Setakat ini Mohamad mendapat satu pencalonan untuk bertanding bagi jawatan itu dari kawasan Kubang Kerian yang diketuai oleh exco kanan kerajaan negeri Kelantan Datuk Husam Musa.

'Saya sahaja...'


Namun, Mohamad dijangka tidak menghadapi masalah apabila beberapa lagi kawasan PAS di Wilayah Persekutuan dijangka akan mencalonkan beliau - antaranya di Batu, Kepong, Bukit Bintang dan Putrajaya.

Ditanya sama ada terdapat pimpin PAS lain yang akan mencabarnya merebut jawatan itu, Mohamad enggan mengulas lanjut.

“Saya kira (pencalonan) saya sahaja. Dalam PAS, ada adab berkempen (bagi individu) yang menawarkan diri... Saya tidak mahu menyentuh (hal) orang lain,” katanya.

Ditanya sama ada beliau takut sekiranya terdapat pemimpin tertentu dalam parti mahu mencabarnya, Mohamad berkata ia adalah perkara biasa dalam permilihan parti.

“Saya biasa dicabar dan mencabar. Saya biasa memegang jawatan ketua pemuda, naib presiden dan kalah merebut timbalan presiden.

“Bagi saya kalah atau menang, saya tetap hadir (dalam muktamar) sebagai pejuang parti dan jamaah,” tegasnya.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, ada sumber memberitahu Malaysiakini sekurang-kurangnya 10 daripada 22 kawasan di Selangor akan mencalonkan Mohamad merebut jawatan timbalan presiden.

Bagaimanapun sumber itu enggan mendedahkan kawasan mana yang bakal mencalonkan Mohamad yang juga timbalan pesuruhjaya PAS Pulau Pinang.

Menurut sumber itu lagi, beliau juga tidak menolak kemungkinan terdapat kawasan yang akan mencalonkan penyandangnya Nasharuddin dan naib presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man untuk jawatan yang sama.

Malaysiakini