Sunday, September 30, 2012

Himpunan Hijau Lestari usaha selamatkan Pengerang, Melayu rasa BN ‘bunuh’ mereka @ Sun Sep 30 2012





Seluruh kawasan perairan selatan di Johor, termasuk empat kawasan di Pengerang akan terlibat dengan pembangunan petrokimia. — Gambar-gambar oleh Saw Siow Feng
PENGERANG, 30 Sept — Belum pun reda isu radioaktif kilang pemprosesan nadir bumi Lynas di Gebeng, Kuantan, negara sekali lagi bakal menyaksikan bantahan besar-besaran daripada rakyat — kali ini di kubu kuat Umno dan Barisan Nasional (BN) di Johor — apabila kumpulan pejuang alam sekitar Himpunan Hijau mengadakan protes dalam jumlah yang besar bagi membantah pembangunan projek Hab Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang.
Wakil penduduk kampung yang dihubungi The Malaysian Insider bagaimanapun melihat demonstrasi berkenaan bukanlah tindakan untuk “menghentam” kerajaan, sebaliknya sekadar menyuarakan permohonan supaya kerajaan membantu mereka.
“Bagi saya ia bukan kita menentang kerajaan, kita minta kerajaan bantu,” kata pesara guru besar Kasran Dollah.
“Orang Melayu mulanya setuju, tapi bila harga jatuh kepada RM2.80 mereka jadi tak puas hati.
“Itu harga nak bunuh orang Melayu,” tegasnya yang sudah 30 tahun menetap di Kampung Sungai Kapal.
Beliau, yang kini mengajar tuisyen Matematik di rumahnya, berkata penduduk kampung tiada masalah untuk bekerjasama sekiranya pampasan yang diberikan setimpal dengan pengambilan tanah mereka.
“Kalau nak ambil dengan harga baik, kita terima... kalau puas hati kita jual,” katanya lagi.
Dengan anggaran 15,000 hingga 20,000 peserta, perhimpunan ini bakal menyaksikan penyertaan peserta dari seluruh pelusuk negara apabila peserta dari 25 kawasan dipusatkan ke Dataran Sungai Rengit untuk mengadakan demonstrasi aman membantah projek berkenaan.

Zaaba berkata projek yang menelan belanja RM60 bilion ini akan meliputi keluasan 22,500 ekar tanah.
Menggunakan tema “Himpunan Hijau Lestari Selamatkan Pengerang”, himpunan anjuran badan bukan kerajaan (NGO) Pengerang ini dianjurkan dengan kerjasama daripada Himpunan Hijau dan turut didukung oleh penyertaan daripada parti politik Pakatan Rakyat (PR).
Berdasarkan temubual eksklusif dengan The Malaysian Insidersehari sebelum perhimpunan tersebut, yang dijadualkan hari ini, Koordinator NGO Pengerang, Zaaba Abdul Samad berkata, projek yang menelan belanja RM60 bilion ini akan meliputi keluasan 22,500 ekar tanah dan bakal menjadi hab simpanan minyak terbesar di Asia Pasifik.
“Masalahnya di sini bukan setakat Pengerang, tapi perairan di Johor.
“Sekiranya RAPID ini siap di Pengerang, seluruh kawasan perairan selatan di Johor, termasuk empat kawasan di Pengerang akan terlibat dengan pembangunan petrokimia.
“Sekarang ini ialah di Tanjung Bin di Kukup, Pasir Gudang, Tanjung Langsat, dan Pengerang yang terbaru,” katanya kepada The Malaysian Insider.
Jelasnya lagi, untuk projek RAPID, kerajaan juga telah menggunakan peruntukan daripada Seksyen 8 Kanun Tanah Negara untuk mengambil tanah-tanah di Pengerang untuk tujuan membangunkan projek berkenaan.
“... (jadi, penduduk) sudah tidak boleh membuat bantahan. Mereka hanya boleh tuntut gantirugi, sama ada mereka setuju atau tidak,” katanya lagi.
Justeru itu, Zaaba menegaskan, isu pokok di Pengerang adalah penduduk tidak berpuas hati terhadap kadar pampasan yang diberikan, disamping isu alam sekitar yang bakal menjejaskan landskap Pengerang yang sinonim dengan hasil laut dan destinasi pelancongan.
“Penduduk kampung sekarang tak puas hati dengan bayaran gantirugi itu.
“Berbanding dengan penilaian JPPH (Jabatan Penilaian dan Pehkhidmatan Harta), perbezaan nilai tanah itu hampir 38 ke 42 peratus dari segi harga.
“Bayaran pampasan dibuat atas keluasan tanah, sekaki persegi, namun turut mengambil kira pembangunan di atas tanah tersebut,” katanya lagi dan menambah, ada kes untuk lot banglo, nilai pampasan adalah RM95 hingga RM100 sekaki persegi.”
“Kampung sini (kawasan RAPID) biasanya nelayan, petani, peniaga, ada juga makan gaji, dan kakitangan swasta,” katanya, merujuk kepada antara penduduk yang terlibat dalam projek tersebut.

Anis Afida menegaskan pembayaran pampasan yang tidak setimpal telah menimbulkan kemarahan penduduk.
Sementara itu, Pengerusi NGO Pengerang, Anis Afida Mohd Azli menegaskan, ekoran pembayaran pampasan yang tidak setimpal, ia telah menimbulkan kemarahan penduduk, malah beliau turut menjangkakan isu di Pengerang ini bakal memberikan peluang kepada PR untuk menembusi kubu kuat Umno dan BN itu.
“Mereka sangat marah.Mungkin, ia akan beri kesan kepada Johor dalam pilihan raya nanti,” katanya kepada The Malaysian Insider.
Jelasnya lagi, dengan isu ini, penduduk Pengerang yang mempunyai seramai 35,000 pengundi, dengan kawasan yang 80 peratus majoritinya didiami komuniti Melayu termasuk peneroka di 10 Felda dan 20 peratus Cina ini akan turut menyertai demonstrasi tersebut.
“Ada banyak mudaratnya hasil dari projek ini, sisa toksik daripada petrokimia ini mereka mahu buang ke mana?” soalnya.
“Saya harap penduduk kampung akan turut serta demonstrasi ini,” katanya.

Wong Teck berkata rakyat hanya mahu suarakan tanggungjawab mereka.
Pengerusi Himpunan Hijau, Wong Teck pula menegaskan, isu di Pengerang ini bukan lagi masalah setempat, sebaliknya masalah yang mendapat perhatian di peringkat nasional, malah beliau yang ditemui The Malaysian Insiderturut mengakui kehadiran mereka ke Pengerang untuk “mempolitikkan” isu tersebut.
“Ya ... memang kami mahu mempolitikkan isu ini.
“Kalau kerajaan sudah tidak lagi tidak boleh menjaga rakyat, biar rakyat tentukan pemimpin layak memerintah ... biar rakyat yang memilih kerajaan,” katanya lagi.

Menurutnya, rakyat hanya mahu suarakan tanggungjawab mereka, untuk memastikan negara ini mempunyai masa depan.
“Tengok bandar ini berapa cantik. Mereka (penduduk) hanya mahu hak mereka diteruskan.
“Himpunan hijau nak pastikan hak rakyat diketengahkan,” tegasnya lagi.

No comments:

follow on fb

share

Share |

BLOGGER PERAK

BLOG BLOG PANAS

BLOG PIMPINAN PAS/PR

BLOG MUSLIMAT

Blog Masjid

Blogroll

Archives

Related Posts with Thumbnails

Header bergerak