Dialog antara Pemuda PAS dan Musicforum. Tanggal 2 September 2009 di Studio Pocket, Puchong, Selangor pada jam 9 malam. Catatan asas dialog.
Latarbelakang Musicforum
Musicforum adalah sebuah organisasi kecil tak berstruktur. MF berforum hanya bila perlu. Fokus hanya tentang muzik, berbicara hanya tentang muzik dan berjuang demi muzik. Namun kesemua usaha ini meliputi segala aspek yang bersangkutan dengan muzik seperti sains, teknologi, politik, ekonomi, sosial, ideologi dan teologi.
Buat pertama kalinya, MusicForum menjemput wakil dari parti politik yang juga merupakan antara parti yang paling berpengaruh dalam lanskap politik di Malaysia iaitu Parti Islam SeMalaysia (PAS).
Malam itu Pemuda PAS diwakili oleh Ketuanya Al-Ustaz Nasrudin Hasan Tantawi sebagai ahli panel dan ditemani oleh sekumpulan penyokongnya sebagai wakil PAS.
Di sebelah pihak lain, seorang tokoh muda dalam bidang muzik Shanon Shah sebagai ahli panel kedua. Wartawan dan aktivis kebebasan berekspersi Wan Mohd Paris bertindak selaku moderator dalam sesi dialog tersebut.
*****
SHANON : Sebagai permulaan, mohon maaf atas kritikan saya mengenai bantahan Pemuda PAS terhadap konsert Micheal Learns To Rock (MLTR) baru-baru ini.
Mengapa bantahan-bantahan oleh PAS terhadap konsert muzik dibuat tanpa justifikasi yang jelas serta tanpa merumus pandangan awam terlebih dahulu, seolah-olah perjuangan PAS hanya ingin mengharamkan bentuk hiburan anak muda – anti-hiburan.
Hakikatnya, pengkarya berkarya menerusi kejernihan hati (ikhlas) dan dengan maksud yang baik.
NASRUDIN: PAS pada dasarnya tidak pernah menolak atau mengharamkan muzik dan konsert apatah lagi anti hiburan. Kita sedar manusia memang memerlukan hiburan.
Namun dalam kes seperti (MLTR). Apa yang kami tekankan ialah tanggungjawab moral pada masyarakat, khususnya anak muda. Dengan pergaulan bebas, mabuk serta gejala sosial yang negatif.
Justru, PAS sentiasa menerima apa jua kritikan dan komen dari mana-mana pihak berhubung sebarang tindakkannya dalam isu ini.
Kita, PAS juga sudah jelas pada dasarnya dalam seni dan kebudayaan serta kita membuka pintu seluas-luasnya bagi karyawan untuk terus dengan kerjayanya tetapi mesti menurut garis panduan moral yang telah kita persetujui sebelum ini.
MODERATOR : Ungkapan “ mengapa hanya muzik nasyid yang dikatakan Islamik diterima baik oleh PAS” sedangkan kualiti karya, muzik, lirik, video klip ‘hampas’ tiada kualiti dan tiada seni?
Ironinya bila kita mengatakan Islam itu indah tetapi seninya tiada mutu (merujuk nasyid). Apakah ini saja bentuk muzik yang dibenarkan? Atau, apakah muzik yang tidak sealiran dengan nasyid dianggap haram dan tidak Islamik?
WAKIL PAS: Sesungguhnya, nasyid pada hari ini bukanlah nasyid yang sebenar, bermutu dan ikhlas.
Rumusannya – bersetuju bahawa nasyid bukanlah satu-satunya muzik yang baik atau dengan kata lain, genre nasyid bukan menjamin karya itu bagus.
SHANON: Apakah instrumen gendang sahaja yang ‘halal’ dalam Islam? Mengapa wujud pengharaman terhadap instrumen lain? Sedangkan pada masa sekarang, kumpulan nasyid juga ada menggunakan instrumen tambahan seperti gitar, drum dan sebagainya.
NASRUDIN : Pengharaman instrumen seperti gitar yang dianggap membawa budaya negatif kerana faktor mabuk. Dahulu, pemain gitar akan mabuk arak selepas ia bermain, ini telah menjadi budaya suatu ketika dahulu, ini dalilnya.
WAKIL PAS: Riwayat juga ada menyatakan bahawa Nabi juga pernah berhadapan dengan situasi seperti ini bila mana baginda hadir dalam satu majlis perkahwinan.
Dalam majlis itu semua jemaah duduk diam, Nabi menegur – janganlah kiranya majlis perkahwinan (gembira) ini seperti suasana kematian, pukullah gendang bagi merai pengantin.
Ini jelas bahawa pengharaman muzik bergantung pada satu-satu keadaan yang jelas aturan serta hukumnya.
RESPON PEMUZIK (Audien) : Dalam perubahan zaman, masyarakat kini semakin bijak menilai hal dan keadaan.
Contohnya seperti kes seluar londeh Caburator Dung (dalam konsert anti-harga minyak naik) bila mana ada kumpulan manusia yang tidak bersetuju atau tidak suka pada satu-satu persembahan, mereka akan terus memberi respon kebencian pada perkara negatif itu, contohnya kumpulan Carburetor Dung yang dipukul oleh audien walau pun ada provokasi di situ.
Ini jelas bahawa, masyarakat sudah semakin bijak menilai dan memilih jenis hiburannya tanpa ada penguatkuasaan undang-undang moral atau akta pengharaman yang mana ia kelak akan lebih mengikat manusia dari berfikir rasional.
SHANON: Kita harap tiada lagi usul bantahan muzik tanpa apa-apa justifikasi jelas. Sebarang bantahan, mungkin pada peringkat awal kita boleh mengemukakan rasional kukuh pada satu-satu kes atau dengan melakukan undian pungutan suara (poll) dari masyarakat. Ini lebih adil bagi golongan karyawan dan ia sesuai dengan amalan demokrasi kita.
NASRUDIN: Pihak kita sentiasa mengamalkan sikap terbuka kepada mana-mana pihak dalam apa jua pandangan.
Namun ingin kita jelaskan kembali, konsert muzik harus bersesuaian dengan etika budaya masyarakat Islam khususnya dan setidak-tidaknya sesuai dengan budaya bangsa ketimuran.
Rumusan
Pada dasarnya, hadirin malam itu memahami (bukan bersetuju) isu pengharaman konsert/muzik bergantung kepada nilai moral (yang di terima secara umum ) dalam masyarakat malaysia.
Pemuzik harus menjadi pencetus terhadap reformasi seni dan kebudayaan amnya. Menjadikan kualiti ‘seni alternatif’ itu lebih bermutu sifatnya, bukan sekadar menjual air ludah politikus dan agamawan semata-mata.
Dialog ini hanya peringkat awal, perincian terhadap peranan serta dimensi muzik itu sendiri belum dapat disentuh dengan lebih mendalam. Pasti akan ada lagi lanjutan dialog pada masa akan datang, InsyaAllah.
Catatan penulis: Dialog ini bukan bertujuan membela MLTR yang membuat persembahan di Malaysia pada 2009. Sebaliknya, kes MLTR sekadar contoh banyaknya bantahan yang selama ini berlaku. MusicForum tidak pernah menyokong MLTR atau satu-satu artis tanpa mengambil kira konsep kebebasan dan keadilan bagi semua pihak.
Kami hanya memperjuangkan kebebasan dalam seni. Persepsi dan apprisiasi muzik yang rasional menjadi basis kami untuk reformasi seni dan kebudayaan negara.
Ia cuma satu dialog yang kecil tapi jika diperbanyakkan usaha-usaha mencari jalan keluar, ia akan menjadi lebih baik daripada sekadar bantah-membantah tanpa diketahui hujung pangkalnya. – roketkini.com
No comments:
Post a Comment