SHAH ALAM 25 Sept : Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) menyelar kenyataan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang dilihat sengaja meniupkan api perkauman dengan mengatakan sekiranya komponen Pakatan Rakyat (PR) memerintah, orang Melayu akan hilang kuasa.
DPPP merujuk kepada kenyataaan Mahathir yang dikeluarkan oleh ‘lidah rasmi’ Umno, Utusan Malaysia yang bertajuk Melayu Hilang Kuasa. Pandangan sama turut diutarakan beliau pada wawancara khas yang dipetik daripada laman web www.umno-online.com.
Setiausaha DPPP, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, adalah sebagai perbuatan 'tidak cerdik' apabila pandangan seperti itu datangnya dari seorang yang bergelar negarawan.
"Mengambil contoh Kelantan yang diperintah oleh PAS selama 20 tahun dan 18 tahun sebelumnya, berapa inci tanah orang Melayu yang PAS telah khianati? Sedangkan kalau dilihat ekonomi Melayu di Kelantan lebih hebat jika dibandingkan dengan negeri yang diperintah oleh Umno dan BN," kata Faizi dalam kenyataan medianya.
"Begitu juga ketika Pas dan Barisan Alternatif (BA) memerintah Terengganu setelah berjaya mengambil alih teraju pemerintahan negeri daripada Umno/BN pada tahun 1999 yang mana ketika itu YB Datuk Seri Abd Hadi Awang menjadi Menteri Besar telah memberi tanah kepada orang Melayu, namun dirampas kembali setelah UMNO berjaya menawan semula Terengganu pada tahun 2004. Apakah ini tidak khianat namanya?" soal Faizi.
Faizi turut menyenaraikan beberapa contoh dan rentetan dari peristiwa 'pengkhianatan' yang dilakukan oleh Umno. Antaranya ialah kelulusan 22,000 ekar tanah kerajaan kepada gergasi KL Kepong di Lekir, Manjung, 5000 ekar tanah di Bruas yang mana 1500 ekar kepada MCA di Bandar Baru, Kampar dan 200 ekar Tanah Rizab Melayu (TRM) kepada Perak Hanjoong (sekarang YTL) di Padang Rengas, Kuala Kangsar berhampiran Lebuhraya PLUS.
"Sedangkan permohonan tanah seluas 45 ekar oleh Tuan Guru Haji Abd Latif di Pondok Pak Teh Kroh, Grik, Perak sejak 1996 hanya diluluskan oleh Majlis Mesyuarat kerajaan negeri Pakatan Rakyat di Perak pada tahun 2008, selepas 12 tahun permohonan dilakukan.
"Jika Datuk Seri Nizar merupakan boneka DAP, pastinya permohonan itu ditolak," kata Faizi.
"DPPP merasakan sudah sampai masanya rakyat untuk mengubah lanskap politik Malaysia, supaya kuasa meneraju negara tidak lagi diletakkan di atas bahu Umno dan BN. Terlalu banyak bukti yang terang lagi nyata yang UMNO sememangnya penyebab utama Melayu mundur setelah 52 tahun memerintah," katanya.
"Bahkan bukan sahaja Melayu, malah bangsa lain juga merasakan tidak selamat. Selagi mana ada UMNO yang jelas memperjuangkan dasar perkauman yang mengancam keselamatan negara.
Justeru, dalam kenyataan tersebut, beliau menyatakan kesediaan Dewan Pemuda Pas Pusat dan mencabar Tun Dr Mahathir untuk berdebat secara terbuka tentang siapa sebenarnya yang menjadi pengkhianat bangsa Melayu.
.: TVSelangor.com
1 comment:
salam
pas bernasib baik di Kelantan, majoritinya melayu islam, cuba di negeri luar, pasti pas hilang telornya.
kita boleh lihat di selangor, perak. apakah Dap dan PKR mendengar Pas ?
Post a Comment