"Sebagai seorang muslim, saya mesti percaya bahawa ia sebagai undang-undang tertinggi yang perlu dilaksanakan. Tetapi, sebelum pelaksanaan Hukum Hudud ini, banyak lagi perkara yang boleh ditonjolkan, kebaikan Islam itu. Misalnya good governance (urus-tadbir yang baik), akauntibiliti, tidak rasuah, tolak nepotisme. Dan sekarang ini saya nampak, kalau PAS slow (perlahan) dalam bidang ini, for the future, DAP will take over."
Demikianlah kegusaran yang menyelubungi seorang pemimpin politik veteran, Mohamad Sabu (gambar kanan) yang menyertai PAS sejak tahun 1977. 34 tahun daripada pemimpin yang berusia 56 tahun ini dicurahkan untuk perjuangan PAS. Kesetiaannya bersama parti sukar dipertikai, pada masa yang sama beliau juga sahabat akrab kepada pemimpin DAP yang menerajui tampuk pimpinan sekarang.
Lanskap politik tanahair berubah dilanda "tsunami" pada 8 Mac 2008. PAS dan DAP yang sering bertentangan pendirian dalam isu "Hukum Hudud" dipaksa untuk duduk semeja berikutan sentimen rakyat untuk menentang Barisan Nasional. Namun demikian, "Hukum Hudud" kekal sebagai isu kontroversi, khususnya apabila berdepan dengan masyarakat bukan muslim.
Mohamad Sabu mengakui bahawa pelaksanaan hukum hudud bukannya sesuatu yang senang, melibatkan pindaan perlembagaan yang memerlukan majoriti dua pertiga dalam Dewan Rakyat, dan hasrat ini perlu dirunding bersama dan direstui rakan-rakan partinya. Tetapi, beliau lebih mengambil berat bagaimana Islam diterjemahkan kepada "urus-tadbir yang baik", untuk peringkat ini.
"Boleh capai atau tidak (pelaksanaan hukum hudud), itu soal cita-cita," Mat Sabu sekali lagi berjenaka, "Macam kita-lah, nak kahwin seorang puteri. Mungkin kita tidak dapat puteri itu, kita dapat kahwin dengan kerabat diraja pun cukuplah!"
Anak muda Melayu teruja nak sertai DAP
Calon Timbalan Presiden PAS ini berkongsi pengamatan dan pengalamannya dalam senario politik pasca 8 Mac 2008. "Ramai anak muda Melayu berjumpa saya sekarang. Dia kata Pak Mat, bila Pak Mat nak join DAP? Kalau Pak Mat join DAP, kami akan bersama..."
Ketika ditanya mengapa pendirian DAP yang jelas menentang pembentukan Negara Islam itu tidak menghalang anak muda Melayu daripada menyokong parti itu, Mat Sabu menjelaskan bahawa kecenderungan ini disebabkan dasar-dasar yang ditawarkan DAP, misalnya urus-tadbir yang baik, dengan konsep "CAT" (Kecekapan, Akauntabiliti dan Ketelusan) oleh kerajaan negeri Pulau Pinang, penggubalan Akta Kebebasan Maklumat dan sebagainya.
Secara terus-terang Mat Sabu berkata, pembangkang tidak boleh hanya mendakwa dirinya menentang Akta Rahsia Rasmi (OSA), tetapi pada masa yang sama tidak menawarkan sesuatu apabila menguasai kerajaan negeri. Mat Sabu menganggap ini adalah kehendak orang ramai, dan beliau amat bimbang seandainya PAS tidak merobah konsep ini.
Beliau enggan mengulas secara terperinci, walaupun wartawan MerdekaReview membangkitkan kerajaan negeri Kedah yang dikuasai PAS, yang kelihatan tidak mendahulukan agenda reformasi sebagaimana yang disebut di atas. Cuma, Mat Sabu mengingatkan, bahawa rata-rata wakil rakyat DAP mampu mempersembahkan "kehidupan yang tidak mewah", sebagaimana yang diamalkan Mursyidul Am PAS, Nik Aziz Nik Mat.
MerdekaReview
No comments:
Post a Comment