Wednesday, August 10, 2011

HARGA BARANG NAIK GAJI BILA LAGI?!


Masih belum serik dengan UMNO-BN? – Oleh Muhammad Zir

10 August 2011

10 OGOS – Sudah 54 tahun rakyat Malaysia memberi amanah kepada UMNO dan Barisan Nasional (dan Perikatan sebelum 1974) untuk mengurus dan mentadbir negara kita. Tetapi apa sebenarnya yang kita nikmati hari ini?

Ya, memang kita sudah ada bangunan pencakar langit, kita ada pusat membeli-belah gergasi, pasaraya besar, ada rumah, ada kereta, ada motosikal; tetapi dalam kita sibuk menghitung apa yang telah kita perolehi, sedarkah kita apa yang kita sudah hilang?

Jati diri, maruah bangsa, kehormatan diri, kejujuran dan keadilan sudah tercabut dari nilai-nilai bangsa kita bangsa Malaysia. Apakah nilai-nilai ini setanding dengan bangunan-bangunan pencakar langit yang bukan milik kita itu?

Tidak sukar untuk membayangkan jika UMNO-BN terus memerintah Malaysia, masalah yang kita hadapi akan lebih teruk jadinya.

Majoriti rakyat akan menanggung beban hidup yang lebih buruk kerana:

  1. Harga minyak tidak akan turun, malah akan terus mencanak naik;
  2. Harga barang keperluan harian, lebih-lebih lagi makanan, akan melambung dan kuasa beli rakyat akan lebih mengecil akibat inflasi dan seterusnya ekonomi negara akan terus malap dan menjejaskan kewangan keluarga kita;
  3. Tarif elektrik akan terus naik dan membebankan rakyat, lebih-lebih lagi kepada golongan miskin Bandar;
  4. Sumber air akan terus dimanipulasi dan harga pula semakin meningkat;
  5. Harga tol akan terus naik, dan pembinaan plaza tol akan lebih banyak, namun kesesakan lalu lintas akan kekal teruk.

Majoriti rakyat tidak akan mendapat jaminan keadilan kerana:

  1. Sistem kehakiman dan badan perundangan telah dilihat oleh rakyat sebagai pilih kasih dan tidak telus. Segala suara dan tuntutan rakyat dianggap sebagai mengancam keselamatan negara;
  2. Pasukan Polis, SPRM, SPR akan terus dimanipulasi oleh UMNO-BN demi menjayakan niat mereka untuk mengekang dan menindas rakyat. Barangkali, kes kematian sewaktu dalam tahanan pihak berkuasa akan terus berlaku;

Majoriti peniaga akan semakin rugi kerana pertumbuhan ekonomi akan lebih menguncup kerana:

  1. Peluang perniagaan tidak adil kerana semua tender akan terus diberi kepada kroni UMNO-BN;
  2. Pelabur akan lari dan para pelabur takut untuk melabur kerana pentadbiran kerajaan dan undang-undang tidak telus, malah korup;
  3. Persaingan perniagaan tidak sihat dan monopoli kepentingan perniagaan menerusi kroni politik akan terus kekal. Rakyat tiada pilihan manakala syarikat monopoli boleh naikkan harga sesuka hati kerana tiada saingan.

Majoriti golongan tua dan orang kurang upaya (OKU) tidak akan terbela kerana:

  1. Kos perubatan dan bantuan kesihatan akan terus mahal dan sukar diperolehi. Peluang bagi golongan ini untuk mendapatkan mutu kesihatan akan terus terabai;
  2. Bantuan kewangan akan lebih lambat diterima kerana karenah birokrasi yang terus berlarutan. Ini akan menyebabkan keperluan warga tua dan OKU akan terabai.

Majoriti ibu tunggal dan wanita yang memerlukan bantuan akan terabai kerana:

  1. Skim bantuan perniagaan dan latihan kemahiran akan menjadi projek untuk hanya membantu ahli-ahli UMNO sahaja. Mangsanya adalah mereka yang bukan ahli UMNO;
  2. Kuota 30 peratus penglibatan wanita dalam barisan pimpinan perkhidmatan awam dan politik tidak akan tercapai kerana ia telah menjadi medan memilih kroni. Hingga kini perkhidmatan awam belum mahu laksana kuota itu walau pun sudah ada ramai wanita yang layak;
  3. Perlindungan hak, keselamatan dan undang-undang tidak akan mampu dilaksanakan khususnya jika Menteri tunduk kepada kepimpinan yang hanya pentingkan kroni.

Majoriti golongan muda akan dimandulkan idealism mereka menerusi:

  1. Kekangan untuk berpersatuan, halangan beraktiviti secara terbuka dan semua pandangan akan disekat menerusi Akta Universiti dan Universiti Kolej (AUKU);
  2. Peluang untuk kaum muda mengembangkan potensi diri akan terbantut kerana UMNO-BN akan sentiasa menjadikan mereka kambing hitam (dipersalahkan) apabila berlaku gejala sosial dan remaja;
  3. Peluang untuk kaum muda menimba ilmu akan lebih mengecil kerana kos dan beban hutang PTPTN.
  4. Golongan muda yang baru bekerja tidak akan mampu membeli rumah kerana harga dan faedah yang dikenakan terlalu tinggi. Mereka akan menjadi golongan baru dalam kategori miskin bandar atau miskin terpelajar.

Majoriti golongan pekerja akan terus ditindas kerana:

  1. Kerajaan akan terus menekan kesatuan sekerja dengan pelbagai akta yang tidak munasabah;
  2. Golongan pekerja tidak akan mendapat layanan yang adil baik dari segi upah dan kebajikan mereka;
  3. Kerajaan UMNO-BN akan menganggap golongan ini sebagai golongan nyamuk yang hanya banyak cakap tetapi tidak berani buat apa-apa, maka golongan ini akan terus terabai. Kerajaan akan menganggap jika mereka terikat dengan masalah gaji kecil, mereka tidak akan pedulikan politik dan hak kerana hanya tumpukan kepada kewangan diri dan keluarga.

Media massa akan terus menjadi alat perkakas kerajaan UMNO-BN kerana:

  1. Media akan terus dikongkong oleh akta-akta yang menyekat, termasuk tidak dibenarkan mengkritik kerajaan walau pun kerajaan melakukan kesalahan;
  2. Media akan terus mengikut telunjuk orang-orang politik UMNO-BN.
  3. Profesion kewartawanan akan terus dihina kerana membiarkan diri menjadi balaci pemimpin UMNO-BN.

Ini antara beberapa gambaran yang jelas jika rakyat, sama ada kerana termakan fitnah atau kerana takut kepada perubahan positif, terus memilih UMNO-BN sebagai kerajaan.

Malah di kalangan cerdik pandai kita, sama ada bijak dengan ijazah atau bijak street smart, dapat menggariskan lebih banyak lagi bencana yang akan menimpa kita jika UMNO-BN kekal berkuasa selepas pilihan raya umum ke-13 akan datang.

Kita sebagai warga yang rasional dan bermaruah, dan jika kita yakin bahawa rasuah itu jijik, penyelewengan itu besar dosanya dan salah guna kuasa itu akan menghancurkan bangsa, maka sudah tentu kita akan memilih sebuah kerajaan yang menjamin ketelusan sistem dan keadilan untuk semua warganya. –


Roketkini.com

No comments:

follow on fb

share

Share |

BLOGGER PERAK

BLOG BLOG PANAS

BLOG PIMPINAN PAS/PR

BLOG MUSLIMAT

Blog Masjid

Blogroll

Archives

Related Posts with Thumbnails

Header bergerak