Saturday, May 22, 2010

RTM dan Empangan Bakun: PAS ajak Chou Z Lam buat Road Show

Kontroversi pembatalan siaran dokumentari Empangan Bakun belum melabuh tirai, apabila pejabat Timbalan Menteri Penerangan, Kebudayaan dan Komunikasi mengeluarkan kenyataan untuk menyanggah tuduhan bekas penerbit Galeri Mandarin Nasional, Chou Z Lam pada hari ini.

Chou Z Lam yang ditamatkan perkhidmatannya sebelum ini menuduh Heng Sai Kee (gambar kanan) sebagai boneka UMNO, kerana gagal mempertahankan kebebasan media RTM di bawah bidang kuasanya, apabila dokumentari terbitan Chou Z Lam yang bertemakan Empangan Bakun dan pembinaan menara elektrik Rawang terpaksa dibatalkan.

Tuduhan "boneka" ini dilihat sebagai "serangan peribadi yang berniat jahat" oleh pejabat Heng, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini. Bagaimanapun, Chou Z Lam tetap mempertahankan pendiriannya, malah menyeru agar Heng Sai Kee menyiasat apa yang berlaku sebenarnya, dan memecat pegawai bernama Yap Shy Cuan, yang dikatakan bertugas untuk memantau rancangan Mandarin di RTM.

Ketika dihubungi MerdekaReview, Chou Z Lam mencabar Presiden MCA, Chua Soi Lek untuk menyatakan sama ada MCA yang membuat keputusan untuk melantik ahlinya, Yap Shy Cuan agar memantau rancangan mandarin yang disiarkan di RTM.

Kira-kira 80 orang berhimpun di depan Kompleks Angkasapuri pada 19 Mei 2010, menyatakan protes mereka terhadap penamatan perkhidmatan Chou Z Lam, yang dipercayai "dipecat" kerana pendedahannya bahawa rancangan dokumentarinya dibatalkan untuk memberi laluan kepada kepentingan politik pihak tertentu.

Sambil merakamkan penghargaan kepada ahli parlimen Puchong-DAP, Gobind Singh yang menawarkan perkhidmatan guaman untuk dirinya, Chou Z Lam menyatakan bahawa dirinya lebih berprihatin sama ada isu pencabulan kebebasan media ini akan dibangkitkan di parlimen.

PAS ajak penerbit RTM yang dipecat buat Road Show

Sementara itu, PAS menghulurkan tangannya kepada Chou Z Lam, mengajak beliau untuk membuat road show di seluruh negara bagi menayangkan atau berkongsi dengan rakyat tentang dokumentarinya itu.

"Dokumentari khas berkaitan empangan Bakun itu wajar dikongsi bersama rakyat bagi melihat penindasan yang dilakukan kepada penduduk di daerah lembah itu. Bakun menjadi terkenal kerana projek mega Kerajaan yang mahu memindahkan penduduk di situ untuk membina sebuah empangan hidro yang besar," kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad (gambar kiri) dalam satu kenyataan media.

Malah, Idris Ahmad memetik kertas kerja Profesor Madya USM, Adnan Hussein dan Kamaliah Hj. Siarap yang bertajuk "Alam Sekitar, Kontroversi Awam dan Teori Artikulasi: Satu Analisis Kontroversi Projek Hidro Bakun," "Projek Hidro Elektrik Bakun yang terletak di Sarawak diluluskan oleh kerajaan Persekutuan pada tahun 1986. Kajian feasibiliti mula dijalankan pada tahun l981 oleh korsortium SAMA bagi pihak German Agency of Technology co-operation (GTE) (Aliran). Idea untuk membina empangan di Sungai Rajang dikatakan bermula. Pada asalnya projek tersebut dianggarkan menelan belanja sebanyak RM 13.6 bilion, meliputi kawasan seluas 69,000 hektar kawasan hutan tropika serta melibatkan penempatan semula hampir 10,000 orang penduduk sekitarnya. Projek Hidroelektrik Bakun dijangka akan menjana tenaga elektrik 2400 megawat (MW)."

Projek ini kemudiannya dihentikan pada tahun 1990 kerana masalah ekonomi dan kewangan negara. Pada tahun 1993 Kerajaan memutuskan untuk menyambung semula projek bakun dan pada 1994 Syarikat Ekran Berhad ditawarkan untuk menyambung projek ini tanpa tender. Ekoran dikatakan memperolehi projek ini secara rundingan terus berikutan Ting Peck Khin yang menguasai syarikat ini mempunyai hubungan baik dengan Mahathir Mohamad.

Pada tahun 1995, tiga rakyat tempatan Sarawak memfail petisyen kepada Mahkamah Tinggi dan mendakwa Kerajaan Sarawak gagal mengikut prosedur mengenai alam sekitar (EIA-Environmental Impact Assessment). Hasil dari petisyen tersebut, pada Jun 1996 Mahkamah Tinggi mengisytiharkan projek tersebut sebagai tidak sah. Namun tahun berikutnya, Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi tersebut dengan alasan bahawa Sarawak tidak terikat dengan Akta Alam Sekitar kerana mempunyai peraturan alam sekitarnya sendiri.

Pada tahun 1997, Kerajaan mengambil alih projek Bakun selepas kontraktor utama Asea Brown Bovery’s (ABB), dari Sweden berselisih faham dengan Ekran. Projek berkenaan ditangguhkan pada 1998 ekoran krisis kewangan yang melanda Asia. Ting Peck Khin kemudiannya menuntut pampasan sebanyak RM2.2 bilion dengan bayaran pendahuluan sebanyak RM120 juta kepada Kerajaan dan Anwar Ibrahim mendakwa Mahathir telah mengarahkan Kementerian Kewangan memudahkan bayaran tanpa menghiraukan prosedur-prosedur dan peraturan-peraturan kewangan.

"Projek ini bersambung pada 1999 hingga ke hari ini dan syarikat Malaysia-China Hydro Joint venture (MCHJV), sebuah gabungan di antara syarikat tempatan, Sime Darby, Malaysia dan dari China, China National water Resources and Hydropower Engineering Corp.(CH WRH) diberikan tanggungjawab meneruskan projek ini. Projek Bakun dijangka siap pada 2011 iaitu hampir tiga dekad sejak program feasibilty study pertama diadakan pada 1981. Projek ini juga berlalu dengan empat orang Perdana Menteri menguasai pentadbiran negara."

Baru-baru ini, Sime Darby Berhad yang terlibat dalam Projek itu mengumumkan kerugian RM1.63 bilion dan ini menunjukan bahawa projek berkenaan yang tertangguh sejak sekian lama adalah projek puaka yang memberikan banyak kerugian kepada rakyat dan syarikat-syarikat yang terlibat.

"Namun yang menjadi mangsa dan dijadikan fokus dokumentari oleh Chou Z Lam (gambar kanan) adalah nasib penduduk tempatan. Mereka menjadi mangsa diskriminasi dan penindasan pihak kerajaan dan mereka yang terlibat dalam projek ini. Masyarakat orang asli dan penduduk tempatan hingga ke hari ini tidak mendapat apa-apa manfaat dan perhatian selepas projek ini dilaksanakan."

"Oleh itu PAS mengajak Chou untuk mengadakan road show di seluruh negara untuk berkongsi penderitaan rakyat Bakun. Pakatan Rakyat menawarkan pentas buat Chou menyampaikan mesej kepada rakyat di seluruh negara di samping memperjuangkan hak beliau yang dizalimi oleh RTM," kata Idris Ahmad.

Baca: Isu pencabulan kebebasan media

*Tulisan ini disusun daripada beberapa laporan dan kenyataan yang disiarkan di MerdekaReview, edisi bahasa Cina.- Merdeka Review

No comments:

follow on fb

share

Share |

BLOGGER PERAK

BLOG BLOG PANAS

BLOG PIMPINAN PAS/PR

BLOG MUSLIMAT

Blog Masjid

Blogroll

Archives

Related Posts with Thumbnails

Header bergerak