Sunday, November 6, 2011

Cucu Natrah Pulang Ke Terengganu, Siapa Bertanggungjawab Kemurtadannya?


Nama Natrah kedengaran kembali selepas tidak disebut langsung sejak kali terakhir kedatangannya ke Malaysia, 10 tahun lalu. Namun kali ini beritanya diiringi khabar yang menyentuh hati sesiapa saja yang pernah menelusuri kisah suka duka wanita Belanda ini menerusi penulisan Datin Fatini Yaacob, bekas wartawan Dewan Masyarakat pada lewat 1980-an – Natrah sudah meninggal dunia.

Generasi hari ini mungkin tertanya-tanya siapa Natrah? Apa istimewanya wanita ini sehingga berita kematiannya mendapat liputan meluas media tempatan, kelmarin.


“Beliau sememangnya istimewa kerana Natrah akan terus hidup dalam sejarah Melayu dan Islam. Isunya sentiasa relevan dan menjadi penanda aras kepada undang-undang Islam,” kata Fatini ketika ditemui di kediamannya di Shah Alam, baru-baru ini.


Natrah Maarof atau nama asalnya Maria Bertha Hertogh mati akibat leukemia di rumahnya di Huijberhen, selatan Belanda pada usia 72 tahun.


‘Hebatnya’ Natrah kerana kesan kehadirannya yang menjadi pertikaian antara bapanya yang berbangsa Belanda dengan ibu angkatnya dari Malaysia, sehingga mencetuskan rusuhan pada 1950 di Singapura yang menyebabkan 18 maut dan beratus-ratus lagi cedera selepas mahkamah memerintahkan beliau dikembalikan kepada ibu bapa kandungnya.


Kematiannya membangkitkan kepentingan memperbetulkan laporan mengenai Natrah oleh media Barat yang memutar belitkan fakta.


“Perspektif yang salah mengenai Natrah dan ceritanya perlu diperbetulkan. Laporan media Barat menggambarkan seolah-olah orang Islam begitu agresif dan tidak menghormati keputusan mahkamah mengembalikan Natrah yang beragama Islam ke pangkuan ibu bapanya yang menganut Kristian sehingga tercetusnya rusuhan yang menyebabkan kematian.


“Namun cerita sebenar di sebalik rusuhan itu tidak pernah dilaporkan. Tiada satu laporan menyatakan rusuhan pada 1950 itu akibat kemarahan orang Melayu kerana akhbar Straits Times ketika itu berulang kali menyiarkan gambar Natrah melutut di depan patung Virgin Mary.


“Orang Melayu ketika itu menghormati keputusan mahkamah dan menerima hakikat kehilangan Natrah tetapi kemarahan mereka memuncak dengan penyiaran gambar itu. Ada pihak sengaja berbuat demikian dan media Barat mengambil kesempatan menjadikan laporan rusuhan itu untuk menunjukkan keburukan orang Timur.


“Bagaimana pula penerimaan penganut Kristian jika seorang kanak-kanak Kristian dipakaikan telekung dan dipaksa bersolat? Itulah yang dirasakan umat Islam yang melihat gambar itu,” katanya.


Natrah anak Adeline Hunter dan Adrianus Petrus Hertogh, yang ditawan tentera Jepun pada 1942 di Indonesia.


Oleh kerana semangat anti-Barat begitu kuat di Indonesia, Natrah diserahkan ibunya kepada Che Aminah Mohamad dari Terengganu yang ketika itu berada di Indonesia tanpa pengetahuan bapanya. Che Aminah menukar nama Bertha kepada Natrah dan memeliharanya seperti anak sendiri serta diberi didikan Islam.



Selepas perang 1945, Hertogh dibebaskan dan berusaha mencari Natrah. Selepas ditemui, Che Aminah diperdaya membawa Natrah ke Singapura untuk bertemu bapanya, tanpa menyedari muslihat Hertogh untuk mengambil kembali anaknya itu.


Tindakan Hertogh mendorong Che Aminah memfailkan rayuan di mahkamah dan berjaya mendapat Natrah semula. Beliau kemudian dikahwinkan dengan Mansor Adabi pada usia 13 tahun.


Bagaimanapun, pada 12 Disember 1950, mahkamah mengarahkan supaya Natrah diserahkan kepada bapanya dan pulang ke Belanda. Keputusan itulah yang menjadi titik tolak kepada penderitaan dan kesengsaraan ditanggung Natrah sehingga mati.


“Natrah menderita kerana beliau tidak belajar memaafkan masa lalu. Terus terang, rasanya saya lebih mengenali Natrah daripada beliau mengenali diri sendiri. Jika boleh, saya ingin membawa Natrah ke dunia lain, keluar daripada ketakutannya dan beri pemahaman kepadanya mengenai takdir.

“Beliau tidak tahu menguruskan penderitaannya. Pegawai British yang bertugas di pusat kebajikan sosial ketika Natrah diletakkan di situ sementara menunggu keputusan mahkamah, pernah menulis dalam bukunya pada 1977 bahawa Natrah akan menderita sepanjang hidup kerana paksaan yang dikenakan ke atasnya.


“Ramalan itu menjadi kenyataan 20 tahun kemudian. Penderitaan dan ketakutan yang selama ini menyelubungi hidupnya dibawa sehingga mati,” kata Fatini.


Sepanjang empat bulan menyelidik kisah berdarah itu, Fatini berkata, antara episod paling menyentuh hatinya ialah kesucian cinta antara Natrah dan suami yang tidak pernah berkesempatan menyentuhnya, Mansur Adabi, biarpun Natrah isterinya yang sah.


“Cinta mereka sejati. Cinta pertama yang dibawa mati. Bayangkan mereka cuma bernikah gantung dan belum lagi melakukan hubungan suami isteri. Biarpun dipisahkan tetapi cinta mereka tidak pernah mati.


“Air mata Natrah bergenang apabila saya menyebut mengenai Mansor ketika pertemuan kami. Cuma cinta mereka mustahil dijelmakan dalam bentuk untuk dapat bersatu semula sebagai suami isteri.


“Apabila televisyen Belanda menyiarkan dokumentari mengenai Mansor yang hidup senang dan bahagia dengan isteri baru, Natrah mengamuk. Beliau begitu tertekan sehingga ke tahap cuba membunuh suaminya,” katanya.


Dihimpit kesengsaraan dipisahkan daripada ibu angkat dan suami dikasihi, Natrah mencari kebahagiaan dengan mengumpul wang. Namun itu juga tidak membahagiakannya.


“Saya berharap generasi muda mengambil iktibar daripada peristiwa itu. Kita perlu faham undang-undang sivil dan syariah dalam hak kekeluargaan kerana ketidakfahaman undang-undang menyebabkan Natrah terlepas daripada tangan orang Islam.


“Golongan muda juga perlu tahu isu itu meletakkan Malaya ketika itu dalam peta dunia, tarikh itu dimuatkan dalam muka depan akhbar seluruh dunia kerana ada pertembungan agama, budaya dan ia diperbesar-besarkan,” katanya.


Persoalannya, Umno tidak langsung mahu bertanggungajawab sebaliknya menyalahkan kegagalan perundangan yang digunakan untuk menentang kes Natrah sehingga membawa kepada kemurtadannya di Belanda beberapa tahun selepas itu.


Apakah Umno tidak mahu belajar dari sejarah pahit bagaimana kelonggaran sistem perundangan kini mampu mencambahkan ribuan malah jutaan Natrah selepas ini??




“Nenek (Natrah Maarof) tidak pernah menceritakan kisah silamnya kepada cucu-cucunya. Hanya ibu yang rajin bercerita mengenai kisah dia di Malaysia.

“Semua diceritakan ibu membuatkan saya sentiasa ingin datang ke negara ini dan kini saya amat gembira apabila hasrat itu terlaksana.” Demikian kata Sasha Van Gastel, 18, cucu Natrah atau nama sebenarnya, Maria Bertha Hertogh yang dibawa oleh Tourism Malaysia (TM) Terengganu ke negeri ini untuk melihat tempat pernah didiami neneknya lebih 60 tahun lalu.


Menerusi program dinamakan Building Bridges (BB) dilaksanakan dengan kerjasama TM di The Hague, Belanda, Sasha bersama sepupunya, Romy Elizabeth Marian Smol, 17, dijadualkan berada di negeri ini selama empat hari bermula semalam.


“Sukar diceritakan bagaimana perasaan saya apabila dapat melihat kawasan yang pernah didiami nenek satu ketika dulu,” katanya.


Dua bersaudara itu semalam dipertemukan dengan Rokayah Yusof, 65, anak saudara angkat kepada Natrah di kediamannya di Kampung Mak Chili Paya di sini.


Sasha, anak kepada pasangan Carolein Van Gastel dan Jan Van Gastel berkata, dia dan Romy hanya dimaklumkan mengenai pertemuan dengan Rokayah kira-kira seminggu sebelum berlepas ke negara ini.


“Sejak itu, pelbagai gambaran bermain di fikiran saya dan berasa amat gembira apabila dilayan dengan mesra,” katanya yang terharu dengan layanan keluarga Rokayah.


Seperti Sasha, Romy, anak kepada pasangan Frans dan Carla Wolkenfelt, turut berkongsi perasaan gembira dengan pertemuan dengan Rokayah serta keluarganya.


“Sebelum ini, saya hanya melihat keindahan dan keunikan Malaysia melalui pembacaan, Internet dan (cerita) ayah. Namun, program ini peluang keemasan untuk saya lebih mengenali keluarga angkat nenek di Malaysia walaupun kami tidak pernah bersua muka.


“Lebih membuat saya terharu, layanan mereka berikan terhadap saya dan Sasha. Mereka amat mesra dan melayan kami seolah-olah pernah bertemu sebelum ini.

“Walaupun pertemuan hanya sekitar empat jam, ia meninggalkan banyak kenangan manis. Malah, layanan mesra yang mereka berikan kepada kami membuatkan saya faham mengapa nenek begitu dekat dengan budaya dan adat Melayu,” katanya yang menggemari makanan pedas di Malaysia.


Bagi Rokayah pula, pertemuan dengan dua cucu Natrah adalah satu perkara yang tidak pernah terlintas di fikirannya selama ini.


“Saya tidak menyangka akan bertemu semula dengan waris Natrah dan selama ini menganggap perhubungan dengan keluarga Natrah sudah terputus,” katanya.


Rokayah, anak kedua daripada lapan beradik, adalah anak kepada Kamariah yang menjadi adik-beradik angkat dengan Natrah ketika wanita Belanda itu dibesarkan Che Aminah Mohamad di Terengganu pada zaman penjajahan Jepun di Tanah Melayu.


Menurut Rokayah, pertemuan itu sememangnya tidak dijangka apatah lagi selepas ketiadaan ibu saudaranya (Natrah) yang meninggal dunia pada 9 Julai 2009.


“Saya bersyukur kerana masih dipanjangkan umur dan berkesempatan bertemu dengan tiga generasi dalam keluarga Natrah sendiri.


“Jika diikutkan, tidak banyak kenangan antara saya dan Natrah apatah lagi ketika itu saya masih kecil. Namun, ikatan kekeluargaan yang ada menyebabkan rasa kasih dan sayang itu tidak pernah putus.

2 comments:

Anonymous said...

(“Bagaimana pula penerimaan penganut Kristian jika seorang kanak-kanak Kristian dipakaikan telekung dan dipaksa bersolat? Itulah yang dirasakan umat Islam yang melihat gambar itu,” katanya). ...

Ianya tak pernah terjadi pernerimaan yang sebegitu di kalangan orang2 Kristian. Carilah mana klip yang menyatakan orang2 Kristian memberontak jika seseorang Kristian itu murtad & memeluk agama lain. We pray for them.

Nasron al-Jauhari said...

bro... the key point is PAKSA!

you dah highlight ayat itu pun you masih tak nampak dan tak faham...

follow on fb

share

Share |

BLOGGER PERAK

BLOG BLOG PANAS

BLOG PIMPINAN PAS/PR

BLOG MUSLIMAT

Blog Masjid

Blogroll

Archives

Related Posts with Thumbnails

Header bergerak