Saturday, August 13, 2011

mStar Online : Dr Asri Sokong Keputusan Jabatan Mufti P. Pinang


PETALING JAYA: Bekas Mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyokong keputusan Jabatan Mufti Pulau Pinang yang mengeluarkan arahan agar bacaan al-Quran tidak dikuatkan menggunakan pembesar suara seperti yang berlaku di kebanyakan masjid sebelum waktu solat.

Bagaimanapun, Mohd Asri menegaskan keputusan yang dikeluarkan Jabatan Mufti Pulau Pinang tidak harus dianggap sebagai isu politik semata-mata.

"Mematuhi hal ini bukan kerana isu politik semata, tetapi itu arahan Nabi Muhammad s.a.w dan juga menjaga Islam yang harmoni.

"Umat Islam Pulau Pinang sepatutnya menyokong keputusan ini, dan saya menyokongnya. Fatwa atau arahan ini bagi saya selaras dengan kehendak syarak," katanya dalam satu kenyataan diblognya pada, Sabtu.

Beliau yang juga Pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, Islam mensyariatkan suara yang wajar diangkat, hanyalah azan dan 'selain itu, tiada nas yang menyuruh kita menguatkan suara sehingga mengganggu orang lain.'

Tegasnya, perbuatan itu dilarang oleh Nabi Muhammad kerana ia mahu ketenteraman orang lain dipelihara melainkan jika ada pengecualian tertentu yang diizinkan oleh syarak.

"Maka, dengan itu memang wajar arahan meminta dielakkan bacaan-bacaan yang dibuat melalui pembesar suara yang boleh mengganggu orang luar dan dalam masjid," katanya.

Pada Jumaat, sebuah akhbar tempatan melaporkan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang mengeluarkan pekeliling mengarahkan semua masjid dan surau di negeri itu menghentikan penggunaan sistem pembesar suara ketika bacaan al-Quran pada waktu sebelum subuh kerana amalan itu bercanggah dengan hukum syarak dan boleh mengganggu orang lain di dalam dan luar masjid.

Bagaimanapun kerajaan Pulau Pinang menyerahkan kepada pentadbiran masjid atau surau di negeri itu membuat pertimbangan sendiri sama ada mahu menggunakan sistem pembesar suara untuk mempendengarkan bacaan al-Quran dan zikir sebelum waktu subuh atau sebaliknya.

Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Abdul Malik Abul Kassim dilaporkan berkata, sebagai pentadbir institusi agama, pihak masjid dan surau bagaimanapun sewajarnya menghormati keputusan Majlis Fatwa Pulau Pinang yang memutuskan bahawa bacaan al-Quran menggunakan pembesar suara sebelum waktu subuh adalah dilarang menurut hukum syarak.

"Majlis Fatwa yang dipengerusikan oleh Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Hassan Ahmad pada 6 Jun lepas memutuskan perbuatan berkenaan boleh mengganggu orang lain sama ada yang berada di dalam atau di luar masjid," katanya.

Abdul Malik dipetik sebagai berkata kerajaan negeri dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang tidak terlibat dalam keputusan Majlis Fatwa dan meminta perkara berkenaan tidak dipolitikkan.

Mengulas lanjut, Mohd Asri berkata walaupun bacaan al-Quran dan zikir amatlah baik, namun kita tidak boleh memaksa orang lain mendengar bacaan yang disampaikan.

"Ramai orang bukan Muslim keliru antara azan dan bacaan-bacaan selain azan yang dilaungkan menerusi corong pembesar suara.

"Mereka menyangka bacaan-bacaan itu adalah azan yang disuruh oleh Islam, lalu mereka bersangka buruk dengan Islam yang harmoni ini. Apatah lagi bacaan itu mengambil masa yang lama, sedangkan azan yang sebenar tidak lebih dari lima minit," katanya.

Jelasnya, ulama silam juga telah mengingatkan hal ini bahawa bacaan-bacaan lain di menara-menara masjid adalah dilarang kerana boleh mengganggu orang ramai.

"Al-Imam al-Hafizd Ibn Jauzi pernah berkata, ‘antara tipu daya iblis ialah mereka yang mencampuradukkan azan dengan peringatan, tasbih dan nasihat. Mereka jadikan azan perantaranya lalu bercampur aduk. Para ulama membenci segala yang ditambah kepada azan.

"Banyak kita lihat orang yang bangun waktu malam lalu memberikan peringatan dan nasihat atas menara azan. Dalam kalangan mereka ada yang membaca al-Quran dengan suara yang tinggi lalu menghalang tidur orang ramai dan mengganggu bacaan orang yang bertahajud. Kesemuanya itu adalah perkara-perkara munkar'," ujarnya.

mStar Online

1 comment:

Anonymous said...

Pada pandangan saya, ada baiknya dikekalkan bacaan-bacaan tertentu seperti bacaan Al-Quran atau selawat sebelum azan subuh berkumandang tetapi jangan terlalu panjang bacaan itu, sedapatnya kurang dari 10 minit.

Ia dipandang baik kerana banyak memberikan peluang bagi mereka yang susah dan lambat untuk bangun tidur bagi mengerjakan solat subuh. Walaupun tiada dalil dalam ugama tetapi ia ada tujuan dan kebaikkannya. Jadi, sekiranya sesuatu perkara atau cara itu ada tujuan dan kebaikkannya maka perkara atau cara itu dipandang baik oleh ugama.

Kalau kita lihat diMekah sendiri mereka melakukan dua azan dengan tujuan azan pertama untuk mengejutkan dan azan kedua untuk memberitahu masuk waktu.

Jadi, AlHamdulillaah dengan cara yang ada diamalkan sekarang ini harap diteruskan hanya kalau dapat, saya ulungi, janganlah bacaan itu terlalu panjang, cukuplah kurang dari 10 minit.

follow on fb

share

Share |

BLOGGER PERAK

BLOG BLOG PANAS

BLOG PIMPINAN PAS/PR

BLOG MUSLIMAT

Blog Masjid

Blogroll

Archives

Related Posts with Thumbnails

Header bergerak