Wednesday, April 13, 2011

Akhbar Cina kaburkan istilah yang memalit Taib

Apakah "korup" dan "Pek Moh" (makna: uban, gelaran untuk Taib Mahmud) sudah menjadi perkataan yang tidak senonoh, sehingga perlu dikaburkan dalam akhbar bahasa Cina? Salah satu akhbar bahasa Cina terbesar di Sarawak, United Daily News, dalam liputannya terhadap poster pilihan raya, mengaburkan semua istilah "Pek Moh" dan perkataan yang membawa makna "korup" - sebagaimana yang terkandung dalam poster pembangkang. Jelas, ini perbuatan untuk menapis istilah yang memalit Taib Mahmud, Ketua Menteri yang sudah 30 tahun memegang tampuk kuasa.

United Daily News memperuntukkan dua muka surat berwarna pada 11 April untuk melaporkan poster dan kain rentang parti politik yang bertanding, dengan tajuk "sindiran tersurat dalam komik", dan "ejekan tersirat dalam kain rentang". Namun, 4 daripada 11 gambar yang disiarkan "dikaburkan" sebahagiannya - tiga daripadanya adalah kain rentang DAP; dan satu lagi dipercayai dari SUPP.

DAP menjadikan "Undur Pek Moh" (Taib) sebagai tema kempennya sejak awal lagi, jadi banyak kain rentang yang mempunyai istilah "Pek Moh". Salah satu kain rentangnya ditulis "Vote SUPP=Vote Pek Moh", dan tiga perkataan akhirnya ini telah dikaburkan.

Satu lagi adalah gambar papan iklan DAP yang membandingkan pentadbiran antara Ketua Menteri Sarawak Taib Mahmud dengan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng. United Daily News mengaburkan istilah "penyalahgunaan kuasa dan korup untuk 30 tahun", "tidak cekap", "Rasuah", "Kronisme", "tidak mempedulikan undang-undang", dan " bersekongkol antara politik dengan peniaga".

Kain rentang SUPP juga dikaburkan

Satu lagi kain rentang ditulis, "Roket menang kesemua 15 kerusi, XX (dibulatkan dalam gambar bawah) tetap menjadi Ketua Menteri", dan "SUPP kalah kesemua 19 kerusi, tiada Cina dalam kerajaan". Walaupun kain rentang ini tidak mempunyai logo mana-mana parti politik, namun ia dipercayai milikan SUPP.

Satu iklan daripada SUPP yang disiarkan United Daily News telah mengisyaratkan identiti parti politik yang bertanggungjawab kepada kain rentang tersebut, berbunyi, "Senario politik yang mungkin pada 16 April adalah, DAP menang kesemua 15 kerusi yang ditandinginya, BN tetap berkuasa. SUPP kalah di 15 kerusi, tiada lagi wakil Cina. Saudara saudari yang dihormati, renungi sedalam-dalamnya sebelum mengundi!"

Mungkin ada bezanya antara ayat dalam iklan dan ayat pada kain rentang, namun ia memberi makna yang sama, dan selari dengan retorik SUPP.

Satu lagi kain rentang DAP dikaburkan sepenuhnya, maka sukar untuk diketahui mesej yang mahu disampaikan dalam kain rentang tersebut. Sebagaimana pengamatan wartawan, gelaran Taib Mahmud "Pek Moh" (Pak Uban) dikaburkan, dan istilah negatif yang dilontarkan terhadap beliau juga dikaburkan.

Istilah "Pek Moh" mula diharamkan?

Walaupun gambar tersebut dikaburkan United Daily News pada 11 April, namun satu gambar yang sama juga disiarkan See Hua Daily News pada 9 April, tanpa dikaburkan istilah "Pek Moh". Akan tetapi, Sin Chew Daily dan See Hua Daily News tidak menyiarkan sebarang gambar yang menyebut secara terus istilah "Pek Moh".

Berita langsung tidak menyebut perkataan "Pek Moh" jikalau akhbar bahasa Cina dibaca. Misalnya, dalam satu artikel yang disiarkan See Hua Daily News, ia hanya memetik seorang untuk menyifatkan poster DAP sebagai "(cara menampilkan) empat orang yang tidak bermuka, dan ia amat menarik tumpuan".

Tiada gambar dilampirkan, padahal papan tersebut mengubahsuai slogan SUPP "1 Heart For Sibu" kepada "1 Heart For Pek Moh". Papan iklan ini telah dipamerkan selepas penamaan calon, dan DAP hanya mempunyai satu papan yang lebih kecil, "Yes! Kita mahu perubahan!" dengan gambar empat orang calonnya pada ketika itu.

Papan DAP ini mungkin kurang kreatif, namun pada 10 April, DAP telah mengubahsuai papan tersebut untuk menyindir SUPP, dan sindiran ini membisukan SUPP (gambar atas).

Walaupun United Daily News mengaburkan istilah "Pek Moh" dalam gambar, namun perkataan itu masih didapati dalam tulisan. Sebaliknya, Sin Chew Daily dan See Hua Daily News langsung tidak menyelitkan istilah ini dalam laporannya.

Serangan iklan BN

Selain itu, Sin Chew Daily dan See Hua Daily News menyaratkan iklan BN dalam terbitannya, beberapa hari kebelakangan ini. Dengan tajuk "Masa depan yang lebih baik untuk semua", empat gambar yang menunjukkan projek transformasi seperti SCORE, budaya yang berbilang disiarkan.

Selain iklan "senario yang mungkin selepas 16 April", terdapat juga iklan untuk menyanggah tuduhan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, membidas Lim sebagai "berlakon" di Sarawak, malah membidas PR memberi janji kosong dan prestasi pentadbiran yang teruk. Calon SUPP DUN Pelawan juga membeli ruang iklan di akhbar Cina.

DAP turut menyiarkan iklan di akhbar Cina. Bertemakan "Ubah", mereka memaparkan gambar 15 orang calon mereka.

Laporan tiga akhbar Cina memihak BN

United Daily News adalah akhbar di bawah Kumpulan Shin Yang yang dimiliki tycoon Ling Chiong Ho, sementara Sin Chew Daily dimiliki Tiong Hiew king, dan See Hua Daily News adalah akhbar di bawah kumpulan KTS yang dimiliki kerabat mendiang Robert Lau.

Ketiga-tiga akhbar ini mempunyai hubungan yang rapat dengan parti pemerintah. Antaranya, adik Tiong Hiew King, iaitu Tiong Thai King ialah calon SUPP di DUN Dudong; sepupu mendiang Robert Lau pernah bertanding di PRK Sibu menyarung jersi SUPP. Menurut pemerhatian Sibu Election Watchers (SEW) pada tahun 2010, ketiga-tiga akhbar ini jelas berkecenderungan untuk memihak BN.

Menurut pengamatan wartawan, ruang muka depan dan muka surat yang berwarna dalam ketiga-tiga akhbar tersebut diperuntukkan kepada calon SUPP-BN; sebaliknya calon pembangkang dimuatkan dalam muka surat hitam-putih, dan biasanya tidak bergambar.

*Ong Vic Kee ialah wartawan MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Diterjemah dan disunting dari teks asal yang disiarkan pada 11 April 2011

MerdekaReview

No comments:

follow on fb

share

Share |

BLOGGER PERAK

BLOG BLOG PANAS

BLOG PIMPINAN PAS/PR

BLOG MUSLIMAT

Blog Masjid

Blogroll

Archives

Related Posts with Thumbnails

Header bergerak