NGEH KOO HAM

IPOH – DAP Negeri menzahirkan sokongan tidak berbelah bagi kepada Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar jika Pakatan Rakyat (PR) memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 berdasarkan kredibilitinya.

Sebelum ini, ada khabar angin mengatakan DAP akan meletakkan calon Melayu di mana-mana Dun yang diyakini mempunyai potensi untuk menang, namun ditegaskan oleh Pengerusinya, Datuk Ngeh Koo Ham bahawa pemimpin paling layak bagi jawatan Menteri Besar adalah Mohammad Nizar jika kemenangan berpihak kepada PR nanti.

Katanya, pendirian DAP tidak pernah berubah walau apa pun terjadi, malah PR negeri juga telah memberi persetujuan sebulat suara untuk memilih Mohammad Nizar bagi meneruskan agenda perjuangan rakyat yang tertangguh setelah kuasa pemerintahan bertukar kepada BN.

“Walau ada sekalipun calon Melayu yang dipilih untuk mewakili DAP dan ditakdirkan menang, kami akan tetap memastikan Mohammad Nizar menerajui negeri Perak.

“Lagipun, setakat ini, kami masih belum menentukan sama ada akan meletakkan calon Melayu atau tidak. Sekiranya ada, perbincangan dengan rakan pakatan Pas dan PKR akan diadakan terlebih dahulu untuk mencapai kata sepakat,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Tegasnya, DAP berpegang kepada prinsip kepelbagaian kaum, tidak kira siapa yang dipilih menjadi calon asalkan calon itu dapat menggalas tugas sebagai pemimpin kepada rakyat.

Katanya, bangsa Melayu, Cina mahupun India, akan dipilih jika ada di antara mereka mempunyai potensi dan berkaliber sebagai seorang pemimpin.

“Apa saja kedudukan yang penting bekerja untuk rakyat bukan hanya mencari kesalahan orang lain,” katanya.

Mengulas mengenai kedudukan Dun Jelapang dan Malim Nawar, Koo Ham menyatakan calon sudah ada, cuma buat masa ini pucuk pimpinan PR membuat keputusan tidak mengumumkannya kecuali pada masa yang sesuai.

“Kami mempunyai strategi tertentu sebagai persiapan menjelang PRU-13, kami tidak mahu umumkan calon ketika ini kerana dikhuatiri akan dimanipulasikan pihak tertentu yang mempunyai kepentingan,” katanya.


Sinar Harian