Showing posts with label Belasah UMNO. Show all posts
Showing posts with label Belasah UMNO. Show all posts

Tuesday, October 11, 2011

titik pertemuan berkaitan Enakmen Syariah Negeri Kelantan

(Luqman berkata): "Wahai anakku! Sesungguhnya jika ada seberat biji sawi, berada dalam batu atau di langit atau di bumi, Allah akan mendatangkannya. Sesungguhnya Allah adalah al-Latif (Maha Halus), lagi al-Khabir (Maha Mengerti).” (Luqman ayat 16)
Wan Nik, Setiausaha Politik MB Kelantan tulis dalam blog dia Green Creasent: BERSAMA PIMPINAN PAKATAN RAKYAT, bertempat di Pejabat DAP, Jalan Pudu Kuala Lumpur, jam 5.30-7.00 petang.


BERSAMA PIMPINAN PAKATAN RAKYAT, bertempat di Pejabat DAP, Jalan Pudu Kuala Lumpur, jam 5.30-7.00 petang.

Pertemuan dihadiri sama DS Anwar Ibrahim, Karpal Singh dan Haji Mohamad Sabu.


Kandungan perjumpaan adalah merumuskan titik pertemuan yang dapat disepakati bersama di dalam mengharmonikan usaha memberi kefahaman mengenai Undang-undang Syariah (UuS) oleh Kerajaan Negeri Kelantan.

Justeru atas semangat musyawwarah, perjumpaan tersebut bersetuju dengan hasrat Kerajaan Kelantan untuk menubuhkan jawatankuasa teknikal. Maka sepakat, di sebalik jawatankuasa teknikal itu dibentuk oleh Kerajaan Kelantan dengan menamakan sebagai Jawatankuasa Teknikal Enakmen Syariah.

Di dalam perbincangan pada petang tadi, PAS menerima pakai pendekatan suluh Hudaibiyah tatkala menghormati permintaan DAP dan KeAdilan dalam mencari realiti keharmonian di atas common consensus dan persetujuan sebagaimana kandungan Buku Jingga.

Jelas sekali, pertemuan dan semangat musyawwarah pimpinan Pakatan Rakyat pada petang 10 Oktober hari ini berjaya membuah hasil yang positif untuk semua pihak. Paling positif bagi PAS di Kelantan yang bertekad meneruskan usaha mendidik rakyat memahami aspek tuntutan UuS.

Syabas wakil pimpinan PAS yang diketuai Tim. Presiden PAS, Tuan Haji Muhammad Sabu termasuk tiga ahli Exco Kerajaan Kelantan – Dato’ Mohd Amar, Dato’ Takiyuddin dan Dr. Mohd Fadhli serta saya hanya juru perhati bagi pihak Tuan Guru Dato' Menteri Besar. Semoga keberkatan Allah SWT sentiasa bersama perjuangan Islam di bumi Serambi Mekah.

Sunday, July 25, 2010

Harussani: ‘Ya, Hasan jumpa saya tapi tak bincang kerjasama politik’


KUALA LUMPUR, 25 Julai — Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria juga mengesahkan ada menemui Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali, tetapi menegaskan mereka tidak membincangkan soal kerjasama politik Umno dan PAS.

Harussani berkata setakat ini beliau hanya mengadakan pertemuan dengan seorang pemimpin dari PAS iaitu Hasan.

Ini kali pertama Harussani berkongsi identiti tentang Hasan yang sebelum ini didakwa mengadakan pertemuan memintanya menjadi orang tengah dalam isu kerjasama politik dan perpaduan PAS dan Umno.

Kata Harussani, kedua-dua mereka tidak membincangkan kerjasama politik Umno dan PAS tetapi mengenai perpaduan orang Melayu di negara ini.

“Kami memang tidak membincangkan langsung pasal kerjasama Umno dan PAS tetapi perpaduan orang Melayu di negara ini kerana kami melihat orang Melayu semakin berpecah.

“Kami hanya membincangkan soal bagaimana untuk mencari jalan penyelesaian untuk menyatukan perpaduan di kalangan orang Melayu, itu sahaja.

“Langsung tidak menyentuh soal kerjasama politik Umno dan PAS,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider hari ini.

Harussani berkata demikian ketika diminta mengulas kenyaataan Hasan semalam yang mengaku pernah mengadakan pertemuan dengan Harussani dua bulan lalu tetapi menegaskan mereka tidak membincangkan soal kerjasama politik Umno dan PAS.

Ia kenyataan pertama Hasan sejak Harussani mendedahkan ada pemimpin PAS dan Umno menemuinya dan meminta beliau mengaturkan kerjasama perpaduan membabitkan kedua-dua parti itu.

Malah kata Hasan, beliau tidak diberi mandat untuk mengaturkan perbincangan dengan mufti berkenaan berhubung kerjasama politik Umno dan PAS. - Baca lagi (Sini)

Kenyataan Hassan: Harussani wajar mohon maaf

KUALA LUMPUR, 25 Julai: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar) menuntut Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria memohon maaf secara terbuka kepada PAS dan seluruh orang Melayu Islam berikutan penjelasan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dan Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hassan Mohamed Ali yang menunjukkan mufti itu mwngeluarkan kenyataan yang mengelirukan.

Sambil menyifatkan Harussani melakukan pembohongan yang memalukan, Mahfuz berkata, pengakuan Dr Hassan yang menjelaskan bahawa pertemuannya dengan Harussani tidak ada agenda khusus membincangkan penyatuan Umno dan PAS sekaligus mendedahkan kedudukan dan peranan Harussani sebagai alat dan pencacai Umno.

"Kenyataan Dr Hassan jelas mendedahkan penyelewengan fakta seorang mufti seperti Harussani. Kekeliruan yang ditimbulkan Harussani serta kesediaan beliau menjadi pencacai Umno sangat memalukan ulama khususnya para mufti yang ada di Malaysia.

"Harussani sepatutnya meletakkan jawatan sebagai Mufti Perak kerana beliau pernah menyatakan, sebagai mufti beliau tidak membuat kenyataan yang mengelirukan itu, sedangkan pendedahan Dr Hassan memperjelaskan apa yang dikatakan Harussani adalah tidak benar," katanya.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga menggesa Harussani tidak membiarkan dirinya terus menjadi pecacai Umno yang sedang tenat dan nazak.

Menurut Mahfuz, berdasarkan apa yang dinyatakan oleh Dr Hassan, amat jelas bahawa pertemuan tersebut langsung tidak menyentuh soal kerjasama PAS dan Umno.

"Pertemuan tersebut sempena mesyuarat kebangsaan hal ehwal Islam. Dr Hassan juga menyatakan beliau tidak pernah dimandatkan oleh PAS untuk membincangkan dengan Harussani isu kerjasama PAS dan Umno," kata Mahfuz.

Harakahdaily

Thursday, July 22, 2010

Lebih baik berpecah dari derhaka kepada Allah


TEMERLOH, 21 Julai: Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, itu PAS lebih rela Melayu berpecah dalam mentaati perintah Allah daripada berpadu dalam mendurhakai Allah.

Dalam kenyataan bertulis yang dihantar kepada Harakahdaily, Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang mempersoalkan, apakah apa yang dibuat oleh Umno sekarang untuk perpaduan bangsa atau Islam.

Beliau dipercayai mengulas usaha yang dibuat oleh Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria yang cuba mengheret PAS agar bersatu dengan Umno atas landasan untuk kepentingan Melayu dan Islam.

Ia dilihat sebagai usaha untuk menyelamatkan Umno yang sedang karam dan cuba untuk menyeret PAS ke arah permasalahan itu.

"Isu perpaduan Melayu kembali bergema. Kali ini ianya melibatkan usaha golongan agama (Mufti) dan kepimpinan Umno," tulis Tuan Ibrahim dalam kenyataannya.

Pelbagai komentar dan pandangan dari pelbagai pihak diambil bagi menyokong usaha perpaduan Melayu ini; sekaligus seolah-olah sesiapa yang tidak inginkan perpaduan Melayu adalah golongan yang bertindak bertentangan dengan kehendak Islam.

Menurutnya, pelbagai ayat Quran dan hadis bergema bagi menyokong usaha ini.

“Sebagaimana biasa PAS menjadi sasaran bilamana dengan tegas menolak hasrat perpaduan dengan Umno,” katanya.

“Isu besar ialah apakah untuk perpaduan bangsa atau perpaduan Islam. Kalau perpaduan bangsa; kenapa hanya Melayu perlu berpadu, bagaimana bangsa lain dalam negara. Apakah kerajaan suka kalau bangsa lain berpecah yang juga akhirnya melemahkan negara,” kata Tuan Ibrahim, bekas pensyarah pengajian Islam UITM itu.

“PAS Menyatakan dengan tegas kita perlu bersatu di atas landasan yang digariskan oleh Allah; iaitu “Bertolong bantulah kamu dalam perkara kebaikan dan taqwa, dan jangan bertolong bantu dalam perkara dosa dan permusuhan”.

“Lantaran itu PAS lebih rela melayu berpecah dalam mentaati perentah Allah daripada berpadu dalam mendurhakai Allah,” kata beliau.

PAS, katanya, tidak akan merelai perpaduan bagi mendokong tindakan yang bertentangan dengan Islam yang ditaja oleh Umno.

“Mereka sanggup menghalalkan perjudian di atas nama kebajikan dan sukan, serta pelbagai penyelewengan. Di saat rakyat tenderita dengan tekanan hidup akibat kenaikan kos hidup, rakyat melihat Umno gagal menjaga bangsa dan agama, maka jangan kegagalan ini disalahkan PAS,” tambah beliau.

Katanya, di saat rakyat menderita dengan tekanan hidup akibat kenaikan kos hidup, rakyat melihat Umno gagal menjaga bangsa dan agama, maka jangan kegagalan ini disalahkan PAS kerana lebih 50 tahun Umno diberi kepercayaan oleh orang melayu Islam.

“Umno membelakangkan soal perpaduan; kelantan terus ditindas bahkan negeri Pakatan Rakyat terus diserang saban waktu. Tangan kiri mengholor perdamaian, tangan kanan terus menekan dan menindas bangsa sendiri.

“Kami tidak mahu memikul pengkhianatan UMNO kepada agama. 50 tahun negara ini tidak pernah merasai berjalannya hukum Allah secara menyeluruh, riba rasuah, pusat maksiat berleluasa sehingga remaja seolah-olah tiada hala tuju,” katanya.

Rakyat miskin, katanya, terus dibeban dengan kenaikan kos hidup; di waktu yang sama syarikat swasta kroni pemerintah terus menikmati subsidi luas biasa seperti IPP (Independent Power Producers).

Syarikat konsesi tol pula tidak dipotong subsidi mereka bahkan pembaziran terus berleluasa.

“Di saat negara berada dalam situasi paling buruk dalam sejarah dengan pelbagai isu besar spt penyerahan Blok L,M kepada Brunei, Tanah KTM di Singapura, Isu kemerosotan dana Felda yang mengejutkan, serta pelbagai gejala social yang berlaku menuntut rakyat membuat perubahan besar; bukan meminta PAS memikul sama kemungkaran ini,” tegas beliau.

Harakahdaily

Wednesday, July 21, 2010

Waspada 'pasukan khas perpaduan' Umno

Dzulfikar Mashoor


GOMBAK, 21 Julai: PAS diminta berwaspada dengan rancangan 'pasukan khas' yang ditubuhkan Umno untuk membangkitkan semula isu perpaduan PAS dengan parti perkauman Melayu itu.

"Awas pada satu kewujudan pasukan khas yang dicipta oleh Umno untuk memecahbelahkan PAS," ujar Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, malam tadi.

Katanya, pengakuan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria kononnya ada pemimpin tertinggi PAS bertemu dengannya untuk menyatukan PAS dengan Umno juga dipercayai sebahagian daripada rancangan pasukan khas tersebut.

"Ini adalah konspirasi rapi yang mungkin memaksa Harussani berbohong, mungkin juga ada dalang pasukan khas ini," beliau menambah.

Rancangan pasukan khas tersebut, katanya lagi, turut bertujuan mewujudkan kesangsian dalam Pakatan Rakyat sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) tidak lama lagi.

"Rancangan ini memang untuk pecah belahkan PAS dan wujudkan kesangsian dalam Pakatan Rakyat sebelum pilihan raya umum depan," ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Tambahnya lagi, sepasukan khas tersebut terpaksa pergi sejauh ini mungkin disebabkan rancangan kemasukan 40 ulama muda yang diwar-warkan sebelum ini kurang memberi impak kepada PAS dan Pakatan Rakyat.

Namun, beliau berkata, rancangan terbaru Umno itu seakan menarik minat awam untuk sangsi dengan iltizam politik PAS bersama-sama Pakatan Rakyat.

Harakahdaily

Tuesday, July 20, 2010

"Kita dah tutup buku kerjasama dengan Umno.

KUALA LUMPUR, 19 Julai: “Melayu akan lebih kukuh dan mulia tanpa Umno, dan Malaysia akan lebih maju tanpa Umno," kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria kerana meyakini kuasa politik melayu akan hilang pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti.

"Saya ucap terima kasih kepada Tan Sri Harussani kerana begitu kasyaf tentang politik negara yang nampak kuasa politik Melayu iaitu Umno akan hilang.

"Dan kita yakin kuasa politik baru akan wujud yang dikuasai Melayu serta semua kaum yang ditunjangi Pakatan Rakyat suatu masa nanti," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS, pagi tadi.

Hadir sama ialah seorang lagi Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub.

Menurut beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, orang Melayu tidak perlu risau jika PAS dan Umno tidak bersatu kerana hak orang Melayu lebih terbela tanpa Umno.

Umno, katanya sudah jelas terbukti sebuah parti yang menghakis kepentingan Melayu bukan membela Melayu.

Salahudin pula memberitahu, PAS tidak pernah membuat sebarang keputusan untuk menghantar mana-mana pihak atas tujuan menjalin kerjasama politik dengan Umno.

"Kita dah tutup buku kerjasama dengan Umno.

"Dakwaan (kerjasama) itu satu ftnah, mereka cuba menghakiskan kepercayaan penyokong dan ahli PAS terhadap pemimpin PAS," katanya yang juga ahli Parlimen Kubang Kerian.

Katanya, PAS sudah memutuskan akan tetap komited bersama Pakatan Rakyat dan isu kerjasama dengan Umno tidak berbangkit.

Dalam pada itu, mengulas dakwaan wujud perbezaan pandangan antara Muhyidin dengan Najib berhubung isu kerjasama ini, Mahfuz berkata Muhyidin seperti mempunyai agenda dalaman menjatuhkan Presidennya.

Muhyidin jelasnya sedang berusaha meyakinkan pemimpin dan ahli Umno lain bahawa Najiblah punca kuasa politik Melayu yang diperjuang parti itu terhakis.

"Muhyidin sedang bina imej untuk jadi hero Melayu dalam Umno.

"Dia sedang mengambil kesempatan mengajak pemimpin Umno lain tikam Najib daripada belakang," katanya - Harkahdaily


Sunday, July 18, 2010

Harus Sani Makin celaru

IPOH, 18 Julai: Sekarang sudah terang lagi bersuluh, penghujung hayat seorang mufti yang dahulunya terkenal dengan pelbagai isu seperti murtad, sudah sangat bercelaru dan kabur.

Setiausaha Sekretariat Pakatan Rakyat Negeri Perak, Drs Khalil Idham Lim (gambar) menyifatkan Tan Sri Harussani Zakaria sudah menjadi pejuang assobiah dan mempertahankan perjuangan Umno yang ‘sesat’.

“Saya sangat terkejut dengan kenyataan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria mahu terus menyatupadukan orang Islam dan Melayu di negara ini walaupun terdapat pihak yang tidak menyenangi usaha murni beliau ini.

“Nampaknya dia semakin bercelaru dan semakin menampakkan usia senjanya yang kurang jelas ke mana halatujunya sebenar,” ujar Khalil di dalam blognya.

Harussani sebagai dipetik dalam Malaysiakini: "Harapan itu ada kerana kedua-duanya (Umno dan PAS) memang hendak bersatu. Itulah cita-cita saya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Melayu Perak anjuran Gagasan Melayu Perak di Ipoh, kelmarin.

Menurut Khalil yang juga Ketua Penerangan PAS negeri, satu perkara yang mengejutkan apabila Harussani berkata terdapat pemimpin kedua-dua parti Melayu berkenaan yang datang berjumpa beliau baru-baru ini bagi membincang dan meminta pandangannya berhubung cara untuk menyatupadukan kedua-dua parti tersebut.

“Siapa pula yang dimaksudkan oleh Harussani terutamanya dari PAS. Saya kira satu kenyataan yang bahaya dan perlu dibuktikan oleh beliau, bukannya main lepas cakap. Ataupun perbualan biasa dengan orang yang didakwa PAS oleh beliau dan dia mahu memutar belit fakta untuk sekian kalinya,” katanya lagi.

Katanya, Harussani mendakwa beliau telah menjelaskan kepada mereka bahawa beliau bukan orang politik dan tidak mempunyai hak untuk menentukan perkara tersebut bagi kedua-dua belah pihak.

Persoalannya, kata Khalil kita hendaklah kembali kepada perkara asal yang menjadi polemik antara beliau dengan bekas Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Ahmad Awang yang jelas menunjukkan Harussani berbohong dan memutar belit fakta yang sebenar.

Beliau yang juga Adun Titi Serong menambah, kalau mufti itu berani dan sudah kecewa, bolehlah dia berkata dan menyokong kenyataan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Afdal yang mengatakan PAS adalah parti ajaran sesat.

“Sesudah itu buatkan kempen besar-besaran untuk menarik orang Melayu termasuk orang PAS untuk meninggalkan parti sesat seperti kata Shafie,” ujarnya sinis.

Harakahdaily

Harussani wajib nasihat Umno hayati Islam


Menjadi tanda tanya kepada saya, atas kapasiti sebagai siapakah Tan Sri Harussani Zakaria beria-ia benar bersedia untuk memainkan peranan sebagai orang tengah atau perantara bagi tujuan menyatupadukan orang Islam PAS dengan orang Melayu Umno?

Sebagai Mufti Perak? Sebagai Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria wajib menumpukan sepenuh perhatiannya pada amanah dan tanggungjawab kemuftiannyasecara khusus dalam negeri Perak Darul Ridzwan. Tidak menjadi tugas dan tanggungjawab beliau untuk urusan penyatupaduan antara dua buah parti politik.

Beliau tidak perlu bersusah payah untuk satu tugasan yang sangat berat, sedangkan beliau gagal melaksanakan satu tugasan ringan yang menjadi haknya.

Sebagai Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria ialah penasihat agama kepada Tuanku Sultan Perak. Tidakkah Tan Sri berasa takut dan malu kepada Allah SWT apabila nasihat Tan Sri tidak diendahkan oleh ahli keluarga Diraja Perak dalam perkara wajib yang terlalu mudah untuk ditunaikan, misalnya dalam rukun menutup aurat.

Sebagai seorang ulama? Sebagai ulama benar atau ulama akhirat, Tan Sri Harussani Zakaria sesungguhnya wajib meletak jawatan apabila nasihat yang wajib tidak dipatuhi; namun, sekiranya Tan Sri yang takuk untuk menyembahkan nasihat, maka beranilah saya mengatakan bahawa Tan Sri bukanlah seorang ulama benar, tetapi hanyalah ulama su' yang takutnya kepada manusia mengatasi takutnya kepada Allah SWT.

Kalau Tan Sri Harussani Zakaria merasakan dirinya itu ulama malaki pada peringkat nasioanal, beliau harus membuktikan peranannya yang berkesan; tetapi hingga ke saat ini setelah lebih kurang dua puluh lima tahun beliau berpeluang memainkan peranannya, saya tidak nampak apa-apa rancangan beliau yang mampu mengatasi atau sekurang-kurangnya mengurangkan gejala jenayah pelbagai jenis yang bermaharajalela yang melibatkan orang Islam di Malaysia.

Saya tidak nampak pun apa-apa program Tan Sri Harussani Zakaria secara besar-besaran dalam menolong menjadikan orang Islam Malaysia ini benar-benar orang mukminin dan mukminat sejati, atau hamba Allah SWT yang bertaqwa kepada-Nya. Menurut satu kajian, sebanyak 80% orang Islam Malaysia tidak menunaikan solat secukup lima waktu dalam masa sehari dan semalam. Aspek dahsyat ini yang patut diutamakan; bukan aspek perpaduan parti politik.

Industri hiburan dan media merupakan tsunami besar yang melanda masyarakat Islam Malaysia, terutamanya dalam kalangan remaja, sehingga menjadikan sebahagian masyarakat Islam Malaysia hilang arah, hilang matlamat hidup dan sesat. Mala petaka ini yang lebih wajib dipedulikan oleh Tan Sri Harussani Zakaria daripada menyibuki urusan PAS. Saya fikir, PAS tidak memerlukan bantuan Tan Sri.

Sebagaimana pengakuannya, Tan Sri Harussani Zakaria tidak menyertai mana-mana parti politik. Katanya, beliau orang tengah yang duduk atas pagar. Walau bagaimanapun, rakyat Malaysia maklum bahawa beliau berpihak kepada Umno. Oleh sebab itu, lebih wajarlah beliau menyampaikan nasihat yang wajib kepada Umno supaya Umno menghayati Islam secara holistik.

Saya berpandangan bahawa seorang ulama waris Nabi wajib senantiasa bersama-sama dengan jemaah yang jihadnya dan matlamat perjuangannya bertunjangkan al-Quran dan al-Hadith. Kalau tidak, seseorang itu bukanlah ulama warathatulanbia'; lebih-lebih lagi, jika seseorang ulama itu memusuhi kumpulan jemaah Islam berkenaan, maka ulama yang berkenaan itu pastilah seorang ulama su' atau ulama dunia.

Yangretibase,

Kuala Terengganu.

Harakahdaily

Saturday, July 17, 2010

Speaker: Adun tolak jawatan PAC gambarkan fikiran sempit BN


Teng (tengah) berkata Shamsudin patut lebih awal memaklumkan keengganan beliau menerima perlantikan sebagai pengerusi PAC Selangor. — gambar fail

KUALA LUMPUR, 17 Julai — Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor menyifatkan tindakan Adun Sungai Burong Datuk Mohd Shamsudin Lias dari BN menolak pelantikan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sebagai berfikiran sempit kerana menolak kepercayaan diberikan dewan.

Teng Chang Kim berkata tindakan Shamsudin menolak usul yang membolehkan beliau dilantik memegang jawatan itu seolah-olah mengabaikan tanggungjawab rakyat.

Ini kali pertama DUN Selangor melantik wakil pembangkang mengetuai jawatankuasa itu.

“Usul ini adalah perintah daripada dewan jadi kalau beliau (Shamsudin) tidak terima jawatan tersebut, maka beliau telah mengabaikan tugas yang telah diberikan,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Bagaimanapun DUN tidak akan mengambil sebarang tindakan tetapi rakyat akan jelas bahawa Adun BN tidak mahu memikul tanggungjawab setelah mendapat sokongan penuh anggota dewan, tambah beliau.

Teng berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Shamsudin yang tetap dengan pendirian menolak usul yang membolehkan beliau dilantik sebagai Pengerusi PAC atas alasan ia hanya bermotifkan politik.

Shamsudin berkata, keputusannya tidak berubah kerana ia berkaitan dengan prinsip dan maruah sebagai wakil rakyat BN.

“Saya memang tidak terima usul tersebut kerana saya bimbang ia hanya bermotifkan politik. Bahkan Adun BN yang lain dari awal sudah menolak usul tersebut.

“Ini adalah soal prinsip dan maruah saya, jadi saya perlu mempertahankan,” katanya.

Kelmarin Shamsudin menolak usul tersebut yang dibentangkan pada sidang DUN Selangor bagi membolehkan pelantikan itu dibuat secara rasmi.

Pendirian itu diulangi semalam ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Kerajaan negeri Selangor diterajui oleh Pakatan Rakyat.

Sehubungan itu Teng berkata tindakan Shamsudin juga menunjukkan seolah-olah beliau lebih mementingkan parti daripada kepentingan rakyat.

“Pembangkang kata nak mainkan peranan dalam kerajaan negeri tapi bila bagi tanggungjawab tidak mahu pula, saya tidah faham dengan politik Umno.

“Selain itu, kalau tidak bersetuju dengan usul tersebut mengapa [tidak] maklumkan lebih awal iaitu pada hari pertama lagi. Kenapa perlu tunggu hari keempat?

“Usul sudah diluluskan, jadi kita akan menghormati keputusan yang dibuat dewan. Sama ada terima atau tidak bergantung kepada mesyuarat PAC nanti,” katanya.

Ketua Pembangkang DUN Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo yang awalnya menyambut baik langkah itu kemudian menyifatkan usul pelantikan Shamsuddin dibuat berdasarkan kepentingan politik.

Dalam perbualan menerusi Twitter, Teng berkata Khir juga telah bersetuju dengan pelantikan tersebut tetapi mengubah fikiran kemudian.

Malaysianinsider


Friday, July 16, 2010

Umno sentiasa sibuk minta tolong PAS

“Tetapi kalau perjumpaan itu hendak runding PAS dengan Umno, tidak ada sama sekali.

Saya bagi tahu dah, kalau hendak berjumpa dengan saya hendak berunding persoalan PAS dengan Umno, tidak boleh sama sekali. Ini kerana barang yang sudah pun selesai. Sepuluh tahun lalu, dah selesai.

“Islam adalah ‘pasport’ untuk ke syurga, ‘Melayu’ tidak boleh ke syurga.

“Usahkan Melayu, bahkan bapa saudara Nabi Muhammad s.a.w. sendiri, Abu Lahab, seperti firman Allah (dalam Surah Al-Masad, ayat 1-6) binasa.

“Sedangkan Abu Lahab itu bapa saudara Nabi sendiri, orang Arab dan baka Quraisy, tok syed, tetapi rekod nama dia digazet dalam Al-Quran sebagai ahli neraka. Oleh itu, usahkan Melayu, bangsa Arab pun tidak boleh,” katanya.


Tetapi kalau perjumpaan itu hendak runding PAS dengan Umno, tidak ada sama sekali.

Muhammad Yusri Amin

KOTA BHARU, 16 Julai: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan PAS sejak ditubuhkan pada 1951 tidak pernah meminta pertolongan Umno, tetapi sebaliknya Umno sentiasa sibuk meminta pertolongan dari PAS.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan mengulas dakwaan Umno kini berada dalam keadaan lemah dan kritikal terutama dalam usaha meraih undi Melayu dan sokongan bukan Islam menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13) sehingga terpaksa mempelawa PAS menyertai Umno walau pun pada satu pihak menuduh PAS sesat.

“Kelemahan yang berlaku dalam Umno kini adalah masalah dalaman parti itu, tetapi kenapa dicampur dengan PAS. Kalau dia lemah, maka lemahlah, itu kelemahan dia.

“PAS ni sejak diwujudkan pada 1951 lagi tidak pernah meminta pertolongan Umno (tetapi sebaliknya), Umno duk sibuk nak minta tolong dengan PAS,” katanya kepada media selepas menyampaikan kuliah mingguannya di Medan Ilmu di sini pagi ini.

Ditanya mengenai penafian Presiden Umno yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini bahawa tercetus semula isu usaha kerjasama Umno dan PAS menunjukkan Umno kini berada dalam keadaan terlalu lemah sehingga terpaksa menjalin kerjasama dengan PAS, beliau berkata, “itu terserah kepada dia”.

Bagaimana pun beliau memberi kesanggupan untuk berjumpa dengan Timbalan Perdana, Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam mana-mana platform termasuk di luar Kelantan sekiranya beliau berada dalam keadaan sihat.

“Tetapi kalau perjumpaan itu hendak runding PAS dengan Umno, tidak ada sama sekali.

“Saya bagi tahu dah, kalau hendak berjumpa dengan saya hendak berunding persoalan PAS dengan Umno, tidak boleh sama sekali. Ini kerana barang yang sudah pun selesai. Sepuluh tahun lalu, dah selesai.

“Itu keputusan parti, bukan keputusan saya, tetapi kalau hendak berunding benda lain, petroleum atau masalah apa saja, boleh,” katanya.

Beliau mengulangi bahawa isu ‘perpaduan Islam’ tidak boleh dirundingkan, terutama apabila Umno menolak Islam dan mengambil ‘kebangsaan’.

Oleh itu, tegasnya, Umno perlu menukar ‘kebangsaan’ itu kepada ‘Islam’ dan akan boleh menyesaikan persoalan tanpa rundingan.

“Islam adalah ‘pasport’ untuk ke syurga, ‘Melayu’ tidak boleh ke syurga.

“Usahkan Melayu, bahkan bapa saudara Nabi Muhammad s.a.w. sendiri, Abu Lahab, seperti firman Allah (dalam Surah Al-Masad, ayat 1-6) binasa.

“Sedangkan Abu Lahab itu bapa saudara Nabi sendiri, orang Arab dan baka Quraisy, tok syed, tetapi rekod nama dia digazet dalam Al-Quran sebagai ahli neraka. Oleh itu, usahkan Melayu, bangsa Arab pun tidak boleh,” katanya.

Harakahdaily

Thursday, July 15, 2010

Nik Aziz cabar Umno tukar nama, dasar sertai Pakatan


KUALA LUMPUR, 14 Julai - Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat mengesyorkan Umno agar menukar nama dan dasarnya kepada Islam jika benar-benar mahu memperjuangkan hak dan nasib orang Melayu.

“Kalau Umno ingin sangat menjaga perjuangan orang Melayu, lebih baik Umno menukar dasarnya kepada Islam,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan di sini hari ini.

Menteri Besar Kelantan itu berkata beliau berpendapat bahawa sekiranya Umno menukar dasarnya daripada Melayu kepada Islam, maka ia boleh bersama PAS dalam Pakatan Rakyat.

“Bila Umno boleh bersama PAS atas dasar Islam, orang Islam makin kuat dan politik Melayu bertambah kukuh,” kata beliau lagi.

Mengulas mengenai syor terbaru mengenai kerjasama PAS-Umno ini, Nik Aziz (gambar) berkata, isu berunding antara PAS–Umno sudah selesai dan parti Islam itu sudah menolak untuk berunding dengan komponen BN itu.

“Sekarang PAS sudah menerima kerjasama dalam Pakatan Rakyat. Kalau Umno ingin sangat menjaga perjuangan orang Melayu, lebih baik Umno menukar dasarnya kepada Islam.

“Kerana Islam yang menyelamatkan manusia dan kita harus ingat penghujung hidup manusia adalah akhirat.

“Sebab itu, Islam mengajar hidup manusia mesti berpandukan ad-Din iaitu cara hidup berpandukan agama. Hanya agama diambil kira di akhirat,” katanya lagi.

Kata Nik Aziz, atas prinsip agama begini, maka PAS selama 20 tahun mentadbir Kelantan adalah hasil daripada sokongan semua kaum dan agama.

Nik Aziz berkata, mereka mengundi PAS atas nama Islam dan tidak “masakan PAS dapat menang besar pada (pilihan raya) tahun 1990 dan 2008”.

Apa yang berlaku di Kelantan adalah sebagai bukti bahawa dasar Islam diterima oleh majoriti rakyat yang terdiri daripada pelbagai latar belakang politik, termasuklah orang Umno turut menyokong dasar Islam yang dibawa oleh PAS, kata beliau lagi.

“Pada saya, kalau Umno tukar dasarnya daripada Melayu kepada Islam, maka Umno boleh bersama PAS dalam Pakatan Rakyat. Bila Umno boleh bersama PAS atas dasar Islam, orang Islam makin kuat dan politik Melayu bertambah kukuh,” katanya.

“Sekaranglah masanya untuk Umno menukar dasar Melayunya itu. Jangan terikut-ikut dengan puak Yahudi. Kerana pengasas perjuangan bangsa itu adalah puak Yahudi. Ia disambung pula oleh puak Arab,” kata beliau sambil menambah:

“Sedangkan perjuangan atas dasar kaum atau bangsa tidak diterima di sisi Nabi Muhammad SAW.”

“Sedangkan di akhirat kelak kita akan masuk syurga. Untuk masuk syurga mestilah dengan syafaat Nabi. Macam mana untuk mendapat syafaat Nabi sekiranya kita berjuang tidak mengikut seruan Nabi,” katanya.

Dalam pada itu laporan Bernama memetik Nik Aziz pula berkata, beliau sedia bertemu dan berbincang dengan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai “apa juga perkara”.

Ketika ditemui pemberita di Kota Baru hari ini, Menteri Besar Kelantan berkata tiada halangan untuknya bersua muka dengan Muhyiddin tetapi perjumpaan itu biarlah tanpa diatur mana-mana pihak ketiga sebagai orang tengah.

“Yang moleknya tak payah orang (tengah). Kalau nak jumpa secara peribadi pun tak apa, boleh sangat,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri.

Muhyiddin yang dijadual melawat Kelantan esok, semalam dilaporkan berkata, Umno sedia menjalin kerjasama dengan PAS dalam pelbagai bidang termasuk usaha untuk memperkukuhkan Islam dan kedudukan orang Melayu di negara ini.

Pagi tadi, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, Umno mempunyai kekuatan tersendiri dan parti itu bukan terlalu lemah sehingga terpaksa bekerjasama dengan PAS.

Najib yang juga Presiden Umno itu berkata PAS harus menghormati Umno sebagai parti yang memperjuangkan Islam, yang merupakan satu daripada teras perjuangan mereka selama ini.

Beliau berkata tiada sesiapa yang harus meragui perjuangan Umno dalam hal tersebut.

Sebelum ini, Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas Lokman Nor Adam dipetik sebagai berkata bahawa hasrat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang mengamalkan dasar Islam akan menjadi kenyataan sekiranya PAS dan Umno bersatu.

Ekoran daripada itu, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia, Razak Idris mencadangkan penubuhan satu jawatankuasa khas supaya kerjasama antara Umno dan PAS dapati dicapai.

Malaysianinsider

Sunday, July 11, 2010

Anak murid Jakim agen penyesat?


Wan Nik Wan Yussof
Seorang yang terkedu dengan kenyataan kawannya telah menelefon saya (Khamis lepas, 8 Julai). Katanya, tergamak kawannya itu membuat tohmahan "SESAT" bernada keras dan kebencian terhadap seorang berperwatakan ulama yang memang dikenali ramai di negeri, negara hatta peringkat dunia.

Kawannya itu, kononnya lulusan Universiti al-Azhar, pensyarah salah sebuah IPT di Johor, dipanggil ustaz dan dianggap orang agama, tetapi kelihatan tidaklah berakhlak ulama. Dia berani mengeluarkan kenyataan SESAT selepas kembalinya berkursus di JAKIM. Ada individu tertentu telah mengasak pemikirannya dengan fakta-fakta kononnya dilakukan oleh ulama tersohor itu. Lalu dilabelkan ulama itu seorang yang SESAT. Ulama yang dimaksudkan Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Menteri Besar Kelantan.

Menurutnya, beliau telah berhujah dengan kawannya itu dengan beberapa persoalan yang gagal dijawab oleh kawannya itu. Setakat yang dia tahu tentang Tuan Guru Nik Abdul Aziz (TGNAA), beliau tegaskan, tak mungkin seorang berakhlak seperti TGNAA itu adalah SESAT!

Lalu saya menelusuri sikap terkedu saudara penelefon itu. Saya membutirkan lagi beberapa hujah agar terkedunya itu tidak sampai ke peringkat kegusaran yang berpanjangan.

Saya berhujah berdasarkan pengalaman selama lebih 30 tahun mengenali TGNAA. Antara hujah yang dapat saya paparkan (menerusi telefon yang mengambil masa sekitar 10 minit):

1. TGNAA memang seorang ulama kerana akhlaknya selalu berserban ketika tampil di khalayak, SESATkah kerana berserban?

2. TGNAA memang seorang guru agama kerana mengajar kitab (yang KDN lulus dijual di pasaran) setiap malam Khamis dan Jumaat di masjidnya sendiri, SESATkah kerana mengajar kitab?

3. TGNAA satu-satunya yang berserban, lulusan Deoband, India dan al-Azhar Mesir dalam bidang hadis dan qanun wal-syariah telah diangkat rakyat Kelantan menjadi Menteri Besar (MB) telah 20 tahun, SESATkah ilmu itu dan SESATkah rakyat Kelantan kerana mengangkatnya jadi MB?

4. TGNAA selalu bangun untuk beribadat malam (tahajud) mendekati Tuhan, SESATkah kerana beribadat malam?

5. TGNAA sering dijemput berkhutbah Jumaat tatkala hadir mengunjungi masjid-masjid di serata Kelantan, SESATkah kerana boleh berkhutbah (bukan baca khutbah)?

6. TGNAA bila berceramah, berucap dan merasmikan majlis akan memulakannya dengan membaca ayat-ayat al-Quran sebagai mukadimah kepada intipati kepada apa yang akan diceramahkan, diucapankan dan dirasmikan, SESATkah kerana bermukadimah dengan ayat al-Quran?

7. TGNAA akan bersolat dhuha dulu sebelum duduk memulakan tugas di kerusi MBnya, SESATkah kerana solat dhuha di pejabat?

8. TGNAA sejak menjadi pemimpin PAS telah mengajar ilmu tafsir al-Quran setiap pagi Jumaat di Masjid Muhammadi, kemudian sejak jadi MB mengajar pula di Dataran Ilmu MPKB yang anak muridnya ribuan orang, SESATkah kerana mengajar tafsir yang kitab rujukannya adalah "Tafsir Pimpinan Rahman" yang duluskan Jakim dan KDN?

9. TGNAA apabila hadir untuk bersolat fardhu di mana-mana masjid di serata negari dan negara tidak mudah nak jadi imam, selagi mana pihak berkuasa masjid itu tidak memintanya menjadi imam, SESATkah sikap sedia jadi imam semata-mata kerana diminta untuk jadi imam?

10. TGNAA sejak jadi Mursyidul Am PAS, menjadi pemimpin Pakatan Rakyat, berkawan dengan parti KeADILan dan DAP akan selalu menyampaikan mesej Islam (menerangkan kelebihan Islam) bila dijemput berucap, meskipun di depan Anwar, Lim Kit Siang hatta di depan Karpal Singh, SESATkah seorang pemimpin Islam bila berucap di depan pemimpin bukan Islam ia tegas menyatakan ajaran Islam?

11. TGNAA sebaik jadi MB Kelantan, komited dengan dasar Membangun Bersama Islam, arah simpan wang kerajaan Negeri di Bank Islam, buka pajak gadai Islam, pakai prinsip pentadbiran berteraskan Ubudiah, Masuliah dan Itqan, laksana perbandaran Islam, beri takaful kifalah untuk wasi si-mati, guna dinar emas, beri cuti bersalin 60 hari, mulakan kerja 5 hari seminggu...sekadar beberapa contoh, SESATkah pendekatan pentadbiran Islam sebegitu yang jelas kerajaan Pusat pun terikut-ikut sama?

Lepas itu, saya merungut di dalam hati..."sampai lenguh aku memegang telefon ni, nak layannya."

Apa pun banyak lagi hujah yang saya nak sebutkan. Namun, saya ringkaskan dengan mempelawanya, "jemputlah kawan saudara tu baca blog TGNAA (http://www.blogtokguru.com/) dan cuba-cubalah masuk Facebook TGNAA (ttp://www.facebook.com/nikaziz)." Alamatnya mudah je....

Harap sampaikan salam saya kepada kawan saudara tu (dalam hati aku terkata, iaitu anak murid Jakim agen penyesat?)

Terima kasih.

Coretan ikhlas,

Wan Nik Wan Yussof,

Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan.

Harakahdaily

Saturday, July 10, 2010

Biasiswa khas' untuk aktivis pelajar - Tahniah Kerajaan Selangor

Seorang pemimpin pelajar Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) yang pinjaman pendidikannya digantung kerana didakwa terbabit dengan pilihan raya kecil Hulu Selangor akan diberikan biasiswa khas.

Aktivis pelajar itu yang juga ahli Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), berkata beliau menerima berita baik itu daripada kerajaan Selangor semalam.

"Saya gembira kerajaan negeri menawarkan biasiswa dan ia mengurangkan beban kewangan saya,” katanya.

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebelum ini menggantung pinjaman Ahmad Shukri Kamaruddin's student loan bersama 1,500 lagi pemohon dari KUIS kerana didakwa terbabit dengan pilihan raya.

Ahmad Shukri bagaimanapun menafikan yang beliau berkempen tetapi hadir pada pilihan raya kecil itu atas kapasiti sendiri dan tidak menyokong mana-mana parti.

Mesyuarat dengan MB

Ketika dihubungi Malaysiakini, beliau berkata dia tidak mempunyai maklumat tambahan berhubung biasiswa itu.

"Saya percaya biasiswa itu hasil perjumpaan saya dengan Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim dan exco pelajaran Dr Halimah Ali pada 23 Jun lalu berhubung pinjaman pelaran saya,” kata Ahmad Shukri, yang berperanan aktif dalam politik kampusnya.

Beliau mengikuti kursus empat tahun bagi mendapatkan Ijazah Pengajian Islam (Syariah) dan mempunyai setahun lagi sebelum tamat pengajiannya.

Dekan Hael Ehwal Pelajar KUIS, Muhammad Subari Ramli berkata pihaknya tidak dimaklumkan berhubung biasiswa yang ditawarkan kepada Ahmad Shukri.

"Tetapi 1,500 permohonan baru sedang diproses oleh PTPTN dan tidak ada masalah berhubung perkara itu,” katanya.

Dilema Ahmad Shukri mendapat perhatian umum apabila Mohd Nasir Zakaria (PAS-Padang Terap) membawa masalah pelajar itu ketika membahaskan Rancangan Malaysia ke -Sepuluh di Dewan Rakyat pada 17 Jun lalu.

Malaysiakini

Thursday, July 8, 2010

Umno sesat sebab lawan perjuangan Islam




KOTA BHARU, 8 Julai: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan tuduhan pihak yang mendakwa PAS sebuah parti ajaran sesat bukan sahaja satu tuduhan yang berat, sebaliknya amat tidak berasas.

Katanya, tidak ada sebab PAS yang menjadikan al-Quran dan Hadis sebagai dasar dalam perjuangannya, ditentang sekiranya Umno sendiri bukan sebuah parti yang sesat.

Beliau sebaliknya mendakwa Umno yang sebenarnya parti sesat kerana menolak perjuangan Islam.

“Umno sebenarnya parti sesat, sebab itu mereka melawan perjuangan PAS biarpun perjuangan PAS berlandaskan al-Quran dan hadis,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengulas kenyataan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang mendakwa PAS sebuah parti ajaran sesat.

Tuan Guru berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Armalah di Putik, Pengkalan Chepa hari ini.

Beliau juga turut menyifatkan kenyataan Shafie Apdal itu sebagai mengarut serta tidak berasas.

Menurutnya, sesat atau sebaliknya perjuangan bukan boleh diukur dengan kefahaman sains, sebaliknya agama.

Jelasnya lagi, orang Islam sendiri setiap kali menunaikan solat sering menyebut tidak ingin sesat di mana Allah sendiri telah memberi nikmat kepada mereka berada di jalan yang benar.

“Hanya empat golongan mereka yang diberi nikmat oleh Allah, antaranya meneruskan perjuangan yang ditinggalkan oleh Rasulullah dan para nabi iaitu memperjuangkan Islam.

“PAS sendiri khususnya di Kelantan meneruskan dasar perjuangan Islam berkenaan yang menjadi agenda perjuangan parti sendiri menurut al-Quran, hadis, ijmak ulamak malah ianya menjadi dasar bertulis perjuangan,” ujarnya.

Tambahnya, dengan jawatannya sebagai Menteri Besar Kelantan turut dilaksanakan mengikut landasan Islam termasuk menghapuskan premis judi, menyediakan rumah tiga bilik mengikut ajaran Rasulullah dan berbagai lagi.

“Kita juga buat sekolah Arab aliran sains, nak sesat apa lagi, yang tolak Islam itulah yang sesat.

Jelasnya lagi, menolak Islam ini akan menjadi manusia sesat di akhirat nanti, iaitu tidak akan sampai ke syurga.

Tambahnya, manusia tidak akan menemui jalan ke syurga jika tidak menurut ajaran Islam.

Katanya lagi, tidak ada ahli sains, psikologi atau golongan pemikir dapat membawa manusia ke syurga melainkan Rasulullah dengan ajaran Islam.

Harakahdaily

Wednesday, July 7, 2010

KDN geledah kilang cetak Harakah, cari SK


SHAH ALAM, 7 Julai: Kilang Angkatan Edaran, kilang yang biasa mencetak akhbar Harakah dipantau oleh empat pegawai kanan dari Kementerian Dalam Negeri (KDN) jam 10.30 pagi tadi, kata pengusaha yang enggan namanya disiarkan.

Beliau memberitahu, para pegawai terbabit membuat penggeledahan kecil tanpa waran di kilangnya, Seksyen 16, di sini untuk mencari akhbar tanpa permit 'Era Keadilan' milik PKR.

"Suara Keadilan (SK) pun mereka tak cetak di sini, takkan kita nak cetak yang lain," ujar beliau sebagaimana yang diberitahu kepada pegawai terbabit.

Katanya lagi, satu lagi kilang milik beliau di sini turut digeledah untuk mencari SK mahupun 'Era Keadilan'.

Harakahdaily

Sebelum digeledah, katanya lagi, wujud pertikaman lidah antara seorang pegawai lelaki KDN dengan seorang pekerjanya.

"Waran tak ada, nak geledah geledahlah tapi kalau ada yang hilang, CCTV ada untuk tangkap yang curi dalam kilang ini," ujar beliau lagi memetik amaran pekerjanya itu.

Dalam perkembangan berkaitan, KDN turut diwar-warkan mahu menyerbu ibu pejabat PKR di Tropicana sebelum ini untuk memburu edisi terbaru 'Era Keadilan'.

Inisiatif KDN itu ekoran iltizam PKR untuk terus menerbitkan akhbar yang menjadi lidah rasmi parti itu.

Pada 2 Julai lalu, permit Suara Keadilan digantung ekoran tersiarnya laporan 'Felda Bankrap' yang dianggap mengancam sensitiviti politik pihak tertentu dalam kerajaan.

Lanjutan itu, Felda bertindak menyaman Suara Keadilan sebanyak RM200 juta.

Manakala, PKR pula menyifatkan tindakan KDN dengan tidak merujuk kes tersebut ke mahkamah terlebih dahulu sebagai langkah membunuh kebebasan media.

Debat: Shafie jangan berkokok melalui media



Azim Fitri

KOTA KINABALU, 7 Julai: PAS Sabah mendesak Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal supaya bertindak sebagai anak jantan dan menyahut cabaran Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub mengadakan debat terbuka berhubung tuduhan PAS sebuah parti ajaran sesat.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Hamzah Abdullah berkata, jika benar Shafie mempunyai kredibiliti dan berwibawa, maka jalan terbaik untuk membuktikannya ialah berdebat dengah Salahuddin.

Beliau berkata, sekirannya Naib Presiden Umno itu menolak, membuktikan beliau seorang bacul dan hanya berani berkokok melalui media.

“Saya harap Shafie masih ingat ketika peristiwa beliau terpaksa membatalkan perjalanannya walaupun beliau sudah daftar masuk untuk penerbangan MAS dari Tawau ke Kuala Lumpur.

“Ini disebabkan beliau takut berdepan dengan Datuk Seri Anwar yang berkebetulan daftar masuk untuk penerbangan yang sama,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Tambahnya lagi, tindakan Shafie jelas menunjukkan bahawa beliau sebenarnya gentar untuk bersekemuka pemimpin Pakatan Rakyat dan hanya berani secara ‘baling batu sembunyi tangan’.

“Pusat-pusat judi, karaoke, kelab malam, pusat urut dan pelbagai lagi tumbuh dengan subur sekali di bawah Umno BN. Isu pembuangan bayi, kes zina, gugur anak merupakan budaya rutin yang semacam tiada penghujungnya akibat Umno BN menolak hukum Allah. Inilah kesesatan yang nyata,” tegasnya.

Harakahdaily

Kerana jahil agama, Shafie Apdal berlaku biadab tuduh PAS sesat


PAS menganggap Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berhubung ucapannya yang didakwa menuduh PAS sebagai parti ajaran sesat, satu kenyataan yang biadab.

Beliau yang juga Naib Presiden Umno, dalam ucapan perasmian Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Kulaijaya, telah menuduh PAS sebagai parti ajaran sesat.

Sehubungan itu, Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad mencabar Shafie atas dakwaan mengapa membuat kenyataan begitu.

“Apakah beliau sudah kehilangan arah dan celaru dalam pemikiran politik sehingga mengeluarkan kenyataan demikian rupa?” soalnya dalam satu kenyataan.Baca lagi(Sini)

Friday, July 2, 2010

PM 'membisu' kos bawa Rosmah ke New York


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak enggan mendedahkan kos yang dibelanjakan bagi membawa isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor ke New York, April lalu meskipun disdesak supaya berbuat demikian di Dewan Rakyat.
Dalam jawapan bertulisnya kepada N Gobalakrishnan (PKR-Padang Serai), Najib mengelakkan daripada memberikan sebarang jumlah. "Kos perbelanjaan penginapan dan perjalanan Datin Seri Rosmah adalah termasuk di dalam perbelanjaan yang disediakan untuk perdana menteri, selaras dengan kedudukan beliau sebagai isteri perdana menteri,” kata Najib dalam jawapan satu perenggannya. Gobalakrishnan yang tidak berpuas hati dengan jawapan yang kurang tepat itu, cuba menimbulkan perkara berkenaan dengan speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia. Bagaimanapun, Pandikar menjawap Aturan Dewan tidak memberikannya kuasa untuk menilai 'kualiti' jawapan menteri dan sehubungan itu, beliau tidak boleh bertindak. Selepas menghadiri Persidangan Keselamatan Nuklear di Washington DC, Najib dan Rosmah menghadiri sebuah majlis gilang-gemilang di hotel lima bintang St Regis di New York pada 16 April.
Majlis itu juga dihadiri oleh bintang filem antarabangsa seperti pelakon pemenang Oscar, Robert De Niro, Charlize Theron dan Emmy Rossum, serta diacarakan oleh Jamie Foxx. Ketika mahlis itu, Rosmah diberikan anugerah Keamanan dan Keharmonian Antarabangsa daripada US Business Council for International Understanding (BCIU). Meskipun tidak dapat disahkan, beberapa laporan Internet mendakwa kemuncak majlis itu ialah apabila Rosmah berduet dengan Foxx. Majlis berkenaan tidak mendapat liputan akhbar tempatan tetapi menjadi perdebatan berikutan penyiaran dua halaman iklan berwarna di New York Times yang mengucapkan tahniah kepada Rosmah daripada “keluarga dan sahabatnya di Amerika dan Malaysia”. Tidak kurang juga rakyat marah apabila Rosmah dirujuk sebagai 'wanita pertama Malaysia' - gelaran yang sepatutnya dikhaskan untuk Raja Permaisuri agong. Menurut laporan The Nut Graph, New York Times pada mulanya berkata iklan berkenaan dibiayai oleh kerajaan Malaysia tetapi kemudian menarik semula kenyataan berkenaan.
Berikutan itu, Najib memberitahu Dewan Rakyat bahawa BCIU yang meletakkan iklan berkenaan. Bagaimanapun majlis berkenaan belum mengesahkan perkara tersebut. Bercakap kepada wartawan, Gobalakrishnan berkata kerajaan harus telus dan mendedahkan kos sebenar perbelanjaan Rosmah. "Sebelum ini, mereka dakwa ada NGO yang membiayai lawatan isteri perdana menteri. Tetapi sekarang mereka berkata pejabat PM pula yang membayar,” katanya. "Saya akan terus menulis meminta jawapan. Saya minta perangkaan, tetapi mereka tidak memberikan jumlahnya. Rakyat seharusnya tahu berapa yang dibelanjakan oleh isteri PM.”

Malaysiakini

Monday, June 28, 2010

SAYA CAKAP DARI KONTEKS PERLEMBAGAAN

Karpal yang genap 70 tahun hari ini memberitahu, tidak pernah wujud kekeliruaan mengenai status Malaysia sebagai sebuah negara sekular.


Karpal menyalahkan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kerana mengubah realiti sebuah negara sekular menerusi kenyataan-kenyataan politiknya yang dibuat oleh beliau pada masa-masa lalu, yang telah “mengelirukan orang ramai” berkenaan identiti Malaysia.

“Perlembagaan menyediakan peruntukan mengenai perkara ini. Tiada peruntukan dalam perlembagaan yang mengatakan Malaysia sebuah negara Islam.

“Agama rasmi Malaysia ialah Islam tetapi tidak bermakna ia sebuah negara Islam,” kata beliau lagi.

Bagaimanapun Karpal menegaskan, kesemuanya tertakluk kepada undang-undang dan peraturan persekutuan.

“Pada 1988, Mahkamah Agung telah memutuskan bahawa Malaysia adalah sebuah negara sekular,” katanya.

“Pada 1990, ketika satu ceramah di Sungai Pinang, akhbar-akhbar memetik saya mengatakan (bina) ‘negara Islam dengan melangkah mayat saya’,” katanya.

“Mereka (pemberita) tidak membuat laporan konteks kenyataan saya ketika.

“Saya mengatakan demikian dalam hubungan kepada perlembagaan. Tetapi saya kekal dengan pendirian itu, mengatakan perkara yang sama sekarang,” kata Karpal.

Ikatan antara DAP dan PAS bukan sesuatu yang baru dalam bentuk PR.

Kedua-dua parti itu pernah menjalin kerjasama dengan mewujudkan Barisan Alternatif pada pilihan raya umum 1999, tetapi gagal meneruskan jalinan ekoran isu negara Islam.

“Kita pernah menjalin pakatan pada masa lalu tetapi kita gagal. Apa yang membezakan sekarang ialah kami bersatu dalam mengetepikan musuh bersama iaitu Barisan Nasional.

“Buat masa sekarang, yang paling utama ialah mengambil alih Putrajaya daripada BN,” katanya.

Sumber: PEMUDA PAS WANGSA MAJU

follow on fb

share

Share |

BLOGGER PERAK

BLOG BLOG PANAS

BLOG PIMPINAN PAS/PR

BLOG MUSLIMAT

Blog Masjid

Blogroll

Archives

Related Posts with Thumbnails

Header bergerak