SHAH ALAM, 28 Mac: Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengingatkan umat Islam jangan mengejutkan fitnah yang sedang tidur kerana bahayanya akan menimpa semua orang.
Menurutnya, Allah SWT menyatakan kejahatan fitnah bukan hanya terkena orang zalim sebaliknya akan terkena sesiapa sahaja.
Katanya, fitnah apabila melanda dalam masyarakat adalah seperti malam gelap gelita dan sesiapapun sudah tidak dapat membezakan siapa yang ada di hadapannya.
Tuan Ibrahim berkata demikian ketika menyampaikan Kuliah Maghrib dalam majlis Solat Hajat dan Pidato Khas anjuran Pakatan Rakyat yang sedang diadakan di Stadium Malawati, dekat sini.
(Gambar: Ribuan turut menunaikan solat hajat yang diimamkan Presiden PAS)
Tuan Ibrahim berkata sifat fitnah, ia hanya laku ketika awal sahaja selepas itu, ia akan ditolak oleh masyarakat dan rakyat.
Beliau mengaitkan fitnah isu video seks yang ditolak selepas sahaja saiz perut pelakon kelihatan berbeza.
"Kerana itu, dalam hal ini kita kena menjaga perut kita kerana kini ia sudah menjadi bahan bukti.
"Dalam zaman teknologi tinggi kini, jika perut atau bahu kelihatan berbeza, keadaan ini masih boleh dibaiki dengan editan dalam waktu sekejap sahaja," tegasnya.
Disiplin Islam, ujarnya, menegaskan setiap berita apabila ia datang wajib dikaji selidik terlebih dahulu, bukan tayang baru hendak dikaji.
Inilah yang menyebabkan berlakunya fitnah besar, ujarnya, melibatkan maruah termasuk keluarga dan sanak saudara.
Sementara itu selepas solat Isyak tadi, berlangsung solat hajat yang diimamkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Turut berlangsung sekarang ini adalah pidato khas oleh pimpinan PR seperti Presiden PAS sendiri, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Ketua Umum Keadilan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang
Harakahdaily
No comments:
Post a Comment