Friday, October 29, 2010

Kes liwat: Rektum Saiful ‘kosong’, kata pakar bedah

Dr Razali berkata rectum Saiful kelihatan kosong semasa diperiksa. — gambar fail
KUALA LUMPUR, 28 Okt — Pakar bedah Am Dr Razali Ibrahim yang memeriksa Mohd Saiful Bukhary Azlan untuk mengenal pasti kesan-kesan diliwat memberitahu mahkamah, beliau mendapati rektum pengadu itu “kosong.”

“Rektum kelihatan kosong, jadi saya mencatatkan sebagai kosong,” kata pegawai perubatan dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) ini ketika disoal balas oleh peguam pasukan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Sankara Nair.

Razali juga memberitahu, pemeriksaan dubur dijalankan pada 28 Jun 2008 bukan pemeriksaan klinikal yang pertama dikendalikan ke atas Saiful.

Disoal bertubi-tubi oleh Sankara, beliau yang kini berkhidmat dengan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) mengaku, bukan mudah untuk menjalankan pemeriksaan “proctoscopy” ke atas Saiful meskipun dengan menggunakan bahan pelincir.

Penggunaan sebarang instrumen secara tiba-tiba di dubur boleh menyebabkan kecederaan ke atas bahagian-bahagian yang sensitif, kata Razali.

Pada akhir Jun 2008, Saiful mengunjungi Hospital Pusrawi, pusat perubatan swasta, untuk pemeriksaan ekoran sakit di bahagian dubur sebelum dirujuk kepada HKL.

Laporan perubatan dari Pusrawi, yang bocor tahun lalu, mendedahkan bahawa Saiful tidak buang air besar selepas dia diliwat.

Semalam, Razali tegas dengan pendiriannya untuk tidak merujuk nota klinikal bagi menyegarkan ingatannya.

Walaupun diasak berulang kali oleh Karpal, Razali mendesak bahawa beliau tidak merujuk nota yang diambil semasa pemeriksaan perubatan ke atas Saiful selama tiga jam pada malam 28 Jun 2008.

Mahkamah Tinggi kemudian menolak permohonan lisan Karpal, yang mewakili Anwar, untuk mendapatkan nota mengenai sejarah dan pemeriksaan perubatan ke atas Saiful.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah dalam penghakimannya berkata pasukan pembelaan tidak berhak mendapatkan nota-nota tersebut kerana ia tidak dirujuk oleh Razali dalam pemeriksaan utama oleh pihak pembelaan.

Anwar didakwa meliwat Mohd Saiful Bukhari, 25, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No. 99 Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di sini, antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Ditanya tentang garis panduan yang digunakan dalam amalan perubatan di hospital itu, Razali berkata ia merupakan prosedur standard yang diamalkan oleh kebanyakan hospital sejak bertahun-tahun.

Bagaimanapun, pakar bedah itu berkata beliau tidak pasti sama ada ia merupakan garis panduan antarabangsa.

Ketika memberi keterangan tentang cara beliau melakukan pemeriksaan terhadap Saiful, Razali berkata beliau terlebih dahulu membuat pemeriksaan perianal sebelum membuat beberapa palitan dan memasukkan protoskop ke dalam dubur Saiful untuk mendapatkan dua sampel daripada bahagian atas dan bawah rektum pengadu.

Katanya protoskop berukuran 6.5sm panjang itu dimasukkan hanya sekali ke dalam dubur Saiful.

Mengenai soalan tentang tabiat usus Saiful, dan sama ada penting bagi seseorang doktor bertanya mengenainya kepada mangsa dalam kes liwat, Razali berkata ia bergantung pada keadaan.

Kata beliau pada masa berkenaan, pemeriksaan terhadap Saiful dibuat berdasarkan dakwaannya dia telah diliwat untuk mengetahui sama ada berlaku sebarang kecederaan.

Menjawab soalan sama ada beliau bertanya kepada Saiful adakah dia berasa sakit di bahagian dubur sebelum beliau (Razali) membuat pemeriksaan terhadapnya, pakar bedah itu berkata beliau tidak dapat mengingati sama ada beliau ada bertanya tentang perkara itu.

Razali bagaimanapun berkata sebelum membuat pemeriksaan perubatan, beliau menerangkan kepada Saiful tentang prosedur berkenaan dan selepas itu, barulah beliau mula membuat pemeriksaan terhadap dubur pengadu.

Ditanya tentang kedudukan tubuh Saiful semasa menjalani pemeriksaan itu, Razali berkata beliau meminta pengadu berbaring secara mengiring dengan bahagian kiri tubuhnya di sebelah bawah dan merapatkan kedua-dua lututnya pada bahagian dada untuk memudahkan pemeriksaan dilakukan.

Ditanya kenapa beliau tidak menggunakan jari untuk membuat pemeriksaan itu, Razali berkata sekiranya beliau berbuat demikian, kecederaan akan berlaku.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah disambung esok.

MI

No comments:

follow on fb

share

Share |

BLOGGER PERAK

BLOG BLOG PANAS

BLOG PIMPINAN PAS/PR

BLOG MUSLIMAT

Blog Masjid

Blogroll

Archives

Related Posts with Thumbnails

Header bergerak