Shahbudin Husin
Sejak Deepak Jaikishan muncul sebagai tajuk sensasi berita dan mengaitkan Najib serta Rosmah dengan pelbagai dakwaan, perkara yang menjadi persoalan umum mengenai usahawan karpet itu ialah dia dilihat bukan saja begitu berani tetapi seolah-olah kebal daripada sebarang tindakan undang-undang.
Dia sudah membuat pelbagai dakwaan terhadap Perdana Menteri dan Rosmah. Daripada mendakwa memberi sejumlah wang kepada Najib, yang tentunya bermaksud seorang Perdana Menteri menerima rasuah daripadanya, menuduh Najib terlibat dalam akaun bersumpah kedua P Balasubramian untuk menafikan akuan bersumpah pertama yang mengaitkan Najib dan Rosmah dalam kes pembunuhan Altantuya sehinggalah kepada pelbagai dakwaan lainnya sama ada berkaitan Najib mahupun Rosmah, Deepak dilihat amat bebas untuk bercakap apa saja.
Dia boleh menuduh bermacam perkara, bebas mengadakan sidang akhbar dan senang dihubungi media untuk memberi komen mengenai konflik yang dhadapinya. Dia juga bebas bergerak seolah-olah tiada apa yang dibimbanginya.
Sementara Najib, Rosmah dan pimpinan UMNO lainnya tidak berani bersuara menyanggah apa yang disuarakan oleh Deepak, agensi kerajaan seperti polis dan SPRM juga bagaikan sudah kehilangan kuku untuk bertindak terhadap Deepak.
Secara logiknya, pihak polis mahupun SPRM boleh dengan apa cara sekali pun memanggil Deepak, sama ada untuk memberi keterangan atau menyiasat beliau bagi mengesahkan sama ada semua dakwaan yang dibuatnya itu ada kebenaran, mempunyai bukti atau sekadar dakwaan semata-mata. Lebih-lebih lagi yang dituduh dalam dakwaannya itu ialah Perdana Menteri, ketua eksekutif sebuah kerajaan.
Tetapi Deepak bukan saja terus bebas, bahkan seolah-oleh kebal daripada undang-undang.
Kenapa jadi demikian? Adakah Najib, pemimpin UMNO, polis dan SPRM berdiam diri kerana mengetahui semua dakwaan Deepak itu semuanya benar belaka? Atau mungkinkah Deepak dilindungi oleh seseorang yang begitu berpengaruh?
Persoalan mengenai keberanian Deepak ini bagaimanapun mula terungkai sehari dua lalu apabila bertebaran di dunia maya gambar-gambar yang menunjukkan kehadiran beliau di majlis sambutan hari jadi Tun Mahathir yang yang diadakan di sebuah hotel, baru-baru ini.
Kehadiran Deepak di antara 230 jemputan di majlis sambutan hari jadi eksklusif itu menimbulkan tanda-tanya atau sekurang-kurangnya membuktikan bahawa Deepak mempunyai hubungan dengan Mahathir, baik secara langsung mahu pun tidak langsung. Dalam masa yang sama, Najib tidak pula hadir di majlis tersebut.
Oleh kerana Deepak membuat dakwaan terhadap Najib sejak penghujung November lagi, lebih kurang tiga minggu sebelum sambutan hari jadi Mahathir itu, jemputan terhadap Deepak tentu saja boleh dibatalkan jika Mahathir tidak mahu dilihat mempunyai kaitan dengan peniaga karpet yang sedang menyerang Najib itu.
Kaitan Mahathir dengan Deepak dan permainannya sebagai broker kuasa dalam UMNO untuk menekan Najib dapat dilihat melalui tulisan terbarunya dalam blog Chedet yang meminta rakyat supaya tidak memilih Anwar menjadi Perdana Menteri selepas pilihanraya umum akan datang, walaupun hanya untuk tempoh lima tahun.
Sebelum ini Mahathir sudah beberapa kali bercakap tentang bahayanya jika Anwar menjadi Perdana Menteri. Tulisannya yang terbaru ini adalah luahannya yang entah kali ke berapa untuk merayu kepada rakyat supaya mengenepikan Anwar.
Dengan berulang kali melahirkan kebimbangan itu, Mahathir sebenarnya sudah dapat merasakan UMNO dan BN akan kalah dalam pilihanraya akan datang, dan Anwar akan menjadi Perdana Menteri juga akhirnya, sesuatu yang amat ditakutinya. Beban utama kekalahan UMNO dan BN tidak lain ialah Najib dan Rosmah.
Dengan munculnya Deepak melemahkan Najib, di samping tekanan sedia ada daripada pembangkang, harapan Mahathir ialah supaya Najib menyedari realiti yang ada dan sedia berundur serta memberi laluan kepada timbalannya, Muhyiddin untuk mengambil alih kepimpinan parti dan kerajaan, seterusnya mengemudi jentera menghadapi pilihanraya akan datang ini.
Selagi Najib tidak berundur, serangan Deepak dijangka akan berterusan. Melalui hubungannya yang rapat dan bebas keluar masuk kediaman Najib sebelum ini, Deepak diketahui mempunyai banyak rahsia mengenai Najib dan Rosmah. Pembelian barang kemas sebanyak RM13 juta dalam tenpoh tiga bulan untuk Rosmah sebagaimana yang didedahkan oleh Rafizi, mungkin hanya cebisan kecil daripada beberapa helaian pekung yang bakal didedahkan kepada umum tidak lama lagi.
Menjadi percakapan di kalangan pemimpin UMNO juga bahawa Mahathir sebenarnya lebih meyakini Muhyiddin berbanding Najib. Najib dan Rosmah bagi Mahathir terlalu besar bebannya bagi UMNO dan BN, cuma Mahathir dikatakan tidak mahu terlalu mengkritik Najib kerana bimbang ianya lebih memberi manfaat kepada Anwar.
Harapan Mahathir untuk memberi nafas semula kepada UMNO dan BN hanyalah dengan Najib sedia berundur dan menyediakan laluan kepada Muhyiddin seberapa segera. Deepak adalah senjata ke arah mencapai tujuan itu.
Tetapi jika senjata Deepak ini tidak cukup berkesan dan Najib terus mahu kekal sehingga pilihanraya umum, Mahathir mungkin menjadi insan paling sedih selepas pilihanraya umum nanti kerana terpaksa berperdana-menterikan Anwar Ibrahim juga akhirnya.
LAMAN KL-TODAY.COM » Blog Archive » Jika benar Tun M di belakang Deepak…
No comments:
Post a Comment