DI pejabat Imigresen dan Kastam, Woodlands pada malam 28 Jun lalu, ketika menunggu kereta api Ekspres Rakyat bergerak menuju stesen terakhir di Tanjung Pagar, seorang pekerja di situ berkata bahawa dia dijadualkan bakal bekerja di Stesen Kempas sejurus selepas penutupan stesen paling selatan dan bersejarah itu.
“Rumah-rumah kuarters kami pun dah habis kena tutup,” katanya, “Entah apa yang kerajaan Singapura nak buat dengan kuarters itu pun saya tak tahu.”
Suasana tenggelam seketika dengan hiruk-pikuk suara orang ramai. Walaupun namanya Keretapi Tanah Melayu (KTM), namun pelbagai bangsa bukan Melayu turut mengambil bahagian mengumpul gambar-gambar kenangan. Mungkin, bagi mereka perkhidmatan itu milik semua tanpa mengira bangsa. Tidak terlintas dalam fikiran mereka untuk ubah nama perkhidmatan kereta api itu.
Apabila pekerja itu bertanya – bilakah saya akan pulang, saya berkata tiket perjalanan balik pun belum saya beli. Mendengar jawapan saya, seorang rakannya yang berbangsa India mencelah, “Tiket balik Malaysia tu jangan-jangan dah habis? Tak apa, cubalah periksa kalau tiket perjalanan pulang masih ada.”
Apabila kereta api bergerak dari pemeriksaan pegawai Kastam dan Imigresen Woodlands, saya tidak lagi duduk di dalam gerabak, sebaliknya duduk di luar - di ruang terbuka, menghirup udara malam sambil menghitung kelibat jalan-jalan dalam kelam bayang-bayang lampu neon dan melibas pandangan ke arah pokok hutan yang kelihatan tumbuh indah merendang apabila sesekali lampu neon jalan menyerakkan cahaya pudarnya.
Pemandangan itu sememangnya tidak mengindahkan apatah lagi ketika pandangan malam itu bersulam geseran landasan-landasan rel kereta api yang bertingkah dengan suara cengkerik malam dan sesekali ada percikan api meletus ketika roda besi kereta api memukul rel-rel landasan itu. Saya cuba merenung nama jalan, ada yang terlepas pandang. Ada yang saya ingat seperti Rifle Radge Road dan akhirnya Keppel Road. Maka, itu bererti kereta api sudah hampir tiba ke stesen terakhir.
Saya melihat angka digit jam telefon bimbit. 10:17 malam! Ya, kereta api pun selamat tiba. Apabila jejak saja ke lantai, orang ramai berpusu-pusu merakam gambar. Saya takjub. Awalnya, saya menjangka ada sidang media lantaran terlalu banyak kamera yang menyilaukan pandangan mata.
Langkah terawal ialah mengambil tiket perjalanan pulang terlebih dahulu. Dan, sebagai yang dijangka, tiket sebenarnya sudah habis! Jangkaan para pekerja KTMB di Woodlands tadi yang berpesan agar saya membeli tiket dua hala sejak dari KL Sentral tadi sememangnya masuk akal juga.
“Kalau nak balik JB Sentral 30 Jun ni, dah tak ada. Kalau awak nak ke Segamat ada, tambangnya S$21,” kata seorang kerani di stesen. Lalu, saya terpaksa relakan hangus wang di situ setelah gagal mencari tarikh yang baik.
Terpaksa akur juga (dengan membeli tiket ke Segamat) kerana itulah satu-satunya cara agar saya dapat berikhtiar menaiki kereta api buat kali terakhir melewati kehijauan di Tanjung Pagar menuju ke Bukit Timah.
Dan Restoran M Hasan masih tegak teguh berdiri pada malam 28 Jun apabila menyambut pengunjung yang berpusu-pusu masuk ke ruang restoran itu.
Mereka bergambar dengan ghairah dan asyiknya sebelum ia ditamatkan operasinya pada akhir Jun ini. Di sini, teh tariknya 90 sen. Ya, sebetulnya, sudah banyak gerai makanan minuman yang sudah ditutup.
“Thank you to all my customers for your support throughout the years! – With Love, OA sis Rojak (Tini Rojak)” – Demikian antara tulisan yang ditampal di gerai kecil Tini Rojak itu.
Di ruang atas itu, ada surau terpencil yang saya tidak tahu adakah ia berfungsi dengan baik. Tapi, ketika bersendirian di sini, bersantai minum, ditemani hiruk-pikuk orang ramai barulah jelas kelihatan sehelai kertas yang ditampal dengan pengumuman berbunyi:
“Ramadan Tarrawih Prayers” | “At Tanjong Pagar Surau” | “All Muslims are Welcome” Mungkin surau itu memang berperanan dengan baik walaupun laluan menuju ke atas dengan tangganya yang sempit, menyebabkan saya kerap terfikir bahawa ia bukanlah laluan sebenar menuju ke surau itu.
Kedai money exchanger (penukaran wang) pun telah dirobohkan. Jadi, untuk mereka yang belum sempat menukar wang, maka tentu sahaja sulit bergerak sebab semua urus niaga menggunakan dolar Singapura. Bertentangan M Hasan, sudah bertimbunan rak almari dan kerusi pejabat Imigresen. Dalam dua hari terakhir yang masih berbaki, saya ingin akrab mendakap penuh dengan warisan pusaka yang tergadai, digadaikan PM Najib Razak. Kalau boleh, biarlah jangan tidur langsung dan menaip apa-apa sahaja yang terlintas di dalam kepala! Tapi, adakah kedai teh tarik di depan saya ini akan ditutup?
“Dibuka 24 jam kedai minuman di sini dik,” kata makcik yang bertugas menjamu teh tarik dan minuman di sini. Saya mengelamun terus memerhatikan gelagat manusia yang keluar seorang demi seorang dari stesen itu. Dan jam 11:00 lebih kurang lampu depan stesen itu pun ditutup bersama tirai besi depannya.
Manakala pada 11:38 malam, lampu bahagian atas kaunter tiket sudah dipadamkan menambahkan lagi suasana kesuraman di dalamnya. Cuma lampu pejabat ketua pengarah yang masih ternyala seperti biasa setakat ini. Ya, antara rumusan – tergadainya Tanjung Pagar adalah lambang kecuaian Najib Razak yang tidak peduli hal bersifat warisan dan kebudayaan. Walhal, sikap inilah yang paling penting
No comments:
Post a Comment