Thursday, May 6, 2010

Isu RM4 juta: Husam buat penjelasan terbuka malam ini

"Kalau merasakan apa yang ditulis itu benar, namakan saja orang-orang yang terlibat. Jangan berselindung di sebalik kesamaran tanpa nama begini," tulis Husam dalam facebooknya.



KUALA LUMPUR, 6 Mei: Exco kerajaan negeri Kelantan, Datuk Husam Musa buat pertama kalinya akan memberikan penjelasan secara terbuka isu RM4 juta sebagaimana yang disebut oleh penulis blog, Syed Azidi Abdul Aziz atau Sheikh Kickdefella.

Beliau akan membuat penjelasan itu dalam satu majlis ceramah yang akan diadakan di Taman Guru, Kota Bharu malam ini.

Husam memaklumkan perkara ini dalam laman komuniti facebooknya hari ini.

Dalam tulisan itu juga, Husam menjemput semua rakannya dalam facebook menyertai beliau dalam majlis ceramah tersebut.

Terdahulu dari itu, Husam menulis seakan mencabar Kickdefella agar menamakan dengan jelas pihak-pihak yang didakwa memberikan duit kepada beliau itu.

"Kalau merasakan apa yang ditulis itu benar, namakan saja orang-orang yang terlibat. Jangan berselindung di sebalik kesamaran tanpa nama begini," tulis Husam dalam facebooknya.

Kickdefella telah mendakwa menerima RM4 juta dari lima pihak untuk menjalankan operasi gerak saraf di Kelantan bagi memburukkan peribadi Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Namun sehingga kini, beliau masih belum menyatakan dengan jelas siapakan penama-penama tersebut.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali menafikan PAS memberikan wang itu kepada Kickdefella manakala Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar pula berkata, tidak ada apa yang salahnya dengan usaha untuk menjatuhkan BN itu asalkan duit itu bukan datang dari sumber yang tidak betul.

Husam dalam respon awalnya pula berkata, "bagaimana kalau saya katakan wang itu datang dari Umno yang sama-sama tidak suka kepada Pak Lah."

Bercakap kepada media semalam, Husam juga tidak ingin memberikan penjelasan kerana nama beliau belum dinamakan oleh media.

"Saya sepatutnya tidak mengulas isu RM4 juta ini kerana nama saya secara rasmi tidak dikaitkan oleh mana-mana media.

"Jadi saya minta surat khabar sebut nama saya dulu, dikatakan ada lima dalang tapi tak letak nama, hanya sebut seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, seorang Ahli Majlis Perbandaran, seorang itu, seorang ini, tapi tak sebut nama.

"Saya yakin media ini pun ada agenda tertentu dan tidak berani berterus terang. Pada pandangan saya media hanya memperbesarkan dan memutarbelitkan isu ini," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri di Pejabat Menteri Besar hari ini.

Sehingga kini, Kickdefella sudah dua kali memberikan keterangan kepada SPRM berkaitan dengan isu ini dan SPRM telah meminta beliau jangan lagi membuat sebarang kenyataan terbuka agar tidak mengganggu siasatan pihaknya.

Harakahdaily

No comments:

follow on fb

share

Share |

BLOGGER PERAK

BLOG BLOG PANAS

BLOG PIMPINAN PAS/PR

BLOG MUSLIMAT

Blog Masjid

Blogroll

Archives

Related Posts with Thumbnails

Header bergerak