 KUALA  LUMPUR, 16 Feb — Tun Dr Mahathir Mohamad sambil mengakui pengetahuan  agama Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang “dalam”, tetapi menggesa Menteri  Besar Kelantan itu berhenti daripada menyalah guna dan menyalah tafsir  Islam demi kepentingan politik diri sendiri.
KUALA  LUMPUR, 16 Feb — Tun Dr Mahathir Mohamad sambil mengakui pengetahuan  agama Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang “dalam”, tetapi menggesa Menteri  Besar Kelantan itu berhenti daripada menyalah guna dan menyalah tafsir  Islam demi kepentingan politik diri sendiri.
 “Saya akui pengetahuan agama Nik Aziz dalam tetapi alangkah baiknya  jika Nik Aziz berhenti daripada menyalahguna dan menyalah tafsir Islam  demi kepentingan politik diri sendiri.
 “Tidak ada sesiapa yang dapat lari daripada hari pengadilan yang  dijanjikan oleh Allah s.w.t.,” kata bekas perdana menteri ini dalam  jawapan panjang lebar menjawab tulisan Nik Aziz awal bulan ini.
 Justeru kata bekas presiden Umno ini, “bertaqwalah kepada Allah  s.w.t. dan hentikanlah mengeliru umat Islam di Malaysia kerana ingin  menang pilihan raya.”
 Awal bulan ini, Nik Aziz menjawab tuduhan Dr Mahathir ke atasnya  dengan menegaskan, Umno yang selama ini “menzalimi orang-orang Melayu”  dan menafikan beliau menjadi punca perpecahan orang Melayu Islam negara  ini.
 Sehubungan itu Nik Aziz berkata, Dr Mahathir sudah mula dijangkiti  penyakit “Melayu Mudah Lupa” yang pernah disebutnya satu ketika dahulu,  ketika menjadi perdana menteri dan presiden Umno.
 “Tun Mahathir melabelkan saya dan PAS sendiri sebagai punca pecah  belah orang Melayu. Barangkali kerana sayalah yang menyebabkan parti  Umno diharamkan pada 1987 yang membawa kepada penubuhan Semangat 46.
 “Barangkali sayalah juga penyebabnya sehingga terpecat timbalan  presiden Umno pada 1999 yang membawa kepada penubuhan parti Keadilan dan  kini dikenali sebagai Parti Keadilan Rakyat. Saya bimbang, Tun Mahathir  sudah dijangkiti penyakit Melayu Mudah Lupa yang pernah disebutnya satu  ketika dahulu,” katanya.
 Dalam entri terbaru di blognya hari ini, Dr Mahathir berkata,  percubaan Nik Aziz untuk memperingatkannya bahawa beliau akan berdiri di  hadapan Allah satu masa nanti sedikit sebanyak membuktikan  keangkuhannya seolah-olah dirinya tidak tahu akan agama Islam.
 “Saya juga beriman dengan hakikat bahawa setiap apa yang  dipertuturkan dan diperbuat di dunia ini akan diadili di akhirat nanti,”  kata Dr Mahathir.
 Dr Mahathir berkata, Nik Aziz yang Mursyidul Am PAS juga akan berdiri  di hadapan Allah satu masa nanti dan segala yang dipertutur dan  dilakukan olehnya di dunia ini akan diadili di akhirat nanti dan lidah,  tangan dan kaki Nik Aziz akan jadi saksi.
 “Bukan bagi Nik Aziz untuk mengadili saya atau sesiapa dan bukan Nik  Aziz yang akan mengadili dirinya sendiri,” kata bekas perdana menteri.
 “Sehingga kita diadili di akhirat, kita tidak boleh dengan angkuhnya merasa kita tidak berdosa dan orang lain yang berdosa.
 “Allah s.w.t. sahaja yang mengetahui segala dosa yang dilakukan oleh  sesiapa, termasuk Nik Aziz,” kata Dr. Mahathir sambil menambah, dakwaan  Nik Aziz yang dianya beriman, setelah mengkafir dan memecahbelah orang  Islam, membuat berbagai-bagai tuduhan, akan ditentukan oleh Allah  s.w.t.”
 “Tidak memadai dengan pengakuan Nik Aziz yang dianya beriman,” kata beliau lagi.
 Dr. Mahathir juga berkata beliau tidak suruh sesiapa menyokong atau  mengundinya kononnya akan menjamin mereka akan ke syurga di akhirat.
 “Yang membuat dakwaan seperti ini ialah Nik Aziz,” kata Dr Mahathir.
 Oleh itu jelas beliau, dalam Islam tidak ada paderi yang boleh ampunkan sesiapa atau menjamin balasan di akhirat kelak.
 “Di Tenang Nik Aziz secara terbuka menghukum orang Umno sebagai  jahiliah,” kata beliau dengan merujuk kepada kempen pilihan raya kecil  DUN Tenang yang berlangsung bulan lalu.
 Katanya, orang Umno adalah orang yang beragama Islam walaupun bagi Nik Aziz mereka bukan Islam kerana tidak sokong PAS.
 “Dunia mengiktiraf bahawa orang Melayu termasuk ahli Umno dan ahli PAS juga adalah orang Islam.
 “Umno tidak mendakwa bahawa hanya orang Umno yang Islam atau dengan  mengundi Umno menjadi Islam dan akan ke syurga,” katanya lagi.
 Dr Mahathir juga berkatam oleh kerana orang Umno beragama Islam, maka perjuangan Umno ialah untuk bangsa, agama dan negara.
 “Demikianlah pegangan Umno kepada Islam sehingga Perlembagaan ciptaan  Umno mensyaratkan seseorang itu adalah Melayu jika dianya beragama  Islam.
 “Nik Aziz tidak akan memasukkan syarat ini kerana Melayu boleh jadi jahiliah dan tidak Islam kerana tidak sokong PAS,” katanya.
 Sehubungan itu kata Dr Mahathir, asas Islam mungkin tidak sama dengan  nasionalisme memandangkan penganut-penganut agama lain juga boleh jadi  nasionalis.
 “Ini tidak bermakna nasionalis Islam tidak Islam. Nasionalis yang  terdiri daripada orang Islam memang berjuang untuk menegakkan agama  Islam, memelihara negara Islam dan menjaga kehormatan agama Islam,” kata  beliau lagi.
 Beliau menambah, tidak ada keangkuhan yang lebih daripada seorang  yang memikir dia sahaja Islam dan orang Islam lain tidak Islam dan tidak  beriman kepada Allah.
 Sambil bertanya apakah nasionalis Melayu Islam tidak pernah  menyatakan tujuan hidup, Dr. Mahathir berkata, jika Nik Aziz membuka  mata dan telinga, mungkin beliau akan melihat perjuangan Umno untuk  Islam secara yang terpampang di hadapannya dan mendengar segala yang  diperkatakan oleh pemimpin dan ahli Umno berkenaan perjuangan untuk  Islam, orang Islam dan negara Islam.
 “Saya tidak perlu ulang tujuan hidup nasionalis Islam Melayu ialah  mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. dengan membuat ibadah tertentu,  memelihara orang Islam dan agama islam bukan sahaja di Malaysia tetapi  dimana sahaja orang Islam ditindas.
 “Tuhan yang akan menilai pengabdian nasionalis Melayu Islam dan bukan Nik Aziz,” katanya lagi.
 Malah Dr Mahathir terus mengkritik dengan berkata, sebaliknya apa  yang keluar dari bibir Nik Aziz sebagai tujuan hidupnya ialah untuk  memenangi pilihan raya dan menjadi pemerintah bersama DAP dan PKR.
 “Untuk ini Nik Aziz secara terbuka sanggup mengkafirkan orang Islam  Umno, bersedia untuk bekerjasama dengan syaitan untuk menjayakan  perjuangannya, bekerjasama dengan orang yang menolak perjuangannya untuk  mendirikan negara Islam ala PAS, mempertahankan pendapat tokoh bukan  Islam supaya orang Islam longgarkan pegangan mereka kepada ajaran agama  Islam.
 “Harapan Nik Aziz ialah dengan melakukan semua ini orang bukan Islam  di Malaysia akan sokong partinya dalam pilihan raya. Bukan Islam yang  diutamakan, bukan mengabdikan diri kepada Allah, tetapi kemenangan dalam  pilihan raya,” katanya lagi.
MI