Ketua polis negara Tan Sri Ismail Omar hari ini mengesahkan lima anggota polis terkorban dalam serang hendap kumpulan bersenjata di Semporna, Sabah.Katanya, polis pada petang semalam menerima maklumat mengenai kumpulan bersenjata di Kampung Seri Jaya Simunul, Semporna.

Berdasarkan maklumat tersebut, pasukan polis dari ibu pejabat polis daerah Semporna memasuki kawasan tersebut namun diserang hendap sebaik tiba, katanya dalam sidang media di Felda Sahabat, Lahad Datu.

Dua orang anggota kumpulan bersenjata itu turut terbunuh.

Polis kini mengepung kampung terbabit untuk mengesan saki baki kumpulan itu.
Kejadian di Semporna itu berlaku susulan pertempuran di antara kumpulan yang mendakwa setia dengan Kesultanan Sulu dan pasukan keselamatan pada Jumaat lalu.
Ismail berkata polis cuba mengenalpasti sama ada kumpulan di Kampung Sri Jaya Simunil mempunyai kaitan dengan kumpulan dalam kejadian di Lahad Datu.
Jumlah kematian melibatkan anggota kita kini meningkat kepada tujuh orang dalam tempoh dua hari dalam kejadian serangan dipercayai paling buruk sejak pemberontakan komunis.