Showing posts with label Perkasa. Show all posts
Showing posts with label Perkasa. Show all posts

Friday, October 1, 2010

Hata Wahari tertanya-tanya: Siapa Ibrahim Ali dalam Utusan?

Chen Shaua Fui | Sep 30, 2010 06:01:43 pm

Mungkin sesuatu yang sukar dibayangkan, apabila UMNO ditikam lidah sendiri setelah Setiausaha Agungnya menyatakan pendirian untuk menjauhi PERKASA. Malah, Presiden PERKASA Ibrahim Ali dijulang lebih tinggi, seolah-olah lebih berpengaruh ke atas Utusan Malaysia, jika dibandingkan dengan sesetengah pemimpin UMNO.

Keadaan ini mencungkil kesangsian ramai, yang mungkin tertanya-tanya apakah yang membuatkan Ibrahim Ali begitu popular, sehingga dilihat terserlah dalam ruang dada Utusan Malaysia? Bahkan kadang-kala Ibrahim Ali, pemimpin politik veteran yang pernah ditendang keluar UMNO, diberi liputan yang lebih besar dalam Utusan Malaysia, berbanding dengan pemimpin UMNO sendiri.

"Itu you kena tanya Editor, apa tujuannya, saya sendiri pun tengah mencari-cari. Kenapa Utusan utamakan PERKASA, kenapa tak utamakan UMNO, sedangkan pemilik akhbar UMNO? Kita pun pelik tentang ni, Ibrahim Ali ada saham banyak kat Utusan, banyak sangat ke?"

Keraguan ini dikongsi bersama Hata Wahari, Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Malaysia baru, yang telah 15 tahun berkhidmat di Utusan Malaysia sebagai wartawan. Dalam satu wawancara bersama MerdekaReview kelmarin (28 September), Presiden NUJ yang mencungkil kontroversi sejak terpilih pada 17 September 2010 ini mendedahkan bagaimana dirinya menerima layanan dingin, selepas kenyataan untuk mengkritik majikannya dikeluarkan.

Isu yang dibawa Ibrahim Ali remeh temeh

Biarpun terkenal dengan lonjakan dari parti ke parti, Ibrahim Ali akhirnya diberi nafas baru untuk melanjutkan hayat politiknya apabila menubuhkan PERKASA, badan bukan kerajaan (NGO) yang lantang mempertahankan kepentingan Melayu. Namun demikian, perjuangannya dipertikaikan oleh seorang wartawan Utusan Malaysia bernama Hata Wahari.

Hata Wahari yang mendakwa dirinya "pakar dalam parlimen" seketika dahulu, kerana ditugas khas untuk membuat liputan parlimen dan politik, kini dilarang untuk berbuat demikian. Beliau yang pernah menolak untuk menulis berita Ibrahim Ali (gambar kiri) tidak pasti sama ada peristiwa ini menjadi punca larangan tersebut.

"...saya pernah menolak menulis berita Ibrahim Ali, dia berucap di Parlimen dan saya tak tulis, editor suruh tulis tapi saya tak tulis. (Mengapa?)... sebab benda dan isu tu remeh temeh, tidak penting, tak membina dan membangunkan minda, news (berita) lain lagi bagus."

Mengapa Ibrahim Ali mempunyai pengaruh yang begitu besar terhadap Utusan Malaysia, tanya wartawan MerdekaReview.

"You tanya saya, saya pun hairan juga, siapa Ibrahim Ali dalam Utusan? Ibrahim Ali punya pencapaian, saya tak nampak pun, apa yang dia bantu orang Melayu, perjuangannya ada menyebabkan orang Melayu kaya ke? Tak nampak lagi. Ada menyebabkan lebih orang Melayu dapat biasiswa ke? Tak nampak lagi, itu masalahnya. Tak ada dia punya sumbangan sangat terhadap orang Melayu, kenapa kita nak utamakan dia, apa masalah?"

"Kalau you tanya, kenapa Utusan utamakan Ibrahim Ali, soalan ini saya tertanya-tanya sejak dua tiga tahun ni!" tambah beliau.

Malah, Hata Wahari tidak faham mengapa dibangkitkan isu artikel 153, "Kalau dia (Ibrahim Ali) nak perjuangkan artikel 153, benda itu ada dalam Perlembagaan. Siapa nak pertikaikan? Saya tak berani pertikaikan Perlembagaan. Mungkin you akan tanya, tapi siapa pertikaikan Perlembagaan? Benda tu memang dalam perlembagaan!"

"Presiden sepenuh masa"

Hata Wahari membeliakkan khalayak ramai apabila mengeluarkan tiga kenyataan yang sudah semestinya tidak menyenangkan pihak majikannya (pengarang kanan) dan bosnya, UMNO.

Bermula dengan kritikan terhadap Ketua dan pengarang kanan kerana "berkhidmat untuk memenuhi keperluan tuan politik", disusuli pula dengan kritikan terhadap kedua-dua Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat dalam isu larangan media, Hata Wahari (gambar kiri) baru-baru ini menyangkal pula tulisan Awang Selamat. Hata Wahari memberi tamparan sengit apabila berterus-terang bahawa "laporan berat sebelah" merupakan punca sebenar penurunan edaran Utusan Malaysia.

Keberanian dan kelantangan Hata Wahari disambut dengan pujian dan tepukan. Namun, di sebalik "semangat berkobar-kobar" yang diperlihatkan dari Hata Wahari, ramai mungkin tidak mengetahui bahawa beliau telah "dibekukan" oleh pihak atasannya setelah kenyataan tersebut dikeluarkan.

"Saya memang tidak diberi apa-apa tugasan, saya sekarang ni seperti Presiden (NUJ) sepenuh masa, " Hata Wahari sempat menyindir dirinya. "Sudah masuk hari kelima saya tidak diberi apa-apa tugasan atau susulan, selepas kenyataan...(dikeluarkan). Sebelum kenyataan (dikeluarkan) memang tiap-tiap hari saya ada buat berita. Sebenarnya, pada hari saya buat kenyataan, saya ada dapat berita eksklusif..."

Namun, tiada lagi berita untuk Hata Wahari pada keesokannya. "Saya tidak diberi apa-apa berita, saya duduk senyap dalam office (pejabat), masuk pukul 10 pagi dan balik pukul 6 petang. Saya tak kisah, hak dia orang nak bagi tugasan, pada masa sama saya cari berita, sama ada mereka nak pakai atau tidak, terpulang kepada editor." (Bahagian pertama, bersambung)

*Chen Shaua Fui ialah Assistant Editor, MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Wawancara ini dijalan oleh Chen Shaua Fui di sebuah kafe, Kuala Lumpur pada 28 September 2010. Diterjemah dan disunting oleh Lim Hong Siang.

MerdekaReview -

Wednesday, March 31, 2010

Penganalisis :Perkasa Bukan Penentu Kuasa Politik

Pertubuhan bukan kerajaan Melayu yang terbesar, Perkasa yang mengadakan mesyuarat agung tahunan sulungnya kelmarin, dilihat tidak mampu memainkan peranan sebagai penentu kuasa politik sebaliknya hanya akan merugikan Umno dalam jangka panjang, kata pemerhati dan penganalisis politik.

Sehubungan itu menurut Prof Madya Dr Mohamad Agus Yusoff dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Perkasa hanya dilihat sebagai pelengkap kepada perjuangan Umno bukannya penentu kuasa politik.

“Kita tidak lihat Perkasa mampu mempengaruhi kuasa politik sebaliknya kewujudannya bersama Umno hanya akan melumpuhkan perjuangan mereka.

“Perkasa hanya bertindak sebagai pelengkap kepada Umno dalam memperjuangkan hak keistimewaan orang Melayu. Jadi kita tidak lihat mereka mampu mengubah pergerakan sesebuah parti politik di Malaysia,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Mohamad Agus memberitahu, majoriti ahli Perkasa adalah individu-individu yang telah menerima perjuangan Umno sejak dari dulu.

“Majoriti ahli Perkasa adalah orang Umno dan ini jelas sekiranya Umno tidak memperjuangkan hak orang Melayu kesannya dilihat lebih kepada Umno bukan parti-parti politik lain.

“Jadi sekiranya Umno tidak memperjuankan hak serta kepentingan orang Melayu maka Perkasa akan bangkit dan memainkan peranan mereka sebagai sebuah pertubuhan yang memperjuangkan orang Melayu,” katanya.

Tambahnya, Perkasa tidak berupaya untuk menjatuhkan mana-mana parti politik melalui undi pada pilihan raya umum kerana keputusan itu terletak di tangan rakyat bukan mereka.

“Perkasa boleh kata apa sahaja kerana penentu undi bukan pada mereka tetapi rakyat,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali kelmarin yang memberi amaran kepada parti-parti politik negara ini, khususnya Umno agar tidak “bermusuh” dengan pertubuhan bukan kerajaan itu, sekiranya mahukan sokongan dalam pilihan raya umum.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif firma kajian pandangan umum Merdeka Center, Ibrahim Suffian pula memberitahu Perkasa dilihat sebagai pasangan kepada Umno dalam memperjuangkan hak orang Melayu sahaja.

“Perkasa berfungsi sebagai gandingan kepada Umno bukan sebagai penentu kuasa politik. Ini kerana asas, tujuan serta perkara yang diperjuangkan tertumpu kepada prinsip asas Umno.

“Selain itu, Perkasa dilihat sebagai pendesak kepada Umno dan akan bertindak sekiranya Umno mengetepikan hak keistimewaan orang Melayu.

“Kalau mengatakan Perkasa sebagai penentu kuasa politik ia tidak tepat kerana pengundi dan rakyat yang berhaluan kanan akan tetap bersama Umno berbanding parti-parti politik lain,” katanya.

Ibrahim berkata, implikasi daripada kenyataan Ibrahim supaya tidak “bermusuh” dengan pertubuhan itu terutamanya Umno adalah supaya parti Melayu itu membuka mata dan pada masa yang sama tidak meninggalkan asas perjuangan mereka.

“Apabila Perkasa mengeluarkan kenyataan begitu ia secara tidak langsung akan membuka mata Umno agar tidak mengetepikan perjuangan orang Melayu.

“Boleh katakan Umno dan Perkasa adalah selari cuma Umno adalah sebuah parti besar serta perlu seimbang dengan parti komponen yang lain manakala Perkasa pula hanya sebuah pertubuhan yang memperjuangkan hak orang Melayu,” katanya.

Pensyarah Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi UKM, Profesor Madya Dr Ghazali Mayhuddin juga selari dengan pandangan mereka dengan memberitahu bahawa Perkasa tidak mampu bertindak sebagai kuasa penentu politik kerana pertubuhan itu dilihat hanya berlegar-legar di kalangan individu tertentu.

“Mungkin apa yang diperjuangkan hanya bersifat retorik semata-mata dan ia tidak akan memberikan sebarang impak yang besar kepada penentu kuasa politik.

“Rakyat sudah matang serta boleh berfikir secara rasional malah mampu menilai dalam membuat keputusan tepat terutamanya dalam perkara ini,” katanya.

Tambah beliau, kenyataan agar tidak “bermusuh” dengan pertubuhan bukan kerajaan itu seolah-olah berbaur ugutan kepada parti-parti politik.

“Kenyataan yang dikeluarkan Ibrahim seolah-olah berbaur ugutan kepada parti-parti politik dan ini jelas membuktikan bahawa Perkasa mempunyai agenda yang lebih bersifat peribadi bukan kepada komuniti.

“Mungkin agenda serta tujuan kewujudan Perkasa tertumpu kepada kepentingan peribadi bukan komuniti seperti yang dikatakan.

“Kita tidak tahu apa motif mereka jadi buat masa sekarang kita hanya perlu tunggu dan lihat sahaja,” katanya.- Malaysian Insider

Ayid> Ini satu tamparan hebat buat Perkasa. Tunggu apa kata Bos Mereka tentang hal ini





follow on fb

share

Share |

BLOGGER PERAK

BLOG BLOG PANAS

BLOG PIMPINAN PAS/PR

BLOG MUSLIMAT

Blog Masjid

Blogroll

Archives

Related Posts with Thumbnails

Header bergerak