Sunday, April 4, 2010

Tok Guru Nik Aziz nafi dakwaan Kickdefella



KOTA BAHARU, 4 April: Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (gambar kiri), hari ini menafikan kerajaan negeri mengenakan syarat bagi setiap syarikat yang ingin mendapatkan konsesi balak mesti menghulurkan derma kepada kerajaan negeri pimpinan PAS itu.

“Bukan menjadi dasar kerajaan meminta mana-mana syarikat yang mendapat konsesi balak menghulurkan derma atau bantuan kepada kerajaan negeri. Ini tak ada dalam pengetahuan saya,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Sebelum itu beliau menyempurnakan upacara pelepasan konvoi 1,300 motosikal berkuasa tinggi di perkarangan Stadium Sultan Mohammad ke-IV, di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai laporan sebuah blog Kickdefella yang menyebut kononnya setiap pihak yang memohon kawasan balak dan segala derma yang dijanjikan akan dimaklumkan di dalam mesyuarat exco.

Ini termasuk modus operandi bagi permohonan tanah hutan untuk tujuan perladangan.

Bagaimanapun, beliau turut menempelak penulis blog terbabit yang cuba menimbulkan isu itu sambil melahirkan perasaan dukacitanya dengan sikap penulis blog yang menulis sesuka hati dan bukan menyebarkan ilmu pengetahuan.

Sebelum ini, Nik Aziz yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perhutanan Negeri menyifatkan penulis blog sebagai kedai kopi bergerak yang membincangkan perkara-perkara sama ada untuk kebaikan dan keburukan sesuatu pihak.

Mengenai majlis berkenaan, Nik Abdul Aziz menyifatkan konvoi bermotosikal bukan saja sebagai riadah tetapi boleh menyampaikan mesej perjuangan Islam kepada masyarakat umum.

Menurutnya, program jelajah atau konvoi bermotosikal berkuasa tinggi ini bukan saja boleh memberi kebaikan dari segi kesihatan dan kegiatan pelancongan, tetapi mampu menyampaikan mesej bahawa Islam bukan seperti mana yang dimomokkan oleh pihak tertentu. -Bernama

Kredit: Warkahdaily online

No comments:

follow on fb

share

Share |

BLOGGER PERAK

BLOG BLOG PANAS

BLOG PIMPINAN PAS/PR

BLOG MUSLIMAT

Blog Masjid

Blogroll

Archives

Related Posts with Thumbnails

Header bergerak