KUALA LUMPUR, 31 Mac: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mempersoalkan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan Model Ekonomi Baru (MEB) di luar Parlimen seolah-olah tidak mencerminkan konsep 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.
"Pengumuman Najib itu bercanggah dengan konsep rakyat didahulukan  kerana pengumuman tersebut dibuat di luar Dewan Rakyat," jelasnya.
Senada  dengan Abdul Hadi, Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, tindakan Najib  itu seperti menghina kemuliaan Dewan Rakyat.
Ini kerana, menurut  beliau, Najib sanggup pergi mengumumkan MEB di luar Parlimen, sedangkan  beliau berpeluang membentangkan di Dewan Rakyat sekarang.
Dalam pada itu, Majlis Pakatan Rakyat petang  tadi menyifatkan MEB menyadur semangat Agenda Ekonomi Malaysia (AEM).
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Najib dilihat memuatkan prinsip-prinsip utama AEM dalam ucapannya, semalam.
"Seolah-olah prinsip utama yang diwar-warkan itu disadur dari AEM (apabila) Perdana Menteri bercakap mengenai keperluan mencapai pendapatan tinggi, membina ekonomi yang utuh secara berterusan dan menjamin kesaksamaan, peralihan bantuan berasaskan keperluan tanpa mengira kaum," jelas beliau di Parlimen.
Jelas Anwar, kesemua prinsip tersebut telahpun diperjuangkan Pakatan  Rakyat sejak 2006 lagi, dan kemudiannya menjadi manifesto bersama-sama  PKR, DAP dan PAS pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU 12) yang lalu.
Pun  begitu, beliau yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, Najib  yang juga Menteri Kewangan I turut dilihat gagal menjelaskan mekanisme  lanjutan untuk mencapai kelapan-lapan inti utama MEB.
Bagi  Pakatan Rakyat, katanya kerajaan seharusnya menyentuh kaedah-kaedah  kerajaan menangani isu rasuah, ketirisan, pembaziran, ketidakbebasan  mahkamah, polis dan PDRM tidak profesional sebelum memperkenalkan MEB.
Dengan  tidak menyentuh beberapa mekanisme tersebut, menurut beliau,  mengakibatkan ekonomi negara terus dilihat tidak menentu oleh para  pelabur luar.
Akibatnya, menurut Anwar, dana dari Kumpulan Wang  Simpanan Pekerja (KWSP) dijangkakan akan disalahgunakan oleh kroni-kroni  tertentu melalui aktiviti pengkorporatan badan tersebut kelak.
"Pengkorporatan  akan dilakukan di mana (dana) KWSP akan dipinda pada satu badan  tertentu sedangkan tanpa reformasi menyeluruh, bahaya pada (aktiviti)  penswastaan," jelasnya.
Dalam perkembangan yang lain, Majlis  Pakatan Rakyat mengumumkan bahawa PKR direstui untuk meletakkan calon  dalam pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor kelak.
Turut  menyertai Anwar, Lim dan Abdul Hadi di Pejabat Ketua Pembangkang adalah  Dr. Syed Husin Ali (Timbalan Presiden PKR), Datuk Mahfuz Omar (Naib  Presiden PAS), Datuk Mustafa Ali (Setiausaha Agung PAS), Saifuddin  Nasution (Setiausaha Agung PKR) dan beberapa pemimpin tertinggi komponen  PR.
 
 
No comments:
Post a Comment