KUALA LUMPUR, 24 Dis – Datuk Seri Dr Khir Toyo yang dihadapkan di  mahkamah dua minggu lalu, hari ini menasihatkan Barisan Nasional (BN)  ambil iktibar kesilapan 2008 dan tidak memandang enteng janji Pakatan  Rakyat – Program 100 Hari Buku Jingga yang diumum Ahad lalu.
 “Saya memberi pandangan ini agar kita tidak mengulangi kesilapan yang  dilakukan pada 2008, yang mana saya sendiri tidak mengambil berat  manifesto Pakatan ketika itu dan menyebabkan Selangor jatuh ke tangan  Pakatan.
 “Saya berharap pisang tidak berbuah dua kali,” kata bekas menteri besar Selangor ini (gambar) dalam tulisan terbaru blognya.
 Ia dlihat komen terbuka pertama seumama itu selepas beliau dihadapkan di Mahkamah Sesyen Shah Alam pertengahan bulan ini.
 Dr. Khir, 45, didakwa telah mendapatkan untuk dirinya dan isteri  Datin Seri Zahrah Kechik, 45, suatu barang berharga dengan suatu balasan  yang beliau ketahui tidak mencukupi iaitu dua lot tanah dan sebuah  rumah di Jalan Suasa 7/1 L, Shah Alam, daripada Ditamas Sdn Bhd melalui  pengarah syarikat itu, Shamsuddin Hayroni, dengan harga RM3.5 juta  sedangkan hartanah itu telah dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004  dengan harga RM6.5 juta.
 Sebahagian kandungan Buku Jingga Pakatan Rakyat ialah Program 100  Hari yang akan dilaksanakan jika memerintah kerajaan persekutuan.
 Kata Dr Khir, sungguhpun sebahagian janji tersebut tidak realistik,  namun terdapat janji-janji yang boleh mempengaruhi rakyat memberi undi  kepada mereka terutamanya kenaikan gaji guru sebanyak RM500.
 Dr Khir berkata, terdapat kira-kira 400,000 guru sekarang ini dan  tidak mustahil sebahagian besar mereka akan menilai tawaran tersebut  dengan serius.
 “Ini kerana kebanyakan guru mempunyai pegangan politik yang agak  bebas. Tidak ramai yang membuat keputusan menyokong mana-mana parti  politik sejak awal lagi,” katanya lagi.
 Semalam, Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata  beliau kesal dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin  Yassin apabila menyebut bahawa tindakan memperkenalkan imbuhan khas  pendidik sebanyak RM500 seorang setiap bulan akan menyebabkan Malaysia  muflis.
 Dr Khir menambah, kenaikan kos sara hidup yang kian menjadi-jadi  sejak wujudnya makmal rasionalisasi subsidi boleh menjadikan sebahagian  besar rakyat menerima sahaja apa yang ditawarkan oleh Pakatan Rakyat  biar pun mereka mungkin tidak mampu melaksanakan sepenuhnya.
 Pemimpin Umno percaya jentera kerajaan terutamanya menteri “jaga  makmal” boleh memberi penjelasan yang logik, rasional dan sangat  akademik kepada rakyat bagi menjustifikasikan kenaikan harga barang,  petrol dan pengenaan pelbagai cukai termasuk kemungkinan pelaksanaan  cukai barangan dan perkhidmatan (GST).
 “Saya juga percaya kerajaan mempunyai kebolehan untuk menjelaskan  mengapa menteri ‘jaga letrik’ mengumumkan kerajaan bersetuju kenaikan  tarif letrik tapi masa belum sesuai.
 “Tentulah kerajaan juga mampu menjelaskan mengapa Tenaga Nasional  Berhad bercakap soal kekurangan untung (bukan rugi) jika tarif tidak  dinaikkan seolah-olah TNB ini berniaga menggunakan duit sendiri bukannya  duit rakyat,” kata beliau.
 Dr Khir mendakwa menurut sebahagian rakyat termasuk guru-guru yang  menjadi sasaran kempen Pakatan Rakyat sekarang, “sekurang-kurangnya ada  harapan dengan Pakatan Rakyat berbanding BN yang asyik bercakap soal  mengurangkan subsidi dan menaikkan tarif, yang sekali gus menambah  perbelanjaan dan hutang mereka.”
 “Jadi, ketika kita boleh menjelaskan untung rugi, logik dan rasional  setiap tindakan, namun yang jarang ditanya apakah keputusan dan  penjelasan kerajaan mampu meyakinkan rakyat yang akhirnya akan  diterjemahkan ke dalam peti undi dengan memberi undi kepada BN?
 “Sungguhpun kita boleh mendakwa banyak janji Pakatan di Selangor  belum tertunai, namun saya percaya ia akan mula dilaksanakan menjelang  pilihan raya akan datang bagi menggula-gulakan pengundi,” katanya.
 Malah Dr Khir juga berkata, tidak mustahil pada tahun hadapan  kerajaan negeri Selangor akan mengurangkan cukai pintu premis kediaman  sebanyak 20 peratus dan cukai pintu premis perniagaan sebanyak 10  peratus seperti yang dijanjikan dalam manifesto mereka sebelum ini.
 “Ini akan memberi ‘pukulan hebat’ kepada BN,” katanya lagi.
 Beliau juga berkata, masalah BN lebih besar daripada Pakatan Rakyat.
 Oleh itu, katanya, BN sebagai pemerintah tidak boleh berjanji,  sebaliknya perlu melaksanakan kerana ia memegang tampuk pemerintahan.
 Tegas beliau, majoriti rakyat tidak meminta “bulan dan bintang” seperti dalam janji-janji Pakatan Rakyat.
 “Namun rakyat juga tidak boleh terus memberi sokongan kepada kerajaan yang tidak boleh memberi mereka apa-apa harapan,” katanya.
 Dr Khir menjelaskan BN harus datang dengan pelan yang meyakinkan majoriti rakyat.
 “Kalau pun tidak seindah Pakatan, namun pelan BN jika baik dan cantik  ia boleh mendapat kepercayaan rakyat kerana kemampuan BN telah  terbukti,” katanya lagi.
Malaysian Insider