Persoalan yang sama, seandainya tiada perang gerila dalam hutan yang melibatkan Parti Komunis Malaya (PKM), apakah penjajah British sanggup berunding di atas meja bersama wakil UMNO, dan bersetuju untuk memberi kemerdekaan kepada Tanah Malaya pada 31 Ogos 1957? Antara pasukan Chin Peng, Abdullah CD dan Rashid Maidin yang bersenjata, dengan perikatan antara Tunku Abdul Rahman, Tan Cheng Lock dan V.T. Sambanthan yang bermuka senyum, gandingan manakah yang akan dipilih oleh penjajah untuk "berunding"?
Sesungguhnya ia sesuatu yang senang difahami. Meskipun perjanjian ditandatangani dengan dakwat, namun kemerdekaan diperjuangkan dengan titisan darah. Begitu juga keadaannya sekarang, kalau tandatangan pada memorandum boleh membawa perubahan, siapa pula yang sanggup ditembak meriam air berkimia di jalan raya? Sebaliknya, tanpa mereka yang turun untuk melaungkan slogan dalam kepulan gas pemedih mata, tuntutan dalam memorandum hanya akan kekal sebagai dokumen bersejarah yang berdebu.
Masing-masing memainkan peranan mereka dalam sejarah perjuangan kemerdekaan. Sumbangan Tunku dan perikatannya dipahat dalam sejarah, sementara tiada tempat untuk nama PKM dan rejimennya. Untuk sekian lama titisan peluh, air mata, dan darah mereka dilenyapkan; untuk sekian lama perjuangan mereka dinafikan, dicemuh dan dicaci dengan pelbagai tuduhan liar.
Namun, ingatlah bahawa mereka benar layak untuk mendabik dada dan menyanyikan "Negaraku, tanah tumpahnya darahku...". Jika tidak mengiktiraf pun, siapakah pula kita untuk memahat label "pengkhianat" ke atas anggota PKM yang pernah mendabik dada sebagai perisai untuk menghalang kemaraan peluru penjajah?
Dan yang paling jelik, orang yang isterinya memiliki cincin bernilai RM24 juta, tanpa segan silu sanggup berbuat demikian.