Sunday, April 4, 2010

NAJIB USAH KEMPEN JIKA DAKWA PAKATAN HILANG SOKONGAN - MB SELANGOR

MB Selangor: Najib usah kempen jika dakwa Pakatan hilang sokongan

TERKINI

Oleh Clara Chooi

HULU SELANGOR, 3 April — Tan Sri Khalid Ibrahim menyindir Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan berkata, beliau tidak harus berkempen di sini jika merasakan pengundi-pengundi kawasan Hulu Selangor sudah hilang keyakinan terhadap Pakatan Rakyat khususnya Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Menteri Besar Selangor membuat teguran ini sebagai menjawab kenyataan Najib, Pengerusi Barisan Nasional (BN) pagi tadi bahawa masyarakat Hulu Selangor sudah hilang keyakinan ekoran perkembangan dalam PKR sejak kebelakangan ini.

Ketua PKR Selangor itu menambah, jika begitu keadaannya Najib tidak perlu datang ke sini untuk berkempen dan menghabiskan masanya sehari suntuk di Hulu Selangor.

Semalam timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin menghabiskan masa kira-kira tiga jam di sini.

“Jika mereka (pengundi) sudah hilang keyakinan (ke atas kami), jadi mengapa mereka harus datang ke sini?

“Beliau boleh pergi ke mana-mana dan berehat. Beliau berkata mereka sudah hilang kepercayaan tetapi masih datang ke sini untuk menunjukkan muka, beliau harus ke Sabah atau Sarawak dan membantu penduduk miskin di sana atau ke Kelantan... ia adalah tempat di mana pendapatan per kapita adalah rendah,” kata beliau.

Tan Sri Khalid Ibrahim (kiri) berbual dengan Aminah Shafie (tengah) ketika majlis di SKC Bernam. - Gambar oleh Jack Ooi

Beliau berkata demikian selepas sesi bertemu rakyat di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Bernam di sini petang ini.

Najib berkata beliau mahu rakyat membuat kesimpulan sendiri mengenai situasi politik pembangkang yang kini dilihat semakin sukar mendapat sokongan daripada anggota parti itu sendiri.

Perdana Menteri berkata pembangkang, khususnya PKR kini sering bertelagah sesama sendiri dan pelbagai pendedahan semakin banyak dibuat oleh bekas anggota parti itu, walaupun mereka dikatakan rapat dengan pemimpin parti pembangkang itu.

“Kalaulah orang rapat dengan kita satu demi satu dah hilang kepercayaan dan dah keluar parti, apa kesimpulannya? Kita bukan cakap pasal orang luar, ini orang rapat dengan kita. Apakah mesejnya, apa kesimpulannya?,” katanya ketika berucap melancarkan Yayasan Kelana Ehsan (YKE) di Felda Sungai Tengi.

Najib berkata, antara anggota PKR yang keluar parti bukan calang-calang orang, bahkan merupakan golongan intelektual yang juga rapat dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bertahun-tahun lamanya.

Sambil menyifatkan kenyataan Najib sebagai sesuatu yang silap dan tidak logik, Khalid mencabar pentadbiran BN pimpinan Najib supaya terus-menerus menghulurkan bantuan kepada kawasan Hulu Selangor.

“Mengapa tidak? Teruskan. Kami tidak kisah. Jika mereka hendak membina sebuah universiti di sini, kami turut menggalakkan.

“Malah, kerajaan Selangor akan terus membantu menyediakan tanah kepada mereka melakukan ini, kami mahukan sebuah hospital universiti. Mereka boleh mengadakan sebuah hospital universiti ala BN di sini, panggil sebagai Universiti 1Malaysia jika mereka mahukan, selagi mereka berpegang pada janji,” kata Khalid lagi.

Khalid juga memberitahu, kerajaan Selangor bersedia untuk membantu kerajaan persekutuan merangka pelan bagi pembinaan universiti.

Menteri Besar juga menolak pendekatan ofensif yang hendak digunakan untuk memenangi pilihan raya sambil menegaskan PKR dan Pakatan akan menggunakan moto atau pendekatan mudah, “kami berkhidmat untuk rakyat.”

“Mereka juara retorik tetapi tidak boleh berkhidmat. Inilah hakikatnya,” kata beliau sambil menambah, “politik Selangor sudah berubah.”

“Kami menyediakan perkhidmatan terlebih dahulu, kemudian baru kita bercakap,” katanya.

Sumber


No comments:

follow on fb

share

Share |

BLOGGER PERAK

BLOG BLOG PANAS

BLOG PIMPINAN PAS/PR

BLOG MUSLIMAT

Blog Masjid

Blogroll

Archives

Related Posts with Thumbnails

Header bergerak