SHAH ALAM, 2 JANUARI - Tuduhan penulis blog Raja Petra Kamaruddin(RPK) bahawa wujud gejala di Selangor yang melibatkan pemberian duit kopi oleh usahawan berbangsa Cina adalah satu tuduhan yang serius.
Perkara ini dinyatakan oleh Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin dalam satu kenyataan kepada TV Selangor hari ini.
Menurutnya, beliau terpanggil untuk memberi komen selepas membaca temubual eksklusif RPK akhbar-akhbar milik Umno yang disiarkan semalam.
Jelasnya, beliau menghormati hak RPK melakukan analisa politiknya namun berasa mushkil dan sesungguhnya hanya beliau seorang sahaja yang mengetahui logik sebenar kenyataan tersebut.
“Tuduhan adalah serius. Kami menuntut RPK untuk tampil memberikan butiran lanjut kepada Kerajaan Negeri dan pihak berwajib agar penyiasatan terperinci dapat dilakukan.
“Kerajaan Negeri bersedia membayar kos perjalanan RPK ke Pejabat Pentadbiran Kerajaan kerana untuk makluman RPK Kerajaan Negeri Selangor telah memperuntukkan sejumlah RM15 juta untuk membasmi rasuah dan penyalahgunaan kuasa di Negara ini khususnya di Selangor.
“Jumlah tersebut termasuk di dalam Geran Selangorku yang diumumkan oleh YAB Dato’ Menteri Besar ketika pembentangan Belanjawan 2012 yang lalu,” katanya.
Tambahnya dengan apa yang disediakan kerajaan Selangor, RPK seharusnya mengambil peluang ini untuk membantu membenteras gejala ini di Selangor.
“Beliau sendiri dari darah bangsawan negeri Selangor. RPK tidak seharusnya melemparkan dakwaan liar hanya semata-mata mahu memperlekeh usaha Kerajaan Negeri untuk mewujudkan sebuah pentadbiran yang baik, bersih dan penuh pertanggungjawaban,” katanya yang simpati terhadap kekecewaan RPK yang bergelut dengan masalah peribadi dan hidup dalam buangan.
Faekah mengingatkan PRK bahawa dakwaan liar sebegini tidak akan membantu membawanya pulang ke negara ini. Sebaliknya ianya hanya akan mencemarkan lagi imejnya yang sudah sediakala tercalar.
Katanya, ini sebagai serangan awal bagi menghadapi pilihan raya umum dan jelas ia ditujukan kepada kerajaan negeri dan Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Penasihat Ekonomi Negeri.
Bagaimanapun Faekah percaya rakyat boleh menilai sendiri kenyataan dan dakwaan yang dibuat oleh RPK seperti disiarkan The Sunday Times dan Berita Minggu- dua akhbar yang dulunya pernah mengkritik dan mengutuk RPK secara keras kerana menentang Kerajaan Barisan Nasional.
No comments:
Post a Comment