Monday, June 27, 2011

SCKLM: Antara peserta yang berlari untuk BERSIH...


Demikianlah luahan Ong Kian Ming, penganalisa politik tanahair, yang menyertai "Standard Chartered Kuala Lumpur Marathon 2011" (SCKLM) dengan pakaian kuning, tidak segan silu untuk menunjukkan pendiriannya terhadap Gabungan Pilihanraya Bersih Dan Adil (BERSIH 2.0).

Meskipun amaran demi amaran dikeluarkan oleh pihak polis, malahan disusuli dengan tangkapan terhadap beberapa orang yang memakai baju kuning dengan perkataan "BERSIH" baru-baru ini, namun tidak kurang juga peserta yang cuba membawa mesej gerakan sosial ke dalam acara sukan ini.

Kesinambungan kempen 1Black Malaysia

Wong Sui Pin, 40, sejak awal lagi menyatakan dalam facebook-nya, bahawa dirinya berlari untuk BERSIH 2.0 kali ini. Setelah menghabiskan jarak 42 km dalam masa lima jam, beliau berkata kepada MerdekaReview bahawa usaha ini adalah kesinambungan daripada kempen "1 Black Malaysia" tahun lalu, dengan harapan agar orang ramai memberi perhatian terhadap BERSIH 2.0.

"Sebenarnya saya dipengaruhi seorang kawan. Pada tahun 2008, kawan saya berlari dengan bendera Malaysia, menentang ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960). Saya rasa saya boleh menyampaikan mesej melalui medan ini."

Wong (gambar kanan) juga memaklumkan, bahawa sesetengah peserta melaungkan "Bersih" sebagai sokongan, apabila ternampak pakaiannya. Beliau amat mengambil berat berhubung isu ketidakadilan persempadanan kawasan pengundian, ketika membincangkan sistem pilihan raya di Malaysia.

"Putrajaya, satu kawasan parlimen dengan hanya 6,000 orang pengundi, tetapi kawasan Seputeh mempunyai 70,000 orang pengundi. Kerajaan mempergunakan sistem yang tidak adil ini, dan mustahil rakyat menyampaikan suara bantahan," kata Wong.

Mengundi sendirinya adalah berpolitik

Adrian Ng, peserta kumpulan 10 km juga dengan sengaja memakai pakaian berwarna kuning pada hari ini untuk "menunjukkan pendiriannya". Ketika dihubungi MerdekaReview melalui telefon, Adrian Ng berkata, media dua hari kebelakangan ini melaporkan kejadian penangkapan polis terhadap mereka yang berpakaian warna kuning. "Ia agak menakutkan, tugas polis seharusnya melindungi rakyat, dan bukan berkhidmat untuk parti politik atau kerajaan."

Selain itu, beliau berkata, ramai yang membuat laporan polis dalam beberapa minggu kebelakangan ini, mendakwa bahawa perhimpunan 9 Julai akan menimbulkan kacau-bilau, mengganggu lalu lintas, malah mencetuskan huru-hara dan sebagainya. Namun demikian, daripada pertandingan Marathon hari ini, ia menunjukkan bahawa perarakan boleh dijalankan secara sistematik dan aman. Ribuan manusia dianggarkan menyertai marathon ini, disambut dengan tepukan dan sorakan - langsung tiada masalah, katanya.

Adrian Ng (gambar kiri, kiri) meneruskan, "Saya rasa tuntutan BERSIH 2.0 adalah wajar. Ramai yang mendakwa perhimpunan ini dipolitikkan. Namun untuk saya, mengundi itu dengan sendirinya adalah politik. Kita memilih wakil rakyat, ini semestinya politik. Saya memilih untuk memakai pakaian kuning, dengan harapan menyebarkan mesej, khususnya pengundi muda."

Meskipun polis cuba mewujudkan suasana ketakutan dengan menangkap mereka yang berpakaian kuning, namun pada hakikatnya ramai lagi yang tidak tahu tentang isu ini, kata Adrian. Beliau mendapati ramai yang masih tidak menyedari hal ini, namun juga terserempak dengan sesetengah orang yang memberi amaran bahawa dirinya mungkin ditangkap jika berpakaian kuning.

Peguam hak asasi manusia, Edmund Bon (gambar atas, kanan) yang menggantikan kawannya untuk menyertai SCKLM turut berpakaian kuning sepanjang larian 10 km, sebagai sokongan kepada BERSIH 2.0, dan galakan agar rakyat tidak takut untuk memakai "kuning".

Jangan hanya luah perasaan di Facebook

Chong Kok Siong bersama isterinya Goh Siew Lin juga menghabiskan larian 21 km mereka dengan mengikat kain "Hidup Rakyat" pada kepala mereka. Chong (gambar bawah, kanan) menyeru agar rakyat turun ke jalan raya untuk menyatakan pandangan mereka, dan bukannya sekadar meluahkan perasaan di Facebook.

Goh Siew Lin (gambar kanan, kiri) pula berharap agar mesej BERSIH 2.0 boleh disampaikan di platform yang berlainan, kepada golongan yang berbeza. Beliau menjelaskan, SCKLM pada 26 Jun 2011 disertai kira-kira 22 ribu orang, dan beliau mendapati ramai yang menyokongnya. "Malah ramai yang sedar apa yang berlaku dalam masyarakat kita, dan berharap agar keadaan boleh diperbaiki," kata Goh.

*Chen Shaua Fui ialah Assistant Editor MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Disedut, disunting dan diterjemah dari teks asal yang disiarkan pada 26 Jun 2011

No comments:

follow on fb

share

Share |

BLOGGER PERAK

BLOG BLOG PANAS

BLOG PIMPINAN PAS/PR

BLOG MUSLIMAT

Blog Masjid

Blogroll

Archives

Related Posts with Thumbnails

Header bergerak