Showing posts with label Judi. Show all posts
Showing posts with label Judi. Show all posts

Friday, May 14, 2010

AKHBAR BAHASA MELAYU GELAPKAN BERITA LESEN JUDI


Akhbar Melayu Gelapkan Berita Lulus Lesen Judi Bola

Utusan Malaysia dan Berita Harian yang dikawal oleh Umno tidak memuatkan laporan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meluluskan pemberian lesen judi perlawanan bola itu.

Tindakan itu disifatkan sebagai cubaan terancang untuk melindungi UMNO daripada dikritik oleh orang Melayu.

Pengumuman Bursa Saham Kuala Lumpur mengenai kelulusan lesen itu menjadi antara tajuk akhbar berbahasa Inggeris The New Straits Times dan The Star.

Namun laporan sama tidak mendapat tempat dalam akhbar Utusan Malaysia, mahupun Berita Harian walaupun ia menjadi antara berita utama semalam.

Tindakan Utusan Malaysia dan Berita Harian memadamkan laporan pemberiam lesen judi itu sekali lagi dilihat di pengaruhi oleh pertimbangan politik Umno dan perdana menteri sendiri.

“Saya rasa mereka tidak mahu masyarakat,khususnya masyarakat Islam tahu berkenaan ini kerana mereka tahu masyarakat bukan Islam tidak menyokong Barisan Nasional. Yang tinggal saki bakinya masyarakat Melayu-Islam.

Jika ini didedahkan dalam akhbar, besar kemungkinan ramai yang akan meninggalkan Umno. Ini sebabnya Umno tidak memberitahu rakyat mengenai lesen perjudian diluluskan oleh Kementerian Kewangan dan Kabinet.

"Ini satu tindakan yang terdesak yang saya fikir untuk mendapatkan sumber kewangan yang berpunca daripada sumber haram," ujar Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Nizar Jamaluddin.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar pula berkata, berita lesen judi baru diluluskan sengaja digelapkan oleh dua akhbar itu untuk memberi ruang kepada pimpinan Umno mengaut keuntungan secara haram bagi mengisi dana politik parti.

“Sebahagian ini, pulangan kepada tabung dana untuk Umno menghadapi pilihan raya umum akan datang. Saya syak inilah yang akan mengisi dana untuk membeli undi dan wakil rakyat sama ada di peringkat DUN dan sebagainya.

"Saya percaya sebelum inipun mungkin wang daripada syarikat judi itulah yang diguna untuk membeli Adun dan Ahli Parlimen yang melompat," katanya. - TVSelangor

Tuesday, May 11, 2010

BERJUDILAH TUAN-TUAN - INGAT AZAB ALLAH PASTI TIBA


Halal judi bakal undang murka, azab Allah

KUALA TERENGGANU, 11 Mei:
Yang Dipertua JIM Terengganu, Zameran Jusoh berkata, menghalalkan aktiviti perjudian bakal mengundang kemurkaan dan azab Allah SWT dan hilangnya keberkatan atau barokah kepada negara yang tercinta ini.

Sehubungan itu, tegasnya JIM negeri amat kesal dengan kenyataan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussein pada 6 Mei 2010 lalu bahawa kerajaan sedang menimbang secara serius cadangan meluluskan lesen judi pertaruhan sukan (sports betting licenses) bagi mengelak perjudian haram yang dikatakan berleluasa di negara kita.

Katanya, sebagai sebuah negara yang meletakkan kedudukan agama Islam sebagai Agama Persekutuan seperti yang diperuntukkan di dalam perlembagaan negara, kewajaran untuk meluluskan lesen perjudian adalah bercanggah sama sekali dengan tuntutan Islam yang mana telah mengharamkan segala bentuk aktiviti dan unsur perjudian.

“Persoalan untuk menimbang keputusan menghalalkan aktiviti ini sepatutnya tidak berlaku sama sekali dan wajar ditentang.

“Menghalalkan aktiviti perjudian ini akan menggalakkan lagi amalan budaya yang tidak sihat di kalangan rakyat di negara kita,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Tambahnya, ia bukan sahaja merugikan pengamalnya malah memberi kesan serta impak masalah sosial kepada masyarakat serta melahirkan generasi muda yang tidak produktif untuk bekerja kuat demi bangsa dan negara.

Ianya juga, kata beliau tidak bersandarkan kehendak masyarakat Islam arus perdana dan memburukkan lagi imej Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

Menurutnya lagi, sehingga kinipun negara ini telah mempunyai sebuah kasino perjudian terbesar di Asia Tenggara dan aktiviti perjudian menerusi operator ramalan nombor (number forecast operators) seperti 4D dan Toto yang semakin bercambah.

“Menghalalkan aktiviti perjudian ini bakal menambahkan lagi kantung pendapatan negara menerusi hasil percukaian tetapi hasil pendapatan negara yang haram seperti ini bakal mengundang kemurkaan dan azab Allah SWT dan hilangnya keberkatan atau barokah kepada negara yang tercinta ini,” ujarnya.

Tegasnya, JIM Terengganu sekali lagi menentang sebarang keputusan kerajaan untuk membenarkan dan menghalalkan aktiviti perjudian di negara ini dan menggesa agar kerajaan membersihkan kantung pendapatan negara daripada hasil aktiviti perjudian. -Harakahdaily





Saturday, May 8, 2010

Dr Asri: Lesen Atau Tidak, Judi Tetap Haram


SHAH ALAM 7 MEI: Bekas Mufti Perlis, Dr Asri Zainal Abidin menyifatkan alasan kerajaan yang menghalalkan perjudian melalui pemberian lesen yang membenar pertaruhan bola sepak, tidak munasabah untuk mana-mana agama, lebih-lebih lagi agama Islam.

Beliau menegaskan sebarang bentuk perjudian sama ada berlesan atau sebaliknya, hanya membawa masalah antaranya pergaduhan dan bebanan hutang.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Awang Adek Hussein sebelum ini berkata, kerajaan sedang mempertimbang kemungkinan mengeluarkan lesen pertaruhan ketika Piala Dunia 2010 berlangsung Jun ini.

Beliau memberi alasan ia wajar dilesenkan bagi mengelak berleluasanya aktiviti perjudian dan pertaruhan haram di negara ini.

Mengulas isu ini, Dr Asri menyifatkan kerajaan pimpinan Umno Barisan Nasional sudah tidak dapat membezakan halal dan haram.

"Kerajaan mesti memikirkan kesan buruk perkara ini. Ia akan mengakibatkan pergaduhan, pinjam meminjam dan pelbagai lagi. Jika kerajaan bertindak memberi lesen apa ertinya?" katanya.

Dr Asri mengingatkan kerajaan, tindakan melesenkan judi belum tentu menyelesaikan masalah kerana masalah tetap berlaku, bahkan berlarutan dengan lebih buruk.

"Judi termasuk dalam dosa besar. Di negara ini, orang akan kata ini bukan untuk orang Islam. Adakah perkara ini dituntut oleh orang bukan Islam? Adakah kerajaan bertindak hanya untuk kepentingan cukai ataupun untuk kepentingan masyarakat bukan Islam.

Beliau menyifatkan kerajaan hanya mencari alasan termasuk menggunakan elemen pembangunan judi bagi menghalalkan perjudian.

"Saya lihat alasan yang dinyatakan bagi mengelakkan judi haram dengan mengadakah judi halal. Semua judi adalah haram dan memberi kesan negatif. Saya tidak fikir orang agama lain disuruh pergi berjudi.

"Jika kerajaan hendak menyalurkan dana kepada bidang sukan, saya lihat perkara lain juga mungkin kita boleh mengenakan cukai yang tinggi. Jadi, saya fikir alasan ini sangat tidak munasabah," katanya.

Dr Asri seterusnya mencadangkan kerajaan supaya bertindak mengikut landasan Islam bagi mengawal baik buruk sesuatu perkara.

"Tetapi dengan cara kerajaan menghalalkan dan membenarkan cara memberi lesen ini kepada judi bererti perkara yang dibimbangi masyarakat dilakukan secara terbuka dan mendapat persetujuan. Apa beza antara yang halal dengan yang tidak, kedua-duanya mengundang masalah kepada rakyat," katanya.- TVSelangor

follow on fb

share

Share |

BLOGGER PERAK

BLOG BLOG PANAS

BLOG PIMPINAN PAS/PR

BLOG MUSLIMAT

Blog Masjid

Blogroll

Archives

Related Posts with Thumbnails

Header bergerak