Saturday, January 15, 2011

Isu azan: Peguam buat aduan sudah pindah tempat tinggal

Pengerusi Pekida Lembah Pantai, Zakaria Awang (tengah) bercakap dengan wartawan semasa tunuuk perasaan semalam. - Gambar oleh Choo Choy May
KUALA LUMPUR, 15 Jan — Gabungan NGO Malaysia menganggap isu azan Masjid Al-Ikhlasiah, Kampung Kerinchi di sini “sudah selesai” dengan pengadunya — mendakwa dia seorang anggota MCA dan juga peguam — telah berpindah dari kawasan tersebut baru-baru ini.

Setiausaha Agung gabungan itu, Mohd Jurit Ramli berkata, beliau dimaklumkan bahawa individu berkenaan telah menulis e-mel kepada pihak yang dia pernah mengadu mengatakan mahu berpindah dari kondominium tempat tinggalnya di Pantai Hill Park atas faktor keselamatan.

Kondominium Pantai Hill Park terletak kira-kira satu kilometer dari masjid tersebut.

“Saya dimaklumkan oleh pihak yang menerima salinan aduannya bahawa mereka ada menerima e-mel dua tiga hari yang lalu mengatakan dia sudah mengambil pendekatan mahu berpindah kerana bimbang keselamatan diri dia... itu maklumat yang kami terima,” kata Jurit kepada The Malaysian Insider pagi ini.

Jurit berkata, pihak yang menerima salinan surat peguam berkenaan meminta pihak-pihak yang mengadakan tunjuk perasaan semalam supaya tidak memanjangkan isu azan ini dan melihat ia “sudah selesai” selepas dia memutuskan untuk berpindah.

“Jadi kami pun menganggap ini sudah selesai. Kita tidak mahu perkara ini berpanjangan lagi.

“Kita mahu persekitaran yang aman, kalau keadaan tidak tenang, kita tidak boleh hidup tenang dan tenteram,” kata beliau.

Semalam, kira-kira 100 orang berhimpun di pekarangan Masjid Al-Ikhlasiah mengadakan tunjuk perasaan selepas solat Jumaat mendesak agar peguam terbabit ditahan di bawah ISA.

Kumpulan itu terdiri daripada anggota kumpulan NGO Pekida dan Perkasa mendakwa peguam terbabit menuntut agar masjid tersebut menghentikan penggunaan pembesar suara bagi tujuan azan.

Penunjuk-penunjuk perasaan berkenaan menamakan peguam terbabit, malah mempamerkan alamat rumah dan nombor telefonnya pada kain rentang ketika berdemonstrasi.

Ditanya tindakan susulan Gabungan NGO Malaysia, Jurit berkata, pihaknya tidak mahu memanjangkan isu ini lagi.

“Tetapi tindakan penduduk kawasan itu, kami tidak tahu. Kami menganggap isu ini sudah selesai,” kata beliau lagi.

Katanya walaupun pihaknya menganggap isu ini sudah selesai tetapi sekurang-kurangnya pengadu perlu memohon maaf kepada umat Islam.

“Tindakan ini perlu untuk meredakan keadaan dan kita mahu setiap kaum hormat-menghormati agama dan kaum lain,” kata beliau lagi.

Ketika ditanya sama ada pihaknya ada mengunjungi unit kediaman peguam itu sebelum ini, Jurit berkata:

“Tidak, kami tidak menemui pengadu, tetapi hanya menerima maklumat daripada salinan surat aduan.”

Semalam, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) memberitahu The Malaysian Insider bahawa pihaknya tidak mengeluarkan arahan kepada mana-mana pihak termasuk pengurusan masjid agak memperlahankan laungan azan atau menghentikan penggunaan pembesar suara untuk tujuan azan.

Jurit berkata, pihak berkuasa dan pengurusan tidak seharusnya melayan aduan-aduan daripada orang perseorangan.

“Dalam kes ini, aduan daripada seorang individu, mengapa perlu kita layan? Melainkan dia mewakili mana-mana pertubuhan atau parti, kita boleh melayan... sepatutnya kita tidak melayan surat individu,” kata beliau lagi.

“Surat dan aduan orang perseorangan, kita pun tidak pasti boleh percaya atau tidak,” katanya.

Bagaimanapun Jurit berkata, berdasarkan maklumat yang diterimanya memang tiada arahan rasmi tetapi difahamkan ada perbincangan mengenai aduan yang diterima daripada peguam berkenaan.

Dalam salinan surat yang diperoleh dari Internet, peguam itu berkata, “sebagai seorang peguam dan ahli seumur hidup MCA sejak 1998, saya merasa amat kesal kerana sehingga kini belum menerima sebarang maklum balas daripada pihak Jabatan Perdana Menteri walaupun berkali-kali saya telah menulis surat menyuarakan masalah saya termasuk kepada JPM, MCA dan Gerakan.”

“Sebagai seorang penghuni yang telah lebih daripada lima tahun menghuni di Pantai Hill Park, saya sudah biasa kedengaran bunyi sembahyang subuh dari Masjid Al-Ikhlasiah yang berdekatan dan tidak menghadapi apa-apa masalah,” katanya.

Bagaimanapun kata peguam itu, sejak beberapa bulan lalu dia mendapati bunyi laungan azan tiba-tiba menjadi “amat lantang sehingga mengejutkan saya pada setiap pagi 5.45 pagi.”

“Ambil perhatian bahawa saya tinggal di tingkat paling tinggi iaitu tingkat 21, dan jarak Pantai Hill Park dari masjid tersebut adalah lebih kurang satu kilometer.

“Menurut khabar angin, imam yang baru telah ditukar ke masjid ini,” katanya.

Dia seterusnya menulis, “saya juga pernah menelefon pejabat polis Kuala Lumpur dan menurut pegawai atasan di sana, tiada sebarang peraturan atau undang-undang yang mengawal bunyi sembahyang masjid dan lagi kuat bunyi itu lagi baik, untuk mengingatkan lebih banyak Muslim tempatan bangun bersembahyang.”

“Saya menghormati kedudukan Islam sebagai agama rasmi di bawah Perlembagaan Persekutuan tetapi hak saya untuk tidur dan rehat serta bersembahyang agama sendiri dengan aman dalam permis persendirian juga harus dihormati.

“Saya berpandangan kekuatan pembesar di mana-mana tempat sembahyang tanpa mengira agama, mesti dikawal oleh pihak-pihak berkuasa tertentu, melalui peraturan yang saintifik dan rapi seperti pengiraan decibel (dB), tidak boleh mengatasi undang-undang,” katanya sambil menambah, “seperti di rumah kampung saya di Seremban, didapati bunyi masjid itu adalah lebih rendah dan terkawal.”

MI

No comments:

follow on fb

share

Share |

BLOGGER PERAK

BLOG BLOG PANAS

BLOG PIMPINAN PAS/PR

BLOG MUSLIMAT

Blog Masjid

Blogroll

Archives

Related Posts with Thumbnails

Header bergerak