Wednesday, June 30, 2010

Timbalan Menteri KPT dakwa masalah peribadi punca 4 tokoh ditohmah Wahabi, pengganas

Timbalan Menteri Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Dato' Saifudin Abdullah (BN-Temerloh) mengesahkan masalah peribadi adalah merupakan penyebab kepada timbulnya isu melabel empat tokoh agama dan politik dengan fahaman Wahabi dan Jamaah Islamiyah. Kenyataan tersebut dibuat ketika menjawab soalan yang dibangkitkan Dato' Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) semasa membuat ucapan penggulungan di Dewan Rakyat baru-baru ini.



"Saya percaya orang yang memberikan taklimat kedua mempunyai masalah peribadi dengan bekas Mufti Perlis (Dr Asri) itu," ujarnya dalam nada tegas pada sidang parlimen.

Saifuddin menegaskan pihaknya tidak akan membenarkan orang tertentu 'dikambinghitamkan' hanya kerana ada orang tertentu yang tidak sesuai dengan orang tertentu. Ketika berhujah menolak isu Wahabi dengan kegiatan kumpulan pengganas Jamaah Islamiyah (JI), Saifudin turut menjelaskan tentang asal usul Wahabi yang membabitkan Kerajaan Saudi Arabia.

"Dalam isu keganasan di IPT sekarang ini, kita rasa tidak sesuai labelkan individu atau organisasi dengan Wahabi. Jadi sebenarnya tiada alasan yang hendak disabitkan," katanya. Menjelaskan lagi, Saifudin yakin tiada hujah yang kukuh bagi mendakwa empat individu terbabis sebagai teroris atau pengganas.

"Saya yakin tiada hujah kukuh untuk mensabitkan kesemua yang disebutkan itu sebagai teroris kerana kita perlu mempunyai premis untuk menyatakan seseorang itu wahabi atau apa sahaja, kita rasa tidak sesuai labelkan individu atau organisasi dengan Wahabi jadi tiada alasan," tegas timbalan menteri itu. Beliau percaya apa yang sedang berlaku sekarang ini adalah hasil daripada satu tanggapan semata-mata.

Pada masa yang sama Saifudin turut mengaitkan apa yang terjadi sebagai simptom yang akan membawa kepada kewujudan ideologi Islamophobia yang mahu menakutkan rakyat dengan Islam. Terdahulu menurutnya, terdapat dua taklimat khusus mengenai isu membabitkan kegiatan pengganas di Institusi Pengajian Tinggi Awam pada 21 Jun lalu.

Ujarnya, taklimat pertama dikendalikan oleh pihak Bukit Aman, segala maklumat yang disampaikan adalah tepat kerana tiada masalah, tetapi dalam taklimat kedua, kerana ia membabitkan Marang (Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang); bekas Menteri Besar Perlis (Datuk Seri Shahidan Kassim), Mufti Perlis (Dr. Juanda Jaya) dan bekas Mufti Perlis (Dr Mohamad Asri Zainal Abidin).

Mahfuz semasa mengutarakan soalan kepada Saifuddin berkata, isu melabel tokoh agama dan politik memberi kesan dan menyebabkan diskriminasi terhadap mereka yang disebutkan. Walhal, polis tidak dapat membuktikan pensyarah dan pelajar dengan gerakan JI mahupun tuduhan yang dikaitkan terhadap Presiden PAS yang dilihat sesuatu yang memalukan, kata Mahfuz.

Sambil melahirkan kebimbangan dengan tuduhan tidak berasas yang dilemparkan terhadap Presiden PAS itu, Mahfuz menegaskan setakat ini Ustaz Abdul Hadi tidak pernah dikaitkan dengan apa juga kes keganasan. Malah pemimpin utama PAS itu adalah seorang yang demokratik kerana pernah menggalas tugas Menteri Besar dan kini selaku Presiden sebuah parti, katanya

No comments:

follow on fb

share

Share |

BLOGGER PERAK

BLOG BLOG PANAS

BLOG PIMPINAN PAS/PR

BLOG MUSLIMAT

Blog Masjid

Blogroll

Archives

Related Posts with Thumbnails

Header bergerak