkafir, ruang untuk Islam dan pribumi berkembang begitu besar, dengan tidak menafikan hak bukan Islam. Kelebihan yang dinikmati oleh Islam dan pribumi inilah yang menimbulkan kedengkian dan rasa tidak puas orang ini dan ultra kiasu yang lain.”

Persoalannya, apakah kaitannya pensyarah Cina Muslim itu yang begitu syok memuji Suruhanjaya Reid yang menggubal perlembagaan negara itu, tiba-tiba menyindir PAS dengan tuduhan bersifat lorat, tidak articulate, mual, meloya dan berupa buah cakap peminum kopi pahit di kedai canggung? Kalaulah suka sangat memuji penggubal perlembagaan yang majoritinya ‘orang luar’ dilantik oleh penjajah Inggeris, janganlah pula meremeh dan mengaitkan secara aib parti PAS. Sedangkan PAS dari sudut sejarahnya turut menyumbang idea kepada penggubalan perlembagaan sehingga Islam diterjemah sebaiknya di dalam perlembagaan negara sekarang.

Sumbangan PAS kepada Suruhanjaya Reid

Realitinya, mungkin ramai tidak pernah membaca Memorandum PAS Kepada Suruhanjaya Reid bertarikh 14 Julai 1956 dan Ulasan PAS Terhadap Peñyata Perlembagaan Reid bertarikh 2 Mei 1957. Kandungan daripada kedua-dua sumber itu dengan jelas menyentuh dan mengandungi lima syor yang antara lainnya agar dimasukkan asas kepentingan orang Melayu dan kedudukan Islam sebagai agama yang menjadi panduan hidup bernegara. Justeru arkib sejarah ini adalah saksi mutlak peranan PAS sebagai pendesak pada masa itu sudah mengatasi Umno yang kononnya berjuang untuk merdeka, tetapi lena dengan ulikan penjajah dalam memperkasakan Melayu dan agama Islam.

Mungkin latar sejarah sebelum merdeka tiada dalam pengetahuan pensyarah tersebut yang memang dilahirkan oleh ibunya selepas negara merdeka. Tambah memilukan lagi, pensyarah yang sudah mendapat ruang kolum di dalam akhbar suara Umno itu sebenarnya tidakpun pernah diiktiraf sebagai ‘orang Umno’ tetapi ayat-ayat membodek Umno sudah terang mengalahkan menteri Umno. Namun sayang sekali ia tidak pernahpun memahami konteks luhur akidah apa yang diucapkan oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi yang dicetak oleh Omar Khalid yang sudah jadi orang kuat Umno lalu dibubuh tajuk “Amanat Haji Hadi”. Ini kerana loratnya pensyarah itu menulis mengaitkan PAS dengan kata kunci ‘perlembagaan-Reid-kafir’ itu semacam bersumberkan amanat tersebut. Namun ternyata beliau tersalah faham konteks luhur akidah kandungan yang dikatakan ‘amanat’ itu.

Bagi berlaku adil saya perturunkan apa yang dicetak oleh Omar yang pernah mendapat untung hasil jualan kaset ceramah pemimpin PAS. Cetakan itu dibaca seperti berikut:

“Kita menentang UMNO, bukan kerana nama dia UMNO. Kita menentang Barisan Nasional bukan kerana dia lama memerintah kerajaan. Kita menentang dia ialah kerana dia mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan undang-undang kafir, mengekalkan peraturan jahiliyah. Oleh kerana itulah kita menentang mereka. Oleh kerana itulah kita menghadapi mereka. Oleh itulah kita cuba berlawan dengan mereka.

“Percayalah saudara-saudara sekelian,

“Perjuangan kita adalah jihad, ucapan kita adalah jihad, derma kita adalah jihad. Bergantunglah kita kepada Allah dengan (menghadapi) puak-puak ini kerana kalau kita mati melawan puak-puak ini, mati kita adalah syahid. Mati kita adalah Islam. Kita tidak perlu masuk Buddha, Kita tidak perlu masuk Hindu, Kita tidak perlu masuk Kristian, Tapi kita menjadi kafir dengan mengamalkan 'politik suku, agama suku'.”

Persoalan di sebalik ‘amanat’ tersebut, adakah dengannya layaklah PAS dituduh kerjanya suka mengkafir? Di manakah pula konteksnya, PAS menuduh Perlembagaan Reid ini perlembagaan kafir? Mungkin persoalan yang terbuku bagi pensyarah itu ialah pada hujah menjadi kafir dengan mengamalkan ‘politik suku agama suku’. Jika inilah butiran yang disandarkan lalu mengatakan kerjanya suka mengkafir, nyata sekali ia adalah tindakan yang lorat dan mendahului Majlis Fatwa Kebangsaan yang sudahpun mengadakan perjumpaan dengan Tuan Guru Haji Hadi dalam soal ini pada 1984, dan kesediaan untuk berjumpa lagi telah diulangi balik tahun 2001. Apa yang nyata, majlis itu hanya berpandangan ‘amanat’ yang dicetak secara petikan tanpa bukti sumber asal itu sebagai bertentangan dengan Islam. Namun tiada fatwa mengenainya.

Salah faham

Atas asas itu, semasa berbahas di parlimen tahun 2001, Tuan Guru Haji Abdul Hadi sekali lagi mengulangi pendiriannya untuk memperbetulkan salah faham terhadap ‘amanat’ yang dicetak itu. Namun, tiada penegasan rasmi pihak majlis tersebut. Apakah dengan kekaburan akademik sedemikian cukup adil (fair and fairness) untuk menghukum bahawa kerjanya (dirujuk kepada PAS) suka mengkafir?

Natijahnya akidah seorang Muslim apabila menegas dan mengamalkan serta menyakini bahawa di dalam Islam tidak ada sistem politik, atau menganggap urusan politik suku urusan agama suku, atau juga mengadakan peraturan yang melarang bercakap agama semasa berpolitik dan melarang bercakap politik semasa bercakap agama, lalu menyimpulkan bahawa politik suku agama suku; apakah akidah Muslim sedemikian luhur dengan akidah Islam yang diajar oleh Nabi Muhammad? Sedangkan sunah baginda ketika berkuasa di Madinah adalah “pemerintahan negara itu hendaklah ditadbir dengan agama dan agama yang menjadi panduan bernegara.” Demikian pula, di manakah untuk menyesuaikan fekah bernegara (siasah syar’iyyah) “iqamatiddin wa siasatudunyabih” yang mengarahkan pemerintah menjalankan urusan memakmurkan agama dan menjadikan agama sebagai panduan mentadbir? Apa yang jelas, kesan daripada hujah pemimpin PAS bahawa tidak boleh memisah-misahkan politik dengan agama (tidak berlaku sama sekali atas nama Islam, politik suku agama suku), maka pemimpin negara dan sebahagian besar penyokong Umno sudah menerimanya sebagai benar belaka! Justeru, apa yang diungkap mengenai politik suku agama suku, bukannya frasa yang sah untuk mengaitkan parti PAS sebagai kerjanya suka mengkafirkan orang.

Akhirnya, sayugia kebenaran itu tetap benar, maka mengenali perjuangan benar hanya atas petunjuk agama. Tiada kebenaran atas semata-mata kekuatan akal fikiran, melainkan rahmah dan karomah dari Allah jua mengatasi segala akal fikiran. Kembalinya kepada panduan al-Quran, bertunaslah akidah yang luhur bagi menilai mana yang benar dan mana yang palsu.

Penulis adalah Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan.



No comments:

follow on fb

share

Share |

BLOGGER PERAK

BLOG BLOG PANAS

BLOG PIMPINAN PAS/PR

BLOG MUSLIMAT

Blog Masjid

Blogroll

Archives

Related Posts with Thumbnails

Header bergerak